Pejabat saya, alias pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia Australia ialah di Yarralumla. Lebih tepatnya di 7, Perth Avenue, Yarralumla. Sedangkan anak lelaki saya dijaga oleh seorang Makcik Singaporean di satu kawasan di pinggir city; Turner.
Rutin kami sekeluarga begini - kerana universiti isteri lebih dekat dengan rumah pengasuh, maka isteri saya yang menghantarnya. Sebaliknya, di sebelah petang, kerana isteri selalunya habis lewat (susahnya saya tengok eksperimen-eksperimen kimianya, ganbare aichan!), dan walaupun si pengasuh yang baik selalu kata: tak pa, datang ambil lewat pun tak mengapa, tetapi kami tetap mengambil anak tepat waktu, sebelum jam 5:30 petang.
Jadi, route saya di sebelah petang adalah begini: Yarralumla -> Turner -> Phillip (rumah kami!)
Setiap petang semasa dalam perjalanan antara Yarralumla - Turner dan Turner - Phillip pasti saya akan berjumpa dengan dua orang si pengelap cermin kereta. Yang di persimpangan lampu isyarat Northbourne Avenue - London Circuit adalah seorang lelaki muda yang selalu memakai jersi sukan, dan di simpang lampu isyarat Northbourne Avenue - Barry Drive, seorang tua yang berambut kerinting. Saya percaya, siapa melihat akan lekas terasa belas kasihan, "tua-tua pun masih bekerja."
Setiap hari saya bertemu mereka berdua, dan sering terfikir,
"berapakah bayaran yang mereka dapat?"
Mereka berdua ini akan membawa sebatang kayu pengelap cermin kereta dan dengan bahasa badan akan ditanya kepada pemandu yang berhenti kerana lampu isyarat merah,
"mahu dicucikan cermin kereta?"
Upahnya, terpulang! Ada yang memberi mereka 50 sen, satu dollar, malah saya pernah lihat seorang makcik hanya menyuakan sebatang rokok sahaja sebagai upahnya.
Dan selalu yang saya tengok, lebih ramai yang menggeleng kepala (tak mahu perkhidmatan lap cermin keretanya!), saya bertambah kasihan. Jadi, saya berfikir begini,
"Sedekah sahaja dengan mereka, kerana saya kagum dan kasihan dengan mereka!"
(Nota: Maaf, kerana tangan kanan digunakan untuk menekan flash duit terpaksa diletakkan di tangan kiri. Harap maklum!)
Ya, mereka pejuang dalam bahasa yang tersendiri. Meski terpaksa bekerja di bawah panas terik, atau kalau musim sejuk, dingin mengigit, meski dengan bayaran upah yang tak setimpal, meski terpaksa menebalkan muka menawarkan perkhidmatan, mereka tetap redha mencari rezeki, rezeki yang halal!
Apa sangat nilainya 50 sen dan satu dolar? Saya boleh menggembirakan mereka, sambil jauh di sudut hati saya berharap mereka mendoakan saya, cukup!
Ya, saya akan memberi mereka 50 sen seorang, kalau boleh setiap minggu. Dan kalau boleh, di hari Jumaat yang berkat itu. Saya tak mahu mereka mencuci cermin depan kereta saya, saya cuma mahu angkat tangan seperti orang berdoa, dan dengan bahasa badan memberitahu mereka,
"tolong doakan saya!"