Khamis, 11 Jun 2009

SURAT 33 : MEMAKNAKAN KEHIJAUAN!

Assalamualaikum,

Warna sentiasa mempunyai maksudnya yang tersendiri.
Putih sentiasa dilihat sebagai manifestasi persih, kejernihan dan simbolisnya sebuah kejujuran.
Biru, katanya warna kedamaian, rasa tenang saja merenungnya. Rasa lapang, memberi inspirasi.
Ungu, seperti kata seorang guru pelatih saya dulu apabila ada teman nakal menulis guna pen berwarna ungu, "ungu ini warna orang romantis. Kamu romantiskah?" Meledak tawa sekelas akan pertanyaan seorang guru muda yang manis itu. Ah, sebuah kenangan!
Kuning, kalau bagi orang Malaysia khususnya, tak boleh dipakai sebarangan. Kerana ia warnanya diraja, yang katanya punya tulah, dan kebesarannya sendiri. Entahlah!

DS NAJIB TUN RAZAK


Dua hari lepas, kami 'menabalkan' DS Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6 di bingkai-bingkai gambar di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia Australia. TYT Pesuruhjaya Tinggi, malahan bertanya: "Gambar untuk bilik saya dan Rumah Malaysia tak adakah?" Alamak, tak cukuplah. Kena dipohon lagi dari Ibu Pejabat di Malaysia.

Aneh, tetapi saya cuba membaca di antara 2 garis - DS Najib dilihat berseri dengan baju melayu berwarna hijau. Ya, hijau! Hemat saya, ini tak mungkin kebetulan. Fikir saya, tak mungkin 'perunding imej' Perdana Menteri tak perasan yang hijau ini warna rasmi musuh politiknya. Mustahil pula orang di keliling-kelalangnya tak memberi pandangan, hatta dulu logo rasmi Petronas lagipun berjaya ditukar, meski kosnya entah berapa banyak. Inikan pula sekadar baju melayu.

Tetapi, saya yang dangkal politik ini berfikir begitu, mungkin inilah kucah-kucah, atau putik-putik perpaduan, senada dengan laungan seteru politik beliau, TG Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, gagasan perpaduan. Selamanyakah dua parti politik utama Melayu Islam ini akan sentiasa bertelagah, bercakaran, dan bertegang urat leher? Tidakkah ada rehat sebentar, mengambil ruang untuk berfikir, merenung jauh ... Nah, mungkin ini adalah isyarat awal dari DS Najib!

POLITIK DUA BADAN SATU KEPALA

Nota: Klik untuk Pembesaran!

Saya tidak dapat menolak untuk belajar!

Menariknya politik Australia yang dekat dengan saya waktu ini dikira lebih matang. Mereka; pasukan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Mr Kevin Rudd, dan pasukan pembangkang yang diketuai oleh Ketua Pembangkang Mr Malcolm Turnbull boleh bertegang urat dalam satu masa, dan kemudiannya bahu-membahu dalam masa yang lain. Mereka, ibaratnya dua badan, tetapi apabila diperlukan, pada masa-masa tertentu, isu-isu tertentu, mereka akan menjadi satu kepala. Mereka, pasukan pembangkang, mempunyai kabinet bayangan yang lengkap, malah mendapat elaun daripada kerajaan Australia. Menarik, bukan?

Ringkas-kata, mereka tak berperang di semua medan, dan tak bertinju di semua gelanggang. Pertembungan mereka, pertembungan terpilih. Ada kala, berhentak meja, adakala mengusap mesra. Politik mereka adalah politik matang yang memenangkan rakyat.

Saya tak pasti bila kita boleh melihat politik dua badan satu kepala ini dijelmakan di Malaysia. Tetapi, DS Najib sudah mengangkat takbir, TG Abdul Hadi Awang telah membacakan iftitahnya. Cuma, yang saya bimbang ada yang akan menikamnya!

2 ulasan:

  1. ungkapan terakhir itu amat amat saya sokong!

    BalasPadam
  2. oh, yang menikam itu yang sangat terbimbang! Kecelaruan politik bertolak daripada kecelaruan hati dan fikir. Kadang-kadang kita Malaysia yang Islam jadi harus malu kepada Australia yang kafir dari sudut kejujuran berpolitk.

    BalasPadam