Ahad, 14 Jun 2009

SURAT 34 : RUMAH INI KOTA BUKU!

Assalamualaikum,

Secara jujurnya, tak banyak benda yang meghelip-gemerlap di rumah saya, melainkan satu set noritake dengan 16 pieces. Itupun dihadiahi teman kerana saya membantunya. Selainnya, saya dan isteri tak begitu kisah, sebagaimana kisahnya orang di sini dengan set-set Noritake, Correl, Royal Barouqe dan sewaktu dengannya. Itu belum dicampur dengan kegilaan beberapa orang Malaysia yang suka mengumpul barangan kristal yang menyilaukan mata. Ah, betapalah manusia ini aneh-aneh, jinsei ga iro-iro dane!

Nota: Rak yang penuh, senget, dan melendut.


Kira-kira saya, tak banyak yang akan dibawa pulang dalam tempoh setahun (atau setahun setengah) daripada sekarang, pada saat isteri saya melengkapkan tesis PhDnya. Sebuah kereta yang sedikit berusia, dan selebihnya buku-buku. Ya, buku adalah harta kesayangan saya. Kegemaran yang dibenih saat kecil itu, kemudiannya menjadi sekuntum bunga minat yang mekar semerbak apabila datang ke sini. Isteri saya, boleh saya katakan kaki buku, walaupun genre utamanya hanyalah buku-buku resepi masakan, selain buku-buku penyelidikannya, cuma genre dan minat saya agak spektrum luasnya mencapah. Daripada buku agama, kemahiran kendiri, dan tentulah saya penulis yang baru bertapak, saya sedang mengembangkan koleksi novel dan kumpulan cerpen saya, khususnya yang ditulis penulis mapan. Terbaru, saya sedang 'makan tak habis-habis' hampir 10 buah novel karya bakal Sasterawan Negara, Azizi Hj Abdullah. Daripada novel tebal Sangeetha yang separuh jalan saya bacanya, yang saya sisipkan di kompakmen kecil di dalam kereta. Memoir Seorang Guru yang terperosok di sisi tandas, buat saya baca saat 'bertapa', hinggalah novel Jiwa Hamba, teman saya baca sebelum mata terlelap kala malam.

Ya, ya itulah harta saya (dan isteri juga!) !

Rak buku saya sudah senget. Saya lagikan pening. Saya sudah memesan satu set Tafsir Ibn Kathir berbahasa Melayu yang dibeli Abah dengan harga RM800.00 di sebuah kedai di Jalan Masjid India. Kalau tak ada aral, kapal kontena tak tenggelam di laut, atau kitab berjilid-jilid itu dicuri orang, dalam sebulan lebih sedikit, kitab-kitab yang sangat saya idamkan itu akan sampai ke teratak kecil kami di daerah Phillip ini. Mana mahu diletakkan?

Satu rombakan besar-besaran rak buku saya harus dilakukan!

Pastilah, kena dengan statusnya sebagai tafsir, mentadabur, memberi makna tentang Ayatullah, maka tingkat pada atas rak buku saya yang sudah mulai senget dan melendut itu akan jadi miliknya. Buku-buku sirah tulisan TG Abdul Hadi Awang dan Said Ramadan al-Buthi, buku-buku Syeikh Nasih Ulwan dan Syeikh Fathi Yakan (Al-Fatihah untuk beliau yang kembali ke rahmatullah!), termasuk juga beberapa buku agama yang lain, semuanya akan turun pangkat!

Nota: Maaf, buku dan majalah di 'bilik termenung'

Buku-buku novel, kumpulan cerpen, dengan penulis yang rencam, yang sekarang duduk di tingkat 2, akan turun satu tingkat. Apa boleh buat! Mahu dibuang? Mustahil! Kata peribahasa India berbunyi: apa yang disudip itulah yang ada di dalam periuk. Maknanya apa? Apa yang ditulis (dicakap) keluar, itulah yang dibacanya. Jadi, sebagai penulis (yang baru merangkak khususnya) saya harus punya rujukan, panduan, lebih-lebih lagi dari tulisan yang mantap, yang memberi makna, meninggalkan impak, khususnya impak agama, mudah-mudahan saya boleh memberikan hasil karya yang kalaupun tak sama dari sudut kualiti, tetapi tetap membawa mesej yang sama, mesej kebaikan dan makna-makna kebenaran.

Nampak gayanya, mungkin beberapa novel bersiri dalam Bahasa Inggeris akan terkeluar. Begitu juga beberapa buku Kemahiran Diri, termasuk tulisan Steven Covey yang saya perolehi dengan harga $3 di Sunday Market. Ya, di sini syurga buku! Anda boleh mendapatkan buku-buku yang sangat baik, yang di Malaysia harganya RM40, RM50, atau ada yang lebih RM100 ke atas dengan harga yang di bawah $5. Itu harga untuk 'tangan kedua' tetapi, kualitinya masih tetap bagus, dan isinya tetap sama dengan harga-harga ratus-ratus di Malaysia itu. Kalau di garage sales yang besar, biasanya di Yarralumla, anda boleh mengisi penuh satu kotak (sekira-kira sebesar kotak Mee Maggi!) dengan harga $15. Pilihlah genre apa yang anda mahu, judul apa, penulis apa, asalkan masih muat dalam kotak itu, harganya dikira borong $15. Oh, oh, oh!

Saya sudah pun meletakkan 2 rak besi 4 tingkat setiap satu di dalam garaj kereta. Dan, sudah ada puluhan buku yang tajuknya saya tak ingat 'tidur' di situ. Saya hanya sempat membaca beberapa muka surat awal sebelum dibeli, kemudian masuk dalam kotak, dibayar harga, dan masih tetap di dalam kotak itu sampai sekarang.

Prinsip saya begini: kebetulan sudah di dalam syurga (buku), capai apa saja yang rasa berkenan di hati, yang harganya ratus-ratus di Malaysia. Mungkin saya tak membacanya hari ini, bulan depan, atau tahun depan sekalipun, barang tak basi, saya boleh 'memakan'nya saat di Malaysia nanti. Dan, sudah beberapa naskah juga menjadi hadiah kepada teman-teman, samada untuk hari jadi, atau hadiah perpisahan, termasuklah Man From Mars, Woman From Venus. Buku itu harganya $3, dibeli di Sunday Market oleh isteri, sempat dibaca sekali lalu sampai muka surat pertengahan, dan kemudian menjadi hadiah hari jadi adik A.N.U.

Nota: Sebahagian yang di rak besi di garaj kereta. Sungguh ... masih di dalam kotak!

Buku Ilham juga banyak, tak terbilang. Sama, walaupun Ilham masih belum pandai membaca, tak rugi membeli sekarang. Harganya, memang sungguh-sungguh mengiurkan, $0.50. Ada yang jenis diberi percuma setelah saya beli beberapa barang yang lain. Aduhai, syurga, syurga ... ini baru syurga dunia. Bagaimana kalau syurga Tuhan? Yang katanya tak pernah terbayang oleh akal, terdengar oleh telinga dan terlihat oleh mata, bagaimana?

Saya harap kegilaan ini tak akan mati di sini. Biarlah hanya punya satu set noritake bertanah putih, bergelang halus warna emas, asalkan buku-buku ini saya bisa kelek pulang selepas tempoh pengajian isteri saya tamat nanti. Saya puas, meratah, memamah, memakan, membaham satu-satu ilmu Allah, yang nyata ... tak tertulis oleh pena sebanyak pohon yang ada, tertinta oleh seluruh tinta lautan, malahan. Subhanallah!

4 ulasan:

  1. memang best kan shopping buku kat sana..hehe...beg saya hari tu berat dengan buku2..tu pun 4 siri harry potter terpaksa ditinggalkan dulu...dah tak muat...saya memang biasa minta makcik2 di sana carikan buku....seronok..order je..hehe...mereka pun tahu saya gila buku....bukan semua dibaca pun...cuma suka kumpul....saya tak pernah menyesal pun beli buku mahal2 tapi tak khatam..saya terpaksa tidur di bilik bawah sebab bilik saya sudah penuh dengan rak buku dan kertas+warna..ada gunanya juga buku2 tentang anatomy dan perubatan yang saya kumpul masa mengkaji kesan kemalangan dulu...sekarang jadi bahan rujukan akak yang masih menuntut di kolej swasta dalam bidang kejururawatan...hmm...masih ada 3 atau 4 buku dalam list utk dibeli ni...rak buku pun dah lebih besar dari almari pakaian saya..hmm...hidayah cinta baru saya baca bab pertama....maaf la saya agak sibuk dengan kertas dan warna akhir2 ni....masih belum punya kesempatan...

    ~cahaya~

    BalasPadam
  2. samalah kita melendut sudah rak buku di rumah~

    BalasPadam
  3. Cahaya: Beli dulu, kemudian baca sedikit-dikit, terutama masa nak tidur, atau di dalam tandas .. hehe

    Oh sibuk dengan melukis pulak ya .. selamat menjadi Dato' Lat ..:)

    BalasPadam
  4. Abang Rudi: tapi, kalau rak buku melendut boleh ke Ikea, cari yang baru ... haha

    Bukan senang nak membudayakan membaca di kalangan orang kita, Dan, ibubapa harus menjadi contoh yang pertama, di rumah!

    Tengah mengumpul-ngumpul buku untuk dijadikan pustaka mini di rumah nanti.

    BalasPadam