Selasa, 16 Jun 2009

SURAT 35 : DI SISI, AKU TETAP BERDOA!

Assalamualaikum,

"Abang, bagaimana kalau kita buat makan-makan hujung minggu ini? Untuk teman satu makmal?"

Saya sedang membetulkan tali leher merah. Tali merah dengan imej @ kecil-kecil itu dihadiahi delegasi Jabatan Audit Malaysia yang datang seminggu mengaudit kami di Canberra. Ilham sedang menyanyi entah lagu apa di ruang tamu.

Pagi di luar, mentari jingga mulai memeriahkan tanah Canberra. Pasti hari ini kurang dingin, tak seperti minggu lepas yang suhu pagi sentiasa berada hampir dengan angka 0 darjah. Kerana dingin, lepas Subuh selalunya mahu kembali beradu lagi. Aduh!

"Jemputlah, apa salahnya. Sabtu atau Ahad?"

"Tak pasti lagi."

"Jangan Ahad, biar Sabtu."

"Kenapa?" Pintas isteri. Dia pun sedang ghalit membetulkan tudung polosnya. Kami berebutkan sekeping cermin tua yang juga mahu roboh, sepertinya rak buku saya. Biasalah, rezeki orang bagi! Daripada dibuang orang, baik kami yang 'biasa-biasa' ini gunakan!

"Ahad ... kan Ahad kita ada talk tentang Zakat dan Haji di HICOM."

"Oh, terlupa! Nanti saya jemput, ya?"

Saya angguk.


Saya melihat kejayaan seorang pelajar pasca-ijazah, PhD misalnya tak tergantung sepenuhnya kepada pelajar itu semata-mata. Banyak lagi faktor luar yang memberi impak; kecil dan besar kepada sebuah kejayaan segulung ijazah dan sepangkal nama DR di pangkal nama asli.

Kata Professor Madya Mohd Hamdi, mentor saya beberapa ketika sebelum saya berangkat menemankan isteri menyambung pengajiannya, "kena banyak bantu isteri. Kena lebih bertolak-ansur, dan mendengar masalah yang akan dikongsinya."

Nasihat itu berbekas.

Kemudian beliau bercerita pengalamannya, "semasa saya di Kyoto, sangat mencabar. Tangan kiri pegang jurnal sambil membaca. Di bahu kanan, ada anak yang kena didodoikan ... jenis suka bangun dan menangis tengah malam."

Saya meneguk air liur. Terasa payau pahit, seperti pahitnya hari-hari depan yang perlu saya tempuh, rempuh dan lalui sebagai seorang suami pelajar pasca-ijazah. Keresahan itu berganda jadinya mengenangkan isteri saya tanpa asas Master. Isteri melompat, dari ijazah pertama kepada ijazah PhD. Bimbang saya jadi beribu-ribu saat itu. Hanya pada Allah tempat saya memulangkan sejuta kerisauan yang bergulung-gulung dan melambung-lambung itu.

Sekurang-kurangnya anak saya, Ilham jenis yang 'boleh kira'. Masa tidur malam, memang jendera sungguh dia. Hatta semasa dalam pantang (selepas 34 hari ditahan di inkubator Hospital Serdang) sekalipun, Ilham tak banyak kerenah. Pendekkata, memang nyenyak dia tidur (ibu bapanya pun tumpang nyenyak, aduh!) Jadi, saya terselamat daripada satu cubaan, anak!

Ya, mereka yang di belakang tabir kejayaan isteri kelak adalah teman-teman satu makmalnya. Merekalah madu tambahan kejayaannya, InsyaAllah, dan sekaligus racun juga ... kadang-kadang. Maka itu, hampir setiap malam sebelum mata tertutup, saya harus membuka telinga mendengar ceritanya di makmal kimia. Cerita salah faham antara teman makmalnya dengan pembantu makmal yang tegas orangnya, cerita teman makmalnya yang mudah putus asa, dan pastinya kisah-kisah kegagalan dan kejayaan tangga-tangga eksperimennya demi naik ke puncak yang dinamai kelulusan segulung ijazah. Meski saya tak pandai sangat, tak faham benar, saya buat-buat faham, berfikir secara logik dan memberikan pandangan apa yang difikirkan kena. Apa lagi sumbangan yang boleh saya bantu?

Saya rasa ini kali pertama idea untuk menjemput teman-temannya ke rumah untuk makan-makan ini timbul. Sebetulnya, saya sudah lama ingin berkenalan dengan mereka, mereka yang banyak membantu perjuangan isteri. Tetapi, mungkin tiada ruang masa yang sesuai. Hanya Sabtu ini, kalau tiada aral ... setelah hampir 2 tahun, dan barulah kesempatan itu datang. Tak apalah, biar lambat daripada tak kenal langsung!

Beberapa ketika saat belum mulai jemari mengertis atas papan kekunci, saya terfikir, "kenapa tak diajakkan sekali David?"

Nanti saya cadangkan.

Paling memberi pengaruh kepada kejayaan tesis isteri saya, pastilah supervisornya, David Ollis. Oh ya, orang sini betul merendah diri (?) sekaligus friendly - mereka tak suka nama Dr, Assc. Prof, atau Prof diletakkan di depan nama panggilan mereka. Kalau berbual dengan Dr. David Ollis, misalnya, isteri saya membahasakan 'David' saja. Pelik dan terasa janggal, tetapi ini budaya mereka, apa boleh buat!

Dari apa yang saya tahu, daripada cerita-cerita isteri, pertemuan sekali dua dengan David, dia seorang yang bertimbang-rasa dan motivator juga. Ah, saya senang perihal ini. Isteri saya ... apatah lagi. Ini satu kemujuran di balik sebuah kesusahan! Tetapi, selama mana kita selalu mahu berharap dengan kemujuran, melainkan kita harus ikut dengan usaha yang tak kenal putus asa.

Segalanya aturan Tuhan, saya percaya itu!

Perguruan isteri saya dengan David pun sebahagian dari aturanNya. Saya masih ingat, isteri saya hampir-hampir memilih untuk ke Edinburgh, Scotland. Mujur juga. Setelah diselidiki bakal supervisornya, yang katanya prestasi dan kertas kerjanya ternyata lebih banyak berbanding David Ollis ini ... oh, bakal supervisor yang di Edinburgh itu berbangsa Yahudi. Tuhan! Entah kebetulan, selepas itu UPM hanya benarkan isteri saya mencari universiti yang di sebelah selatan saja. Ya, semuanya kebetulan ... pada balik aturan Tuhan yang serba teliti dan berhijab!

Perjalanan kami, isteri terutamanya sudah lebih daripada separuh. Getir, bersulam suka menghiasi derap langkah kami di tanah orang. Sedang jauh di Malaysia, saya tahu ramai yang menanti. Bukan saja keluarga yang terlambung rindu, anak desa yang menagih ilmu yang diceduk di negeri orang. Oh, bukan senang ...

Kayuhan takkan berhenti, hinggalah sampai ke pulau jaya. Dan saya akan tetap di sisi, menemankan dalam doa dalam harap ...




"Perjalanan Ummi masih jauh, Ilham. Ada bukit tinggi, ada gemawan kelabu. Tetapi, kita takkan sesekali mengalah, Ilham!"

6 ulasan:

  1. secara ikhlasnya,

    AKU SUKA MEMBACA TULISAN KO...
    kreatif laaa...
    memang ada bakat jadi penulis besar..
    TAHNIAH bro...

    BalasPadam
  2. Pakar Cinta Sejati:

    Alah, saya pun baru belajar-belajar menulis. Tengah menuntut ilmu lagi nih .. hehe

    Saya sudah ke blog HowTo anda, waduh .. bagus sekali bisnisnya. Harap dapat memberi servis yang terbaik dan berkongsi pengalaman, ya.

    Sebelum terlupa .. kirim salam dengan Tuan Syukri dan isteri. Jemput-jemputlah 'bermain' ke sini. AirAsia banyak tiket murah sekarang.

    BalasPadam
  3. Salam, InsyaAllah Amalia boleh punya..semoga berjaya utk Amalia=)

    Umar pun mcm anak Dr Hamdi juga..dr kecik samapi skrg suke menangis malam2, Fendi selalu buat kerja sambil dodoi Umar kat bahu..besar betul dugaan..huhu..tapi rasanya ada org lain yg lebih besar dugaan mereka dlm membesarkan anak2..

    BalasPadam
  4. Itulah liya, risau dengan progress PhD Amalia. Harapnya selamat hingga ke hujung, doakan! Macam mana dengan progress Fendi?

    Oh, mujur Ilham jenis yang tak meragam malam. Selamat satu hal..hehe

    Hai, orang di Malaysia baru berfamili-day di Cameron, cemburu betul lah!

    BalasPadam
  5. Jgn risau, nnt Amalia hilang semangat pulak..yakin boleh lah dgn dia=) Bg semangat selalu.

    Fendi alhamdulillah so far so good. Tapi skrg dia tgh pening pasal kena submit paper next week, result tarak lagi..Alhamdulillah sensei dia ok, baik n boleh cooperate. InsyaAllah kalau tak ada aral, saya yakin dia boleh buat. Apa2 pun terserahlah pada takdir..

    Itu lah kami pun cemburu juga dgn diorang ni..berfamily day tak tunggu kami balik dulu..

    Virus H1N1 di Aussie mcm mana? Harap2 tak teruk, Jpn dah ok skrg, dgrnya di Malaysia makin meningkat kes. Take care ye.

    BalasPadam
  6. H1N1, oh minta simpang!

    Masalahnya bilangan yang kena makin naik mendadak di bandar-bandar Australia. Semua jadi takut nak keluar dan bergaul ..

    BalasPadam