"Abah, sakit ..."
"Mana?"
"Sini."
"Meh, Abah tolong urutkan ..."
Pagi tadi, jam 4 lebih sedikit saya bangun untuk tengok Piala Konfiderasi; Brazil bertemu Afrika Selatan. Isteri, kerana hari ini dia mahu berpuasa ganti, bangun untuk bersahur. Tumpang sama bangun, si cilik saya, sambil mengadu-adu. Saya belek di pelipat lututnya - tak ada apa-apa!
Kemudian, sambil saya mengusap-usap kakinya, dia jendera. Lengan kanan buat jadi bantalnya, sambil merenung aksi-aksi bola akal terasa sayu pula jadinya.
Ah, kita sering terlupa dan ambil ringan!
Kalau terlupa, mari sama-sama kita ingat, dan kemudiannya berubah, sepatutnya!
"Berapa masa kita untuk Ilham?"
Tanya saya pada isteri.
Dia diam.
5:30 petang, usai kerja saya ambil Ilham di rumah penjaganya. Sementara sembang-sembang dengan Aunty dan Uncle yang menjaga Ilham, mendengar cerita tentang kerenah Ilham, perkara-perkara baru yang Ilham belajar, sempatlah saya memesrai Ilham sekitar 30 minit.
Dalam perjalanan pulang, Ilham, kerana seharian asyik bermain tanpa tidur, di dalam kereta lagi Ilham sudah terlelap. Selalunya sampai pagi esoknya. Malam hari, kalau nasib baik akan bangun sebentar, dalam 30 minit, untuk bermain. Itupun, kalau bernasib baik!
Kerana itu akhir-akhir ini, saya sangat rindu dengannya, bermain dengannya, atau paling tidak mendengar celoteh atau ketawanya. Bukan kerana tidak bertemu, hidup terpisah, tidak! Malah, saya dan anak saya bertemu setiap hari. Tetapi, pertemuan itu, kebersamaan kami tidak hidup, kerana anak saya lebih sering tidur awal. Kalau ada masa lebih pun, hujung minggu saja. Oh, tidak salah bukan untuk rindu, meski selalu bertemu pun? Ya, kerana saya hanya ada 30 minit bersama anak saya.
Lalu, berapa lama masa kita untuk anak kita, atau anak-anak kita? 30 minit? 1 jam? Ya, kita selalunya mengambil mudah, bukan? Alah, anak kita ... Tetapi, kalau direnung-renung, kita ada 8 jam untuk merenung muka ketua kita, kawan sekerja, dan cuma ada kurang lebih sejam untuk anak kita. Aduhai!
Sedangkan dari sudut kemahiran kekeluargaan, ada menyebutkan bahawa usia antara 3 bulan hingga 3 tahun adalah usia yang sangat sesuai untuk diisikan dengan sesuatu. Ibaratnya begini, usia 'emas' itu, minda anak ini seperti gelas kosong, apa yang dituang masuk akan terisi cantik di dalam 'gelas' fikirannya. Tetapi ... apa yang dapat dituang kalau masa untuk saya bersama anak saya cuma kurang daripada 1 jam, aduhai, aduhai.
Ulama pula, ingat-ingat-lupa saya, pernah memecahkan usia anak kepada 3 peringkat dengan 3 penekanan yang berbeza. Usia 1 hari hingga 7 tahun, jadikan anak sebagai raja. Dilayan baik, diajar yang baik-baik, dimesrai dan dididik. Usia 7 hingga 20 tahun sebagai seorang ahli penjara atau musuh. Anak disuruh itu, disuruh solat, dilarang ini, dilarang bermalas-malasan, misalnya. Pendekkata, pada usia 7 hingga 20 tahun banyak do dan don't. Dan usia 21 tahun dan ke atas anak adalah teman kita, bersembang dengannya, terbuka fikir dengannya, malah berjenaka pun.
Oh, untuk usia 1 hari hingga 3 tahun itu, yang layanannya seperti seorang raja itu, kita hanya ada masa antara 30 minit hingga 1 jam, oh Tuhan!
Sambil merenung Ilham yang jendera nyenyak, sering hati saya jadi sebu dan pilu. Memegang rambut emasnya, saya selalu bertafakur, "berapa masa yang abah habiskan untuk bersama denganmu?"
Dalam selalu doa saya: "jadikanlah anakku anak yang soleh, Ya Allah." Rupanya di luar kotak sedar, saya hanya ada lebihan 30 minit - 1 jam untuk mendidikinya menjadi anak yang soleh, cukupkah?
Saya masih berfikir, begitukah kesempitan masa hari ini? Atau kerana saya masih seorang bapa yang harus banyak belajar dan menuntut.