Rabu, 29 April 2009

SURAT 18: JANGAN KURUNG DIA, ANAKMU!

Assalamualaikum,

Kata saya kepada Ustaz Naza saat bertemu, meluahkan rindu pertemuan dengannya, "ustaz, satu masa dulu, saya datang sendirian. Hanya Abang Hamdan saja yang berangkut anak-anak kecil untuk datang berprogram agama dengan Ustaz. Sekarang, saat saya pula mengangkut 'bala tentera' untuk datang dengar kuliah ustaz. Pantasnya masa berlalu, ya Ustaz."

Ya, saya bertemu dengan Ustaz Naza di luar negara dua kali, secara kebetulan. Pertama, lama dulu, ketika saya masih bujang trang-tang-tang, di Jepun. Ketika itu, tak kisah sangat, boleh turun-naik densha dua-tiga kali pun, mengejar dan kemudiannya ditinggalkan shinkansen, ketika mahu pergi summer-camp di Nagaoka, ketika itu bersama dengan Afendi. Kemudian, juga dengan Afendi, melompat naik ke atas feri saat ia betul-betul mahu bergerak meninggalkan Beppu Port untuk ke Kobe selepas berakhirnya Winter Gathering, betul-betul seperti De Caprio dalam Titanic. Tetapi semua itu tak jadi masalah, malah manis sekali buat dikenang.

Sebaliknya, sekarang, dalam pertemuan kedua dengan Ustaz Naza ini ... dengan keperluan isteri masih boleh di-nombor dua-kan, tetapi, perihal anak kecil yang kadang-kadang mudah meragam, hendak itu, hendak ini, aduhai, kadang-kadang saya harus berfikir dua kali.

Betul sungguhlah kata Allah, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Al-Munafiqun: 9)

Sesungguhnya, saat melihat Abang Hamdan mengheret anak-anak kecilnya ke setiap program agama dulu, hatta, beberapa kali saya lihat, kalau datang mesyuarat sekalipun, akan dibawanya anak sulungnya yang lelaki untuk ikut sama, saya sudah memasang angan - aku akan ikut cara Abang Hamdan!

"Inilah tarbiyah semulajadi untuk anak-anak," begitu pesan Abang Hamdan kepada saya.

Dan, itulah yang saya pegang, supaya tak terlucut, kepada anak sulung saya, Ilham, atau untuk adik-adiknya, kalau ada rezeki, InsyaAllah.




Ya, anak-anak tidak harus ditinggalkan di rumah, kalau kita keluar ke masjid, ikut kuliah, sebaliknya, bawalah bersama. Saya akur, kadang-kadang suasana beragama di Malaysia, tidak begitu memesrai anak-anak kecil, seperti yang selalu Ustaz Hasrizal kongsikan dalam ruang blognya, tetapi, kita harus mengubahnya. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Hari ini, kalau di masjid di tempat kita, kalau dibawa anak kecil untuk ikut sama, akan adalah mata yang menjeling. Aduh! Apalagi, kalau anak-anak kecil yang meragam, bertambah merah-padamlah muka jemaah sebelah. Kita tidak dapat meraikan jemaah dengan anak kecil. Seolah-olahnya anak kecil tiada tempat di masjid, begitukah?

Betapa, tentu kita tak terlupa bagaimana dalam hadis pernah memperlihatkan bagaimana lama sekali sahabat-sahabat sujud berimamkan Nabi saw - oh, rupanya Saidina Hassan dan Husain duduk tercatuk atas bahu Baginda saat Baginda sujud. Baginda saw tidak bangun terus, sebaliknya menunggu sehinggalah ketua-ketua pemuda syurga itu yang bangun sendiri, dan barulah Baginda bangkit dari sujudnya.

Nah, ada dua ibrah di sana. Pertama, kawasan masjid, hatta Masjid Nabawi zaman nabi sekalipun bukanlah sebuah kawasan larangan untuk anak-anak kecil. Kedua, bahkan, Nabi terlalu mengasihi cucu-cucu Baginda itu hingga menunggu kedua-duanya bangkit sendiri daripada bahu Baginda saw. Eh, bagaimana dengan kita hari ini? Aduhai!

Dan, saya melihat suasana ini sedikit-sebanyak memberi kesan, yang datang ke masjid hanyalah dari golongan, maaf kata, kubur kata: mari, marilah. Yang muda-muda mana? Jawapannya, itulah sikap kita tadi - susah, aku ada anak kecil, nanti orang masjid jegil mata.

Nah, kalau kita yang tidak mengubahnya, siapa lagi?

Saya rasa, sudah sampai masanya jawatankuasa masjid memikirkan keperluan kepada nurseri semasa. Maksudnya begini, keperluan untuk bilik penjagaan anak-anak kecil, dengan disediakan permainan yang bersesuaian untuk memberi peluang ibu bapa mengikuti kuliah. Atau, tidak salah juga, kalau ibu bapa ikuti kuliah, dan sang anak juga mengikuti kuliah, tetapi kuliah yang berbeza, yang sesuai dengan aras akalnya.

Kita yang perlu mengubahnya, siapa lagi, bukan!

Sesekali, saat diminta adik-adik untuk berkongsi ilmu di surau universiti, saya angkut saja Ilham bersama. Ya, tak dinafikan kadang-kadang, adakalanya dia meragam. Tetapi, itu hanya jarang-jarang sekali. Sebaliknya, yang lebih banyaknya, Ilham lebih senang untuk bermesra dengan abang-abang dan kakak-kakak yang ikut kuliah abahya, err ... saya! Dan, sesekali ada juga Ilham datang mengacau saya, ah, saya kira itu sebagai iklan, selingan. Bagus juga, kadang-kadang jadi terhibur dan hilang kantuknya.

Bukankah inilah tarbiyah semulajadi. Tarbiyah yang bermula dari saat dia mengenal dunia, masih merangkak, merengek, dan bercakap sepatah dua. Anak-anak sudah diperdengarkan tentang Allah, meskipun mereka mungkin masih tidak faham, sebetulnya (atau, mereka faham sebenarnya, siapa tahu, bukan?) Pokoknya, anak-anak jangan dikurungkan di rumah semata-mata kerana takut mengganggu jemaah masjid. Tetapi, haruslah kita ajar, latih, bimbing anak-anak yang berhati cerah ini.

Pokoknya, anak-anak kecil harus dibawa ke tengah medan dakwah, anak-anak harus diperlihatkan dengan perbuatan solat berjemaah ibu bapanya, misalnya, justeru anak-anak lebih senang mengikut SIKAP daripada CAKAP.

"Kalau kauorang sembahyang jemaah, letakkan satu sejadah khusus untuknya, supaya dia tak ganggu sembahyang kauorang. Beritahu elok-elok, nanti sujud di sini. Jangan kacau Abah dan Ummi nak sembahyang."

Demikian pesan Emak (ibu kepada isteri saya) saat kami bercerita pengalaman kami terhadap Ilham. Sekali lagi, pokoknya, jangan tidak bersolat jemaah antara ibu dan ayah, semata-mata alasannya: susah, anak kecil! Aduhai, aduhai!

Anak anda bagaimana? Ah, kita boleh mengubahnya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan