Selasa, 23 Jun 2009

SURAT 39 : BERCUTI UNTUK BEKERJA!

Assalamualaikum,

Di luar sedar, separuh pertama 2009 sudah dilalui. Sedangkan saya masih belum menggunakan seharipun cukup tahunan. Itu belum ditambah dengan cuti-cuti ganti. Kerana saya tak dibenarkan untuk dibayar kerja lebih masa, jadi ia digantikan dalam bentuk hari bercuti. Dicongak-congak hampir 30 hari lagi, aduh! Kalau tak kerana isteri yang sibuk, pasti kami akan ke mana-mana, untuk bercuti, Hobart di Tasmania, atau silap-silap di tanah indah Christchurch yang sentiasa diimpi-impikan.

"Apa susah, cutilah! Gunakan masa cuti itu untuk siapkan novel."

Isteri saya menitipkan cadangan pagi tadi. Ya, pagi yang selalunya kami berebutkan sekeping cermin muka yang usang. Cermin dengan rak kayu tua yang telah berjasa seribu, yang kemudian setelah kami selesai di sini, entahkan diberi lagi kepada orang lain, atau menjadi habuan tempat sampah. Saya mengemaskan ikatan tali leher, dan isteri mengenakan pin kelongsang tudungnya. Begitulah berpagi-pagiannya kami di sini, ya, sekali lagi, di luar sedar esok 24 Jun 2009 memberi makna, sambutan ulangtahun kedua kami di daerah jauh Canberra ini.

"Tulis novel?! Bagus jugak tu ..."

Azam yang saya pasakkan untuk tahun 2009 begitu melangit tinggi. Saya sudah 1/3 jalan untuk novel kedua yang mengambil latar Canberra, seputar dunia pelajar dan perjuangan manis-pahitnya mereka di tanah orang. Terinspirasi lewat pergaulan saya dengan adik-adik di sini. Kemudian, saya ada merangka untuk sebuah Travelog Dakwah dan Kehidupan. Tulisan-tulisan santai yang berisi yang mahu saya kumpulkan, dan dihulurkan kepada mana penerbit yang sudi dan berkenan. Dan, yang terbaru, di luar jangka, Rynsa sudah mendesak saya untuk koliborasi Cinta Sofeanya.

Hujung minggu lepas, dalam gerimis yang mengundang, saat saya jenguk ke kotak pos - oh, sebungkus novel tebal. Terima kasih Rnysa! Novel percuma (yang sangat saya hargai itu!) bukan saja-saja, melainkan di sebelah belakangnya menghantar makna-makna - Rynsa sungguh-sungguh berhajatkan koliborasi. Nampaknya, saya telah dihimpit ke lembah dilema. Dan, saya rasa tak boleh menolak lagi!

Tetapi, semuanya sangat padat dan membebankan!

Kalau anda juga mahu menulis, dan mahu buku anda dipasarkan semasa Pesta Buku 2010, April tahun depan, begini nasihat saya: paling kurang karya anda mesti sedia diedit sebelum 1 Januari 2010. Itu tarikh paling akhir. Dan, saya harus berusaha untuk memenuhkan tarikh keramat itu: 31 Disember 2009. Kalau tidak, karya saya akan kesasar lagi tarikh peluncurannya.

Ya, bercuti, dan mengerah seluruh kudrat untuk menulis - satu idea yang sangat baik! Oh, nampak-nampaknya bercuti untuk bekerja lah saya kalau begitu! Doakan saya!

6 ulasan:

  1. Salam sempai,

    Alhamdulillah novelnya sudah sampai.
    Risau juga sebab kos mengeposnya tu...
    Hehe

    Psl CINTA SOFEA, janganlah stress pula. Saya cuma tanya saja. Saya pun sudah tahu sempai banyak projek2 buku sendiri. Tak adalah nak mengharap sangat dan mendesak sesiapa.
    No worries.

    Anggaplah KEBUN MIMPI itu sebagai hadiah terima kasih saya atas jasa baik sempai selama ini. Terima kasih kerana menyelamatkan saya dan Husna di Okayama dulu dan mencetuskan rasa suka saya kepada sirah.

    ALBATROS itu nopen eksperimen saya setelah balik dari Jepun dan 'bertapa' begitu lama daripada menulis e-novel di blog. Nopen itu juga membawa saya ke Sabah bagi merasai sendiri pengalaman menjadi sukarelawan di Sepilok. Ramai yang komen tak faham bila baca. Harap sempai sudi beri komen yang membina.

    Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum,

    Terima kasih kerana senaraikan syahrulnizam.com dalam senarai Blog Kegemaran tuan.

    Mungkin kita boleh menulis bersama-sama. :-)

    BalasPadam
  3. Rnysa,

    Sedap cerita Albatros tu!

    Susah jugak nak buat research tentang burung-burung, ikan-ikan, orang utan di Sepilok, dan lain-lain. Hebat-hebat!

    Tengah mengumpul semangat untuk menulis, berlawan-lawan .. menulis ..:)

    BalasPadam
  4. Tuan Syahrulnizam,

    Terima kasih juga kerana sudi melawat blog saya!

    Menulis bersama? Oh, nyiru saya tadahkan ..:)

    BalasPadam
  5. simple elaboration from ur day.. ske bce blog ni.. n hidayah cinta bnyk mrubah dn mbuka pin2 hati sy kearah ktuhanan... insyllh...

    BalasPadam