Selasa, 2 Jun 2009

SURAT 29 : MAMA ... YANG SAYA BARU KENAL!

Assalamualaikum,

Ketika saya dibelanja oleh boss saya, Encik Zahir dengan secawan coklat panas di bawah dingin sejuk, kami bersembang-sembang perihal Abang Roslan, PR di sini yang terpaksa bergegas pulang malam Sabtu lepas ke Malaysia. Bonda Abang Roslan yang katanya bermasalah dengan ginjalnya sejak 20 tahun dulu akhirnya pergi menemui TuhanNya, pergi nan abadi!

"Itulah masalahnya kalau duduk jauh ini. Susah kalau ada kematian dan sakit demam. Perihal duit itu boleh dikira lagi, tetapi tentang sempat bertemu-mata atau tidak .. tu yang susah nak kata."

Saya akur, sambil berdoa ... mudahan orang tua saya dipanjangkan umur!

Manis coklat itu terasa bagai pahit pula oleh rasa resah yang singgah pada nubari kecil.

DULU


Saya baru 'mengenal' Mama, sebetulnya!

Ya, sepertinya kata isteri saya, "apabila ada anak ini (Muhammad Ilham) barulah kita tahu bagaimana kasih sayang ayah dan ibu kita dulu."

Cerita Mama, satu masa dulu, saya pernah bertanya dengannya: "Mama, sebenarnya Din ini anak siapa?"

"Anak Mama lah!"

"Habis tu, kenapa Opah yang jaga?"

Apabila menjadi dewasa sedikit, dan apabila punya anak ini saya mulai memahamkan diri akan situasi yang benar, kebenaran tindakan Mama satu masa dulu. Saya menjadi lebih bahagia, malahan, dengan tindakan Mama dulu.

Ya, saya, sejak usianya 8 hari hinggalah habis SPM dibesarkan oleh Opah dan Tuk Ayah di kampung. Sesekali Mama dan Abah akan pulang ke kampung. Dan lagi, apabila cuti sekolah yang panjang, saya akan Kuala Lumpur, ke rumah keluarga. Dan, hanya itu kesempatan waktu untuk saya kenal Mama, Abah dan adik-adik.

Saya anak sulung. Mama dan Abah pula bekerja masa itu. Kerana susah mencari penjaga, Opah menawarkan diri, "biar Emak saja jaga Din. Lagipun semua sudah besar, rasa sunyi pula."

Ternyata tindakan Mama itu rupanya ada bagusnya, paling tidak, saya punya beberapa orang ibu, selain Mama - Opah yang menjaga, MakNdak yang duduk serumah dengan Opah, Maksu, anak Opah yang bongsu yang rumahnya tak jauh dengan rumah pusaka. Nah, semuanya ibu-ibu saya.

Sungguh. Saya tak sesal, meskipun baru lewat-lewat ini saya beroleh kesempatan mengenal Mama.

MINGGU LEPAS

Saya menumpang bahagia!

Pada usia yang separuh abad, gaya antara Abah dan Mama seperti muda-muda, lagak romantisnya. Dan ini, antara beberapa perihal baru dalam usaha saya mengenal keduanya.

Setengah hari di Snowy Mountains, bermain ais kepal, bermesra dengan dingin bukit, meski penat tak terkata kerana sehari sebelumnya, seharian saya melayan tetamu Haliza Misbun dan krew Jurnal Kembara, saya bahagia, bahagia tak terkata!

Dan saya tetap berdoa, biarlah saya sempat berbakti untuk mereka dua.

2 ulasan:

  1. Salam Sdr Ilham: Sudah beberapa membaca karya Sdr. Tetapi baru hari ini ketemu blog Sdr. Saya suka memautkannya di blog Sdr. Hrp dapat terus saling bertukar info, jika tidak berhalangan. Wassalam.

    Marsli N.O

    BalasPadam
  2. Tuan Marsli N.O yang dihormati,

    Adalah satu kebanggaan apabila penyiar besar seperti Tuan bertandang ke laman kerdil saya. Terima kasih sangat!

    Saya sudah hubungkan antara dua link.

    Doakan saya terus boleh menulis, seperti Tuan.

    BalasPadam