Selasa, 9 Jun 2009

SURAT 31 : PAHALA ITU BUKAN UNTUK SAYA!

Assalamualaikum,

Nota: Entry ini adalah 'membeli' tulisan Puan UmmuNajah.

Saya berdoa di dalam hati,

"Ya Allah Ya TuhanKu, jika kerja ikhlas aku ini wajar mendapat balasan pahala, kirimkan pahala ini buat Kak Ana sekeluarga."

Ceritanya begini, kira-kira seminggu dulu ada pegawai baru bersama isteri dan tiga orang anak kecilnya baru sampai ke Canberra. Kedatangan mereka, lantas mengingatkan saya tentang ketibaan kami tiga beranak dua tahun dulu; 23 Jun 2007. Musim sejuk yang serba dingin, Ilham yang baru berusia 4 bulan lebih sedikit (kalau ikut perkiraan betul 2 bulan lebih sedikit kerana Ilham lahir pre-mature, hampir 2 bulan lebih awal dari yang dijadualkan), dan sungguhnya kami seperti rusa masuk kampung, tercangak-cangak melihat tempat orang. Saya pasti keluarga pegawai baru ini pun pasti akan alami keadaan dan perasaan yang sama.

Ketibaan kami di Canberra, disambut Kak Ana, dan suaminya Abang Zabri yang sekarang sudah pulang bertugas di UITM Shah Alam. Rumah merekalah tempat kami tiga beranak mula-mula berteduh daripada dingin musim salju. Siang hari, Kak Ana lah yang menemankan isteri saya ke hulu ke hilir mencarikan rumah sewa. Dan kalau ada kelapangan, Abang Zabri akan membawa saya mencarikan kereta terpakai yang bersesuaian untuk dibeli jadi guna kenderaan sehari-sehari di tanah orang ini.

Dikira-kira 3 minggu juga kami menumpang budi orang. Selepas Honda Civic EX 1.3 1989 berjaya saya miliki, setelah rumah townhouse dua bilik kami pindahkan barang-barang yang dibawa (3 beg pakaian besar yang sendat dengan pakaian, buku-buku dan sedikit rempah-ratus) kami berkira-kira untuk meninggalkan kediaman Kak Ana.

Kami berikan $250.00 buat budi dan segala macam jasa mereka, yang saya pasti tak sepadan dengan nilai $250.00 yang tersangat kecil itu.

"Tak payah! Tak payah! Duit itu buat guna beli barang-barang untuk rumah baru. Lagipun banyak lagi benda yang nak kena beli untuk mula hidup baru ini."

Sepasang suami-isteri itu, kedua-dua menolaknya. Air muka menampakkan ikhlas yang tak dibuat-buat. Betapalah masih ada manusia berhati mulia di tengah dunia yang serba cacar ini!

Setelah didesak, akhirnya mereka menerima $50.00 daripada kami. Itupun setelah saya berikan kepada anak-anaknya yang tiga orang.

Jadi, berbalik kepada pegawai yang baru datang, saya jadi terpanggil untuk membuat seperti apa yang Kak Ana sekeluarga buat pada saya. Petang itu, balik daripada kerja, terus saya ke Jabal Halal di Mawson - 1 kilo daging, 2 ekor ayam, bawang putih dan merah, sebotol canola oil, sedikit biskut, buah-buahan, dan saya singgah di rumah, saya capai periuk sederhana besar dan sebilah pisau. Dengan 'ole-ole' yang sedikit ini, mudahan cukup untuk mereka lima beranak memulakan kehidupan baru di tanah savana Canberra. Mudahan itu cukup untuk kudap-kudapan terutama pada anak-anak kecil yang selalunya berkerenah sedikit dalam hal makan-makan ini. Anak-anak ... manalah mereka tahu sangat yang tenpat orang ini susah untuk dapatkan roti canai mamak, apalagi nasi lemak Makcik Simpang yang sedap.

Tidak. Saya buat semua ini bukan untuk apa, kerana mengenangkan kebaikan orang pada saya. Maka benar sungguh kata orang tua, hutang budi dibawa mati. Sampai ke tuapun saya terkenangkan budi baik orang; Kak Ana sekeluarga ke atas saya. Maka itulah, saya doakan kerja baik saya ini, kalaulah ikhlas dan punya bahagian di sisi Tuhan, dibahagikan kepada Kak Ana jua, kerana kebaikan mereka dulu.

Ya, adat di tanah orang, mereka yang sebangsa seagama itulah adik-beradik kita yang paling dekat, buat menggantikan adik kakak abang kita di Malaysia yang kita tinggalkan. Susah senang, gelak tangis semusim sebagai anak rantau di tempat orang, tak kiralah sebagai seorang petugas kerajaan kah, atau seorang pengejar ilmu Allah, hanya anak rantau di tanah sama saja yang bisa memahaminya, yang kemudiannya meminjamkan bahu, buat kadang-kadang bertangisan, mengadu kesusahan.

Selamat berjuang, Tuan. Kata seorang bekas boss dulu: "kayuh perlahan-lahan!"

3 ulasan:

  1. ya, buatlah kebaikan kemudian lupuskan dari ingatan. Alangkah baiknya jika semua umat sebegini. Budi yang tak terbalas pd org yg memberi kita hulurkan pula kpd orang lain yg memerlukan. Alhamdulillah!

    BalasPadam
  2. Allah lebih maklum dari segala. Moga segalanya menjadi amal dan jariah. Saya sangat ingin bertatap muka dengan insan yang berbudi ini, suatu waktu nanti.

    BalasPadam
  3. Abang Rudy dan Tuan Marslino,

    Saya hanya buat sekadar termampu, yang saya fikirkan baik sebagai manusiawi ..:)

    BalasPadam