Rabu, 22 April 2009

SURAT 14: DI TULLAMARINE ITU, DINGIN SUNGGUH!

Assalamualaikum,

"Dakwah ini memerlukan strategi, Wan."

Saya membuka kata.

"Maksudnya?"

Azwan, junior saya membuka mata, menunjukkan minat. Dia anak muda, jiwa muda, tetapi penuh dengan pengalaman, yang dikutipnya sepanjang usia menengah remaja dan akhir remajanya. Azwan, jadi peneman kembara saya dan keluarga kali ini. Kebetulan!



Sejuk mencekam, meski malam belum betul-betul merajai buana. Saya rasa, alam Melbourne ini jauh lebih dingin daripada Canberra, tempat saya bermain. Entahlah, kata orang: Melbourne ini satu daerah yang empat musim dalam satu hari. Maksudnya, pagi boleh jadi sejuk seperti musim salju, tengahari panas mencengkam, dan lewat senja lembut berpupuk seperti musim semi yang mendamaikan.


Di belakang kami, Lapangan Tullamarine ini tak pernah sunyi - burung-burung besi itu sentiasa saja turun dan terbang lagi. Burung-burung besi daripada jenis QANTAS berlogo kangaroo merah yang menguasai, atau juga Sang Harimau Tigerairways yang menumpangkan saya tiga beranak daripada Canberra ke Melbourne yang memakan masa hampir sejam. Oh, saya berazan kecil dalam penerbangan buruk tadi, ah, takut mati juga saya ini!



Ah, Lapangan Tullamarine ini adalah tamsil-tamsilan kehidupan kita jua, di bumi ini. Kapal terbang, entahkan dari benua utara, timur, atau barat, datang singgah sekejap, memuntahkan penumpang yang ratusan, dan pergilah untuk terbang semula. Ya, kita di dunia ini pun, singgah sebentar saja, beramal, dan pulanglah ke negeri abadi, membawa amalan kita, baikkah, burukkah untuk dinilai. Aduhai Tuhan!


"Begini Wan, soalan saya ..."


"Apa?"


"Kenapa Nabi dan Abu Bakar harus bergadai nyawa untuk berhijrah ke Madinah? Kenapa tak Allah hantarkan saja Bura' seperti dalam peristiwa Isra' Mi'raj? Bukankah lebih mudah untuk Nabi dan Abu Bakar sampai ke Madinah? Tak perlulah bermalam di Gua Sur, dikejar oleh Suraqah Ja'sy? Soalannya, kenapa?"


Kali ini anak muda itu terdiam. Matanya terlontar kepada teksi-teksi airport Melbourne yang berbadan kuning, samada dari jenis Sedan atau van MPVnya. Dan saya ikut melihat - oh, betapa ramai dari jenis orang Arab-arab yang bekerja sebagai pemandunya. Betapalah, rezeki Tuhan itu ada di mana-mana, bukan? Dan saya tahu, muka-muka Arab itu sebetulnya bekas pelarian, lewat peperangan perit pada tanah tumpah darah mereka, Lubnan, Palestin, Iraq dan Iran, misalnya, lalu dengan langkah berat mampir menumpang rezeki di tempat orang, dan di luar sedar Islam semakin menjadi besar di tanah Australia ini.




Isteri saya dan Ilham berkurung di dalam bangunan terminal, kata isteri saya tadi: kami duduk di dalam dulu. Kalau Hudaya datang menjemput sekejap lagi, telefon, ya. Ya, kata Hudaya; teman saya yang di Monash University itu, dia akan menjemput, jam 5. Sebentar lagi lah tu, doa saya.


"Mungkin itulah maksud kamu tadi, dakwah perlukan strategi?"

Azwan mencuba. Saya lihat, dia mengemaskan dakapan tubuhnya, sejuk makin merewak pondok bas, tempat kami menunggu Hudaya.

Saya tersenyum, "betul. Peristiwa Hijrah mengandungi ibrah dalam membawa dakwah."

"Tak faham..."

"Siapa yang jadi juru-pandu Nabi dalam peristiwa hijrah tu?"

Diam Azwan, "tak ingat nama, tapi bukan Islam."

"Amir Furaihah, musyrikin, " jelas saya. Senja memanjat malam di Tullamarine yang dingin. Saya berkira-kira, untuk jamak takqim, atau jamak taakhir. Sambil-sambil mata melingas jam pada telefon bimbit (jam saya rosak, habis bateri pulak!) 5:30. Belum sampai lagi Hudaya!

Melbourne, atau Australia sepenuhnya akan menjadi malam seawal jam 5 petang lebih sedikit kala-kala musim dingin menampakkan wajahnya. Sebaliknya, akan jadi lewat datang malamnya pada musim-musim panas mengigit. Begitulah Tuhan mengaturkan sejak zaman-berzaman tak perlukan bantuan sesiapapun.

"Maknanya untuk menyampaikan Nabi ke kota Madinah, dalam keadaan hari ini, untuk menyampaikan maksud dakwah adalah tak salah untuk berbaik dengan non-muslim, hatta musyirikin, seperti kisah hijrah Nabi. Tetapi, bersyarat ... jangan sampai gadaikan prinsip Islam kita!"

Azwan angguk, seraya tersenyum. Fahamlah tu, kot. Oh, ada rembulan cerlang 14 Rabiulakhir pada langit Melbourne, sedang sejuk terasa meratah kami berdua di luar terminal. Hudaya belum tiba, kenapalah?

"Dan lagi, kamu tahu bukan, Nabi tidak meninggalkan Mekah dengan senang-senang .."

"Betul. Ali gantikan tempat tidur nabi, kemudian anak Abu Bakar yang lelaki ditugaskan menjadi pengintip, yang perempuan, em, Asma' kah namanya, tukang hantar bekalan makanan..."

Ah, anak muda ini, jiwanya berisi.

"Jadi, apa maksudnya?"

Saya menduga Azwan semula. Kali ini dia diam.

"Usaha dakwah tidak boleh sekadar pandai cakap, Wan. Ia juga harus bijak merancang, berilmu seperti ilmu peperangan..."

"Tak faham."

Pulak!

"Tahu bukan, Nabi menutup menyamar ketika ke rumah Abu Bakar untuk beritahu Abu Bakar yang mereka akan berhijrah. Kemudian, si gembala kambing Abu Bakar diminta membawa kambingnya ke kawasan sekitar Gua Sur, tujuannya apa? Untuk tutup tapak kaki laluan anak Abu Bakar yang mengintip di tengah kota untuk mendapatkan maklumat. Maksudnya, kena sembunyikan identiti, sedikit-sebanyak, kalau keadaan dirasakan bisa membahayakan tujuan dakwah."


"Tak boleh terang-terangan?"



"Ya, tak boleh somborono!"

Adikku, tahukah kau, katanya Hassan al-Banna, pengembang dakwah di Mesir: Mereka tidak akan menentang kamu selagi mereka tak tahu akan dakwah yang kamu bawa.

Bicara kami terpancung tanpa bersimpul saat sms Hudaya sampai: Ayuh!

2 ulasan:

  1. salam ziarah..ana senang membawa tulisan akh...nampak akh seorang penulis yang bukan calang2..penuh ilmu dan kata2 indah..credit utk pendakwah..subhanallah..salam perjuangan.

    BalasPadam
  2. Salam terhormat untuk Mujahidah Solehah,

    Pertama, terima kasih kerana berkunjung, membaca tulisan saya yang serba naif, lantas meninggalkan pesan. Sangat-sangat berbesar hatinya saya!

    Mujahidah Solehah, saya menulis sekadar kemampuan saya. Orang kata, saya hanya berusaha sekadar yang di bumi, selebihnya adalah kurniaan yang di atas langit ..:)

    Doakan saya istiqamah menulis, dan menulis pula yang baik-baik yang menjadi hasanah buat saya yang serba kurang.

    BalasPadam