Rabu, 17 Jun 2009

SURAT 36 : MENULISLAH UNTUK DIBACA!

Assalamualaikum,

"Kalau anda berada di luar negeri, menulislah!"




Petang tadi saya ditemuramah oleh seorang wartawan Berita Harian, bahagian Sastera, Shika. Ya, pengalaman pertama, sebagai seorang penulis. Apatah lagi, temuramah itu dilakukan secara maya, ikut YM. Betapalah dunia di hujung jari ini telah memendekkan jarak dan merangkumkan dua daerah dalam sebuah portal bicara.

Ada 2 isu utama yang ditanyakan kepada saya. Pertama adalah sindrom penulis wanita yang memilih 'bersara pilihan', berhenti berkarya sebaik saja mereka berkahwin. Akibatnya angkatan penulis wanita 'mati' awal, seawal usia 30-an. Sayang, bukan? Maka itu, senarai Sasterawan Negara yang 9 orang kesemuanya jumlahnya itu tak menyelitkan walau seorangpun dari gen Hawa. Mungkin ini salah satu penyebabnya, selain faktor-faktor lain yang menyumbang sama.

Ya, tinggalkan tentang isu penulis wanita ini. Tulisan ini lebih memberikan fokus kepada isu kedua; menyentuh tentang rakyat Malaysia, terutama golongan pelajar agar menulis ... menulis hingga menjadi sebuah buku untuk diterbitkan secara komersial.

"Sayanglah. Pelajar kita ada di mana-mana, Timur Tengah, UK, US, Asia Timur, Australia, pendek-kata mana tanah sekalipun, akan adalah orang Malaysia. Tetapi, mana karya-karya mereka? Pengalaman-pengalaman mereka, budaya orang luar, terutama yang baik-baik, jerit-perih untuk mendapat segulung ijazah, semuanya harus dirakamkan dalam bentuk tulisan, buku untuk dikongsi baca oleh sebahagian lagi rakyat Malaysia yang tak berpeluang."

Demikian saya melontar hujah pemula. Sementara itu saya tetap sibuk. Berkejar ke sana-sini, sekejap di tingkat bawah, sekejap di tingkat atas. Ada tugasan yang harus disiapkan. Esok, TYT Pesuruhjaya Tinggi pulang ke Malaysia kerana ada program rasmi. Jadi, saya harus serahkan draf kad jemputan untuk Majlis Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan pada 31 Ogos nanti petang tadi juga. Lambat lagi? Tak lah! Sekarang baru proses draf, dicetak sendiri ayat-ayatnya, dipadankan dengan alamat tetamu jemputan, kemudian dikirim. Proses seterusnya menanti jawapan. Uih, panjang prosesnya, dan banyak tangan kena dilalui, jadi eloklah bermula awal.

Hidayah Cinta, novel pertama saya, misalnya. Saya melihat faktor yang melonjakkan jualannya, selain daripada kerja keras bahagian Sales PTS ialah kerana pemilihan latar belakang Jepun, yang di luar lingkungan kebiasaan novel di Malaysia dewasa ini. Saya rasa, kalau dengan mutu tulisan saya yang 'merangkak' sebegitu, tanpa dipadankan latar belakang luar negara, khususnya Jepun, mungkin jualannya agak lembab. Pasti!

Ketika pertama kali bertemu dan bersembang dengan Trainer Penulis Bestseller, Tuan Faizul Naim saya sempat bersembang dengannya tentang corak kemahuan pembaca novel di Malaysia. Katanya, "boleh dikatakan hampir lengkap tentang kehidupan di Malaysia ditulis dalam novel. Hari ini, pasaran mahukan novel-novel yang membawa tema luar negara."

Novel Ayat-ayat Cinta membawa lanskap Mesir kepada rakyat Indonesia, Salju Sakinah oleh Zaid Akhtar mengupas kehidupan pelajar Jordan, John Norafizan dari Creative Interprise pula telah mengetengahkan naratif kotaraya Manchester kepada pembaca Malaysia melalui Sempadan Tanpa Seri dan Berikan Aku Satu Bintang. Dan saya kira jualan kesemua novel di atas menggebu-gebu.

Tetapi, itu saja tidak cukup! Mana cerita-cerita dengan latar belakang India, misalnya? Khabarnya ramai pelajar Malaysia di sana. Cerita dari Russia, Perancis, Korea Selatan, hatta Indonesia yang dekat sekalipun, mana? Saya cukup yakin selera pembaca di Malaysia hari ini lebih terarah kepada suasana, budaya, latar belakang negara-negara di luar. Industri perfileman atau drama Malaysia sudah memulainya melalui Cinta Antara Benua dan Cinta Madinah (hanya sekadar contoh), tetapi industri buku masih agak tertinggal lagi, paling tidak, hingga saya menulis sekarang.

"Tetapi, bakal-bakal penulis ini harus didorong dan dibentuk. Mereka tak jadi sendiri-sendiri. Penerbit-penerbit mungkin boleh 'menyerbu' pusat-pusat persediaan pelajar, adakan bengkel, atau kursus pendek. Dedahkan kepada mereka tentang potensi pasaran besar yang sedang terus berkembang. Maklumkan, ada penulis sepenuh masa yang suda boleh hidup senang dengan duit royalti."

Demikian, saya mengimbangkan hujah. Shika dilihat (saya bayangkan wajahnya di depan komputer) terangguk-angguk membaca tulisan-tulisan saya.

Saya telah menjenguk banyak blog-blog penulis, khususnya yang muda-lela. Ternyata, mutu tulisan mereka, dan isu-isu yang diangkat oleh sebahagian daripada mereka saya kira jauh lebih matang berbanding saya pada usia saya sebaya mereka, hatta lebih matang daripada corak fikir saya saat ini sekalipun. Cuma, sayangnya ... penulisan di blog ini berakhir di situ, tak membawa, atau dipandu ke mana-mana!

Penerbit Galeri Ilmu telah mengambil langkah awal, Travelog Rindukan Bau Buah Tin oleh Ustaz Hasrizal yang membawa latar belakang Jordan, dan Langit Ilahi oleh Hilal Asyraf adalah 'anak' blog, kemudian menjadi dewasa sebagai sebuah karya Travelog Dakwah yang berjaya sampai ke tangan pembaca. Mana yang lain? Saya yakin ada ratusan blog yang lain, dari selatan di New Zealand hingga paling utara di Russia atau Canada, kenapa tak membesar menjadi buku-buku yang menghiasi toko-toko Popular, Kunikoniya, mahupun MPH? Sesuatu harus dilakukan!

Saya juga menyebutkan kepada Shika, kalau Kumpulan Utusan boleh berbangga dengan Hadiah Kumpulan Sastera Utusan yang dianjurkan saban tahun, mengapa Kumpulan NSTP tak boleh menganjurkan Sayembara Novel-novel Kisah Luar Negara, misalnya? Gergasi-gergasi media ini harus mendorong, sekaligus berperanan dalam memandaikan anak bangsa, memberikan pencerahan, menyuluh budaya-budaya yang asing yang baik, yang buruk juga, malahan.

Tun Mahathir semasa berucap di depan pelajar Malaysia di Tokyo sekitar tahun 2002-2003 meyebutkan: yang kita mahu belajar dari Jepun bukan saja yang baik-baik, tetapi juga budaya buruknya. Untuk apa? Supaya orang Malaysia tak tersandung membuat keburukan yang sama seperti orang Jepun! Kami satu dewan tertawa, tetapi kata-kata Tun itu benar. Kita mahu belajar yang baik untuk diikuti, belajar yang buruk untuk dijadikan sempadan agar kita tak terlepas lewat dari garisannya.

Jadi, pokoknya menulislah! Kongsikan setiap derap tapak anda di tanah orang dalam bentuk tulisan-tulisan, buku khususnya kepada orang di tanah bonda. Fahamilah, mereka membayar cukai, dan wang cukai itu digunakan buat biaya kehidupan kita di tempat orang, pulangkan semula ... paling tidak dalam perkongsian ilmu!

8 ulasan:

  1. "Fahamilah, mereka membayar cukai, dan wang cukai itu digunakan buat biaya kehidupan kita di tempat orang, pulangkan semula ... paling tidak dalam perkongsian ilmu!"

    sangat2 setuju dgn pendapat sempai dlm hal nih..

    BalasPadam
  2. Salam,

    Wah! Betapalah saya turut rasa terpukul!

    Pinjam link ini ya, saya mahu letak di Facebook, biar rakan-rakan lain juga baca dan turut sama fahami. Aduhai, sudah kerugian berapa tahun, ya?

    Alhamdulillah, suka dengan tulisan bersaiz baru! =)

    BalasPadam
  3. YA seharusnya menulis itu menjadi kewajiban. berkongsi apa yang kita peroleh kerana semua anugerah Ilahi. Anda pasti di Canberra kan. Kota taman sederhana nyaman tidak banyak bangunan tinggi yang menggila macam di tanah air kita sekarang. Saya juga menulis latar Canberra, Sydney dan Melborne dalam cerpen Kampung Paya kami...salam ranting gum tree (bonda Siti)

    BalasPadam
  4. kyo9: Kalau sudah bersetuju, kena menulis dan rajin menulis. Nanti menyesal kalau tak ditulis semasa masih di Nihon, macam Abang, dan Dai-Sempai Rudi Bluehikari. Biar ada gambar sekali, nanti-nanti bila sudah di Malaysia, bekerja, itulah album kenangan kita, buat ditinggalkan pada anak dan cucu

    BalasPadam
  5. Balqis: Selamat men-copy&paste! Dan jangan lupa menulis pengalaman kamu tu .. menarik juga untuk dibaca!

    Tulisan baru? Aha .. lebih user friendly harapnya.. hehe

    BalasPadam
  6. Bonda Siti Zainon,

    Oh Tuhan! Terasa kerdil sungguh apabila pemimpin besar (sastera) turun melawat daerah terpencil saya ini. Apapun saya sangat berbesar hati, menadah seluruh benua Australia ini buat Bonda!

    Gum Tree?! hehe ... Gumtree yang sering ditenggek oleh burung-burung Cookaatoo dengan badan putih balung merah cantik.

    Bonda Siti, saya sedang berfikir-fikir untuk memesan Delima Ranting Senja Bonda, mungkin daripada Ujana Ilmu Puan Nisah Haron. Harapnya saya bisa membacanya nanti

    BalasPadam
  7. Salam..
    Terima kasih atas kunjungan kerap ke blog saya yang tak seindah karya anda..:).Semoga terus menulis untuk Ummah..

    BalasPadam
  8. Salam Nazwa, saya berkunjung kerana ada santapan ruhani di sana, kemudian kenyang saat saya keluar dari 'rumah' Nazwa ..Terima kasih, dan terus-teruslah menulis

    BalasPadam