Rabu, 29 April 2009

SURAT 18: JANGAN KURUNG DIA, ANAKMU!

Assalamualaikum,

Kata saya kepada Ustaz Naza saat bertemu, meluahkan rindu pertemuan dengannya, "ustaz, satu masa dulu, saya datang sendirian. Hanya Abang Hamdan saja yang berangkut anak-anak kecil untuk datang berprogram agama dengan Ustaz. Sekarang, saat saya pula mengangkut 'bala tentera' untuk datang dengar kuliah ustaz. Pantasnya masa berlalu, ya Ustaz."

Ya, saya bertemu dengan Ustaz Naza di luar negara dua kali, secara kebetulan. Pertama, lama dulu, ketika saya masih bujang trang-tang-tang, di Jepun. Ketika itu, tak kisah sangat, boleh turun-naik densha dua-tiga kali pun, mengejar dan kemudiannya ditinggalkan shinkansen, ketika mahu pergi summer-camp di Nagaoka, ketika itu bersama dengan Afendi. Kemudian, juga dengan Afendi, melompat naik ke atas feri saat ia betul-betul mahu bergerak meninggalkan Beppu Port untuk ke Kobe selepas berakhirnya Winter Gathering, betul-betul seperti De Caprio dalam Titanic. Tetapi semua itu tak jadi masalah, malah manis sekali buat dikenang.

Sebaliknya, sekarang, dalam pertemuan kedua dengan Ustaz Naza ini ... dengan keperluan isteri masih boleh di-nombor dua-kan, tetapi, perihal anak kecil yang kadang-kadang mudah meragam, hendak itu, hendak ini, aduhai, kadang-kadang saya harus berfikir dua kali.

Betul sungguhlah kata Allah, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Al-Munafiqun: 9)

Sesungguhnya, saat melihat Abang Hamdan mengheret anak-anak kecilnya ke setiap program agama dulu, hatta, beberapa kali saya lihat, kalau datang mesyuarat sekalipun, akan dibawanya anak sulungnya yang lelaki untuk ikut sama, saya sudah memasang angan - aku akan ikut cara Abang Hamdan!

"Inilah tarbiyah semulajadi untuk anak-anak," begitu pesan Abang Hamdan kepada saya.

Dan, itulah yang saya pegang, supaya tak terlucut, kepada anak sulung saya, Ilham, atau untuk adik-adiknya, kalau ada rezeki, InsyaAllah.




Ya, anak-anak tidak harus ditinggalkan di rumah, kalau kita keluar ke masjid, ikut kuliah, sebaliknya, bawalah bersama. Saya akur, kadang-kadang suasana beragama di Malaysia, tidak begitu memesrai anak-anak kecil, seperti yang selalu Ustaz Hasrizal kongsikan dalam ruang blognya, tetapi, kita harus mengubahnya. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Hari ini, kalau di masjid di tempat kita, kalau dibawa anak kecil untuk ikut sama, akan adalah mata yang menjeling. Aduh! Apalagi, kalau anak-anak kecil yang meragam, bertambah merah-padamlah muka jemaah sebelah. Kita tidak dapat meraikan jemaah dengan anak kecil. Seolah-olahnya anak kecil tiada tempat di masjid, begitukah?

Betapa, tentu kita tak terlupa bagaimana dalam hadis pernah memperlihatkan bagaimana lama sekali sahabat-sahabat sujud berimamkan Nabi saw - oh, rupanya Saidina Hassan dan Husain duduk tercatuk atas bahu Baginda saat Baginda sujud. Baginda saw tidak bangun terus, sebaliknya menunggu sehinggalah ketua-ketua pemuda syurga itu yang bangun sendiri, dan barulah Baginda bangkit dari sujudnya.

Nah, ada dua ibrah di sana. Pertama, kawasan masjid, hatta Masjid Nabawi zaman nabi sekalipun bukanlah sebuah kawasan larangan untuk anak-anak kecil. Kedua, bahkan, Nabi terlalu mengasihi cucu-cucu Baginda itu hingga menunggu kedua-duanya bangkit sendiri daripada bahu Baginda saw. Eh, bagaimana dengan kita hari ini? Aduhai!

Dan, saya melihat suasana ini sedikit-sebanyak memberi kesan, yang datang ke masjid hanyalah dari golongan, maaf kata, kubur kata: mari, marilah. Yang muda-muda mana? Jawapannya, itulah sikap kita tadi - susah, aku ada anak kecil, nanti orang masjid jegil mata.

Nah, kalau kita yang tidak mengubahnya, siapa lagi?

Saya rasa, sudah sampai masanya jawatankuasa masjid memikirkan keperluan kepada nurseri semasa. Maksudnya begini, keperluan untuk bilik penjagaan anak-anak kecil, dengan disediakan permainan yang bersesuaian untuk memberi peluang ibu bapa mengikuti kuliah. Atau, tidak salah juga, kalau ibu bapa ikuti kuliah, dan sang anak juga mengikuti kuliah, tetapi kuliah yang berbeza, yang sesuai dengan aras akalnya.

Kita yang perlu mengubahnya, siapa lagi, bukan!

Sesekali, saat diminta adik-adik untuk berkongsi ilmu di surau universiti, saya angkut saja Ilham bersama. Ya, tak dinafikan kadang-kadang, adakalanya dia meragam. Tetapi, itu hanya jarang-jarang sekali. Sebaliknya, yang lebih banyaknya, Ilham lebih senang untuk bermesra dengan abang-abang dan kakak-kakak yang ikut kuliah abahya, err ... saya! Dan, sesekali ada juga Ilham datang mengacau saya, ah, saya kira itu sebagai iklan, selingan. Bagus juga, kadang-kadang jadi terhibur dan hilang kantuknya.

Bukankah inilah tarbiyah semulajadi. Tarbiyah yang bermula dari saat dia mengenal dunia, masih merangkak, merengek, dan bercakap sepatah dua. Anak-anak sudah diperdengarkan tentang Allah, meskipun mereka mungkin masih tidak faham, sebetulnya (atau, mereka faham sebenarnya, siapa tahu, bukan?) Pokoknya, anak-anak jangan dikurungkan di rumah semata-mata kerana takut mengganggu jemaah masjid. Tetapi, haruslah kita ajar, latih, bimbing anak-anak yang berhati cerah ini.

Pokoknya, anak-anak kecil harus dibawa ke tengah medan dakwah, anak-anak harus diperlihatkan dengan perbuatan solat berjemaah ibu bapanya, misalnya, justeru anak-anak lebih senang mengikut SIKAP daripada CAKAP.

"Kalau kauorang sembahyang jemaah, letakkan satu sejadah khusus untuknya, supaya dia tak ganggu sembahyang kauorang. Beritahu elok-elok, nanti sujud di sini. Jangan kacau Abah dan Ummi nak sembahyang."

Demikian pesan Emak (ibu kepada isteri saya) saat kami bercerita pengalaman kami terhadap Ilham. Sekali lagi, pokoknya, jangan tidak bersolat jemaah antara ibu dan ayah, semata-mata alasannya: susah, anak kecil! Aduhai, aduhai!

Anak anda bagaimana? Ah, kita boleh mengubahnya!

Selasa, 28 April 2009

SURAT 17: LELAKI BELAKANG MASJID ... BERUNTUNG SUNGGUH!

Assalamualaikum,

"Beruntung dia, bukan?"

"Maksud, Encik Fadli?" tukas saya, menginginkan jawapan segera dari bos saya, orang nombor dua di sini. Deni pula terlihat ghalit memandu Holden Commodore Wagon, kereta pejabat dan saya tahu, dia sama memasang telinga. Laluan Tuggeranong Parkway agak lengang di awal petang sebegini. Angin berseru, dedaun menari, dan mentari riang atas cucur alam Canberra.

"Ya, beruntung, Johan. Dia hidup entah berapa lama dalam Kristian, kemudian berkahwin dengan wanita Melayu, menjadi Islam. Kemudian pada saat-saat akhir hayat, dia sering dilihat di masjid, dan matinya dia dalam Islam. Beruntunglah!"

Bos saya menjelaskan makna 'untung' nya itu.

Saya angguk. Benar.


Petang itu, saya, Deni dan Encik Fadli baru perjalanan balik dari Tanah Perkuburan Mitchell. Itu kali pertama saya 'singgah' ke sana. Seperti kata Encik Fadli; seorang ketua yang kadang-kadang huha-huha, easy going, tetapi pada sisi yang lain, cukup bagus agamanya, dan banyak yang saya boleh belajar darinya,

"Deni, Izuddin ... jom kita iringi jenazah ke tanah perkuburan. Hari ini kita iring dia, entah-entah esok orang iringi kita pulak."

Gulp!

Ketika itu kami baru usai solat jenazah di Masjid Canberra yang berdepan dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia itu. Alhamdulillah, jemaah yang ikut bersolat jenazah untuk arwah George, atau Islamnya Johan, relatif ramai - lebih dari 5 saf.

Saya ralat sebetulnya mengenangkan kematian George, terutama perihal saya menanggapi pemergian lelaki ini.

Kenapa?

Begini kisahnya, kisah terkilan saya.

"I di Hospital Canberra, ada orang meninggal. Johan, bekas suami Kak Ida mungkin you kenal kot. Kalau nak datang tengok, boleh jugak!"

Begitu panggilan telefon yang saya terima dari Abang Roslan, rakyat Malaysia yang sudah lama di sini, hampir 20 tahun. Ya, memang Hospital Canberra sangat dekat dengan rumah saya, tetapi mengenangkan saya baru sahaja pulang membeli-belah, orang kata, peluh pun belum kering, jadi saya tak pergi ke hospital. Dan, paling utama,

"siapa Johan tu, bukannya saya kenal pun," bisik saya sendirian.

Sudahnya? Tak pergilah saya ke hospital!

Saya hanya tahu siapa George, atau Johan itu keesokannya, saat jenazah itu siap untuk disembahyangkan, dan kemudiannya men'tanah'kannya sebagaimana sifat asalnya: dari tanah dia datang, dan kepada tanahlah dia kembali.

Betapalah George itu saya kenal, dan saya kira agak rapat antara hati kami. Saya kenal dirinya, bahkan saya ingat sungguh, betapa dia; lelaki mat Saleh yang berkerusi roda kerana parkinson itu pernah sekali mengusap rambut Ilham. Betapalah terlihat senang dan sayangnya lelaki yang pernah bekerja sebagai juruterbang askar Australia yang berkhidmat di Sabah dan Pahang pada anakanda saya. Justeru penyakit Parkinsonnya menjadikan bicaranya gagap sungguh, 'nafsu' saya untuk berbicara panjang dengannya selalunya mati cepat. Pun begitu, sesekali bertemu, George yang selalu ingin berbahasa Melayu itu dan sering tersenyum itu akan saya salami, bersembang lebih-kurang sebelum saya masuk ke dewan masjid.

Ya, George, sering ada di belakang masjid, justeru kerana fizikalnya yang berkerusi roda. Dan, nah, dia dikenal orang sebagai lelaki belakang masjid, malahan. Saya yakin, ramai juga tak mengetahui namanya, tetapi mengenal identitinya - lelaki belakang masjid!

Hinggalah hari kematiannya, dan orang mengenal namanya, nama lelaki yang sering ke masjid, meski berpapah, berkerusi roda, sering tersenyum, cuba berbicara meski suaranya sering tenggelam-timbul oleh penyakit sarafnya itu adalah George, atau Johan.

Ah, betapa, Islam telah mengangkatnya!

Ya, dia hidup lama dengan Kristian, seperti kata anak lelaki sulung yang berucap mewakili keluarga bekas isteri pertamanya, juga mungkin bercakap bagi pihak orang Kristian, "George berasal dari New Zealand, berkahwin dengan Mary; ibu saya dan mempunyai 7 orang anak. Setelah itu berkahwin dengan wanita Malaysia; Ida dan dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan."

Ya, anak lelakinya yang berucap di kawasan perkuburan yang dikhususkan untuk Muslim itu tidak pun menyatakan yang bapanya memeluk Islam kemudiannya, tetapi kami tahu, tetapi Tuhan tahu, MalaikatNya Tahu, seluruh alam tahu ... George itu matinya muslim!

Saya membalikkan pada diri saya, "aku ini lahirnya dalam Islam, hidupnya dalam Islam, dan betapa celakalah aku kalau ditakdirkan mati dalam agama yang sebaliknya. Oh Tuhan yang membolak-balikkan hati, aku pohon sungguh-sungguh kepada Kau, Tuhan, tetapkan hati ini atas agamaMu yang benar hinggalah tubuh aku kembali ke asal; dari tanah kembali ke tanah."

Dan kerna itu, saya yakin Tuhan memandang tinggi lelaki itu; lelaki belakang masjid yang cakapnya gagap-gagap, lagi berkerusi roda kerana Parkinsonnya. Tetapi, saya tahu, seperti yang Encik Fadli, katakan,

"George lelaki beruntung, kerana matinya dalam Islam!"

Ahad, 26 April 2009

SURAT 16: HANTU BOLA, SUJUDLAH PADA TUHAN!


Nota khusus untuk penyokong Barca, Chelsea, MU dan Arsenal:
Esok pagi, dan pagi Khamis, hantu-hantu bola akan berjaga dan berkeliaran depan tivi. Alangkah baiknya, sebelum perlawanan separuh akhir Liga Juara-juara Eropah tersebut yang dijadualkan jam 1:45 pagi waktu Malaysia, kita sama-sama tidur lebih awal, dan bangun lebih awal. Tahajudlah dulu, mesti sekadar dua rakaat! (Pst, ataupun kalian pun akan kena 'bantai' dengan bini, macam saya!)


=============

Assalamualaikum,


Bahawa, langit mendung menanti akan terpecah awan-gemawan yang kemudiannya akan turun sebagai hujan, yang akan menyirami lembah Woden, perdaerahan saya dan keluarga tiga beranak yang tumpang bernaung. Dalam kalut-ribut seharian, antara saya yang kalut di pejabat dan sang isteri yang mengulati perjuangannya untuk secangkir ilmu Tuhan, teratak berbata merah; townhouse dengan sewa secara mingguan $325 dengan dua bilik ini sudah hampir genap dua tahun kami diami. Pantasnya masa berlalu ...


"Tap! Tap! Tap!"

Ada gerimis singgah atas muka cermin kereta saat membelok ke kanan, Hindmarsh Drive yang menuju terus menaik Bukit Mugga La, sebuah kawasan hutan rizab yang sesekali akan bisa ketemui sang kangaroo yang melintas, terutamanya di malam hari. Sejuk memaksa saya, isteri dan Muhammad Ilham mengenakan selapis lagi baju tebal. Ditambah dengan hujan, sedang mentari malu-malu dibalik awan tebal, sejuk ternyata bertambah sekali-ganda.



Wajah isteri di sebelah masih dibalut lelah. Ya, meski Ahad hujung minggu, dia tetap ke makmalnya - perlu setkan eksperimen. Aduhai, itulah resam, pahit-manis kehidupan sebagai seorang pelajar pasca-ijazah dengan latar-belakang sains. Untuk meraih segulung ijazah, bukan sedikit pengorbanan yang dicurahkan, bukan sedikit keringat yang tumpah, aduhai, dan saya, sebagai suami mendapat tempias, sedikit-sebanyak, yang harus ditempuh dengan rasa sabar dan tabah yang panjang.



"Abang, agak-agaknya kenapa ada orang yang boleh bangun solat tahajud setiap malam, ya?"soal isteri setelah agak lama kami diam. Cuma, Ilham yang duduk di baby-seat di belakang (ia wajib!) bersuara, entahkan menyanyi, entahkan menyembang apa, sendirian. Sejak dia pandai bercakap, ada saja celotehnya yang menggeletekkan.


Saya berfikir, menjawab, "mungkin sebab sudah terbiasa!"



Ada ragu dalam jawapan saya. Sesal turut menumpang. Betapalah, aksara 'solat tajahud' dan 'bangun malam' itu adalah sesuatu yang agak berat pada saya. Azam sentiasa tersemat, angan sentiasa tak terpadam, tetapi, demi saat yang betul tiba, berat sungguh gebar tebal.



"Atau mungkin sebab mereka ini ada kesusahan, kot. Ada sakit, ada masalah, jadi mereka akan punya kekuatan yang lebih untuk bangun dan mengadu dengan Tuhan, " isteri saya terus memberi pandangannya.



Hujan makin jujuh. Kami sudah lewati Monaro Highway, di sebelah kanan perjalanan; padang hijau yang berbukit rendah, dan ada beberapa tompok bebiri yang bermandian hujan. Dedaunan yang rencam; acacia, mapple dan gumtree berterbangan apabila ditiup angin yang bercampur dengan air hujan. Dan, sesekali saya terpaksa menggunakan wiper - krikk, krikk - perlu ditukar yang baru wiper ini!



"Tapi tu lah ... kita ini mungkin banyak nikmat, hingga kita lalai dan rasa berat sangat nak bangun solat malam. Masa zaman undergrad dulu, rajin jugak. Mungkin sebab zaman tu ada peperiksaan, jadi selalulah bangun, minta doa semua," isteri saya, yang saya genggam jemarinya terus meluahkan rasa sesalnya. Saya tidak berkata, meluahkan rasa sesal itu di dalam hati.




Qiam al-Lail, bangun malam. Nabi saw, hampir-hampir tak pernah meninggalkannya, hingga bengkak-bengkak kaki Baginda. Jawapan kepada soalan Saidatina Aisyah: aku buat semua ini, sebagai tanda aku bersyukur!


Tuhan!



Dalam sebuah hadis qudsi yang saya dengari dari Ustaz Shamsuri Hj Ahmad, masih terngiang-ngiang kata Ustaz Utara itu: pada sepertiga malam yang terakhir, Tuhan akan turun ke langit bumi dan bertanya: manakah hambaKu yang meminta hajat, akan Aku tunaikan hajat hambaKu itu.


Betapalah, oleh nikmat Tuhan yang mencurah-curah, dan saya tenggelam lemas dalamnya, lalu solat malam yang mendekatkan itu, kepada saya sepertinya kata Nujum Pak Belalang: jarang-jarang, kadang-kadang!


Oh Tuhan!


"Tetapi, yang peliknya, kalau untuk bangun bola, boleh pula abang bangun."


Aduh, kali ini bidasan isteri saya mengena, tepat!


Isteri saya gelak. Saya merah padam muka, ikut tertawa. Ilham yang di belakang, melihatkan Abah dan Umminya hinggar, ketawa besar, dia pun ikut-ikut tertawa.


"Itu kerana ada semangat yang kuat!"


Saya bertahan, tawa masih ada sisa-sisanya.


Ya, akur perihal kegilaan saya - hantu bola! Sebutlah, Champion League kah, Premier League kah, World Cup kah dan sebutlah jam berapa sekalipun, mata seperti terprogram - tap, waktunya, mata segar-bugar. Hebat sungguh ... hantu bola!


"Sudah tu, untuk bangun malam pun, kena kuat semangat jugak lah!"


Isteri saya tak membiarkan 'bola tanggung' itu sia-sia, di'smash'nya saya cukup-cukup. Meski pedih, saya tetap tertawa, itu kelemahan saya. Kelemahan yang harus diperbaiki, dan tak patut berterusan. Saya ini pemimpin, paling tidak dalam keluarga kecil saya tiga beranak. Pemimpin yang harus menjadi contoh, yang menunjuk jalan, yang membetulkan kekurangan dalam keluarga, dan kemudian kelak pada hari hisab akan dipersoalkan tentang apa yang saya pimpin.


Tuhan!


"Kalau sayang bangun solat malam tu, sayang doalah banyak-banyak: Ya Allah, Ya TuhanKu, bangunkanlah suamiku untuk solat malam," pinta saya, setelah tawa bubar.


"Iyalah. Memang pun. Kalau bangun sembahyang malam, memang itu yang diminta doa pun," balas isteri saya.


"Oh, mungkin belum cukup syarat doanya, kot. Atau belum cukup bilangan doanya," hujah saya semula. Meski di'tinju' hebat oleh isteri, saya masih sempat mengelat. Dan dengan jawapan lucu itu, kami tertawa lagi.


Ya, dalam tawa, dalam senda, dalam gurau, ada makna yang besar, ada ma'rifat yang terselit yang perlu dihayati, bukan dibiarkan tinggal sebagai bahan hiburan ... semata-mata!


Hujan makin lebat.


Queanbeyan, daerah yang kami tujui makin dekat.


Saya menyimpul azam: Hantu bola akan mengadap TuhanNya!

Jumaat, 24 April 2009

SURAT 15: JUMAAT INI, AKU DATANG KE RUMAH-MU!

Assalamualaikum,


Hari ini, hari Jumaat, selain kegembiraan kerana hujung minggu akan bermula pada detik 5:01 petang, adalah kerana Jumaat saiyidul-ayyam, penghulu segala hari - satu perasaan gembira yang tak pernah sangat saya ambil peduli tentangnya semasa di Malaysia. Pada saya, di Malaysia dulu, Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain, Isninkah, Ahadkah - datang ke Masjid dengan perut yang penuh, dengan mata yang berat (oh, semasa saya bekerja dengan kilang Sato Barcode di Jln 222, Petaling Jaya, selalunya kami beramai-ramai akan 'pekena' nasi tepi padang dulu sebelum ke Masjid!) dan sebaik khatib pijak anak tangga pertama naik ke mimbar, saya selalunya sudah lebih awal mengangguk-angguk, orang kata: memancing ikan. Aduhai, aduhai!

Hari ini; Jumaat, 28 Rabi'ulAkhir, Masjid Canberra akan kembali dimeriahkan oleh anak kariahnya, dan saya salah seorang daripadanya. Dengan peringatan khatib, yang juga imamnya, Tuan Sayuti, lelaki separuh baya yang berasal dari tanah Baitul-Maqdis, yang juga satu-satunya peringatan tentang Allah; tentang ganjaranNya, tentang azabNya, tentang yang halalnya dan tentang yang haramnya - jadi wajarlah saya rasa Jumaat di sini, di tanah orang, di Canberra lebih terasa Islam dan getar khatib di mimbarnya!



Kerna pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ini; tempat saya menumpang mencari rezeki Tuhan yang luas ini betul-betul berhadapan dengan Masjid Canberra (satu masa dulu Masjid ini dikenali sebagai Masjid Saidina Abu Bakar), maka saya tahu secara terperinci, jam 12 lebih sedikit kereta mulai terpakir di tepi-tepi jalan, dan akan sesak padat mulai jam 1 tengahari.


"Maaf, saya tak boleh masuk kerja sebelum jam 1 petang, kerana saya harus pergi Sembahyang Jumaat. Ataupun, kalau awak benarkan saya keluar sebentar untuk pergi Sembahyang Jumaat dan masuk kerja kembali, saya boleh masuk kerja awal."


Demikian saya maklumkan kepada Mr David, lelaki Cina berkepala separuh kotak, berbadan sedikit gempal ketika saya bekerja di Kingsley's Chicken; sebuah restoran makanan segera yang halal ketika diminta bekerja pada hari Jumaat.

Mr David kemudiannya mengangguk-angguk, "ya, ya. Saya tahu. Maafkan saya. Nanti saya fikirkan bagaimana mahu aturkan jadual kerja kamu pada hari Jumaat."


Ya, itu masalah yang sering saya hadapi ketika awal-awal saya tiba di Canberra, ketika saya bekerja di restoran makanan segera yang dimiliki oleh seorang 'taukeh' India dari Batu Pahat, Johor itu. Mujur juga Mr David itu bertimbang-rasa dan faham tentang agama lain, agama Islam agama saya. Tetapi, saya pula rasa bersalah sedikit-sebanyak. Iya, kerana agama saya orang lain terpaksa bersusah-payah mengatur semula jadual kerja. Sedangkan hakikat agama bukan begitu - Islam itu memudahkan, memberi rahmat, menyenangkan; yang senang itu tidak hanya untuk orang Islam, tetapi kesenangan itu untuk seluruh alam.


Tidak berapa lama saya bekerja di situ, saya mendapat tawaran bekerja dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia Australia, dan masalah bekerja hari Jumaat yang bertindan-tindih dengan solat Jumaat itu pun, Tuhan yang serba Agung dan Maha Faham apa yang hambaNya pinta atau hanya baru melintas-lintas di kalbu pun telah diselesaikan. Alhamdulillah!


"Lama tak nampak, apa cerita?"


"Biasalah. Sibuk sikit."



Bersalaman, dan mungkin juga berpelukan mesra.


Hari Jumaat adalah hari perkumpulan kami orang Melayu - lalu saya rasa gembira, sedikit-sebanyak. Di Canberra ini, komuniti Melayu terpecah kepada beberapa juzuk yang utama; orang Kedutaan, para pelajar samada ijazah pertama atau pasca ijazah, penduduk tetap Australia dan pegawai-pegawai tentera Malaysia yang datang berkursus setahun di sini. Lokaliti pun berpisah-pisah; para pelajar biasanya berkumpul di sekitar kampus Australian National University di City, pegawai tentera, samada rumah mereka di Queanbeyan atau Stirling, sedangkan penduduk tetap Australia dan pegawai Kedutaan berpecah-pecah. Nah, hari Jumaatlah hari pertemuan, hari kemesraan.

Ah, Jumaat ini datang lagi, lagi, dan lagi, sehinggalah Tuhan mendatangkan Kiamat, yang kebetulan juga pada hari Jumaat. Dan saya pun akan terus di sini, bersolat Jumaat di sini, dengan gembira, bahagia dan mesranya.

"Lekas, lekas, bilal sudah azan tu!"

Roze, teman sekerja saya mengingatkan kami yang lelaki, saya, Harin, Deni agar lekas-lekas sudahkan makan tengahari. Sebetulnya, azan pertama masih belumpun dilaungkan oleh Bilal Mahmud, masih belumpun jam 1 petang.

"Tak mengapa, Imam Deni ini masih di sini. Selagi Imam Deni tak sampai, mana orang boleh mulakan sembahyang, " saya berjenaka, sambil mencanda teman Indonesia saya, Deni yang sedang cemas-cemas menunggu kelahiran cahaya permata pertama. Kemudian lekas-lekas membasuh bekas makanan, dan kemudiannya berwuduk, dan tak sampai 100 meter adalah Masjid Canberra ...

Tuhan, Jumaat ini aku terus mengunjungi rumahMu!

Rabu, 22 April 2009

SURAT 14: DI TULLAMARINE ITU, DINGIN SUNGGUH!

Assalamualaikum,

"Dakwah ini memerlukan strategi, Wan."

Saya membuka kata.

"Maksudnya?"

Azwan, junior saya membuka mata, menunjukkan minat. Dia anak muda, jiwa muda, tetapi penuh dengan pengalaman, yang dikutipnya sepanjang usia menengah remaja dan akhir remajanya. Azwan, jadi peneman kembara saya dan keluarga kali ini. Kebetulan!



Sejuk mencekam, meski malam belum betul-betul merajai buana. Saya rasa, alam Melbourne ini jauh lebih dingin daripada Canberra, tempat saya bermain. Entahlah, kata orang: Melbourne ini satu daerah yang empat musim dalam satu hari. Maksudnya, pagi boleh jadi sejuk seperti musim salju, tengahari panas mencengkam, dan lewat senja lembut berpupuk seperti musim semi yang mendamaikan.


Di belakang kami, Lapangan Tullamarine ini tak pernah sunyi - burung-burung besi itu sentiasa saja turun dan terbang lagi. Burung-burung besi daripada jenis QANTAS berlogo kangaroo merah yang menguasai, atau juga Sang Harimau Tigerairways yang menumpangkan saya tiga beranak daripada Canberra ke Melbourne yang memakan masa hampir sejam. Oh, saya berazan kecil dalam penerbangan buruk tadi, ah, takut mati juga saya ini!



Ah, Lapangan Tullamarine ini adalah tamsil-tamsilan kehidupan kita jua, di bumi ini. Kapal terbang, entahkan dari benua utara, timur, atau barat, datang singgah sekejap, memuntahkan penumpang yang ratusan, dan pergilah untuk terbang semula. Ya, kita di dunia ini pun, singgah sebentar saja, beramal, dan pulanglah ke negeri abadi, membawa amalan kita, baikkah, burukkah untuk dinilai. Aduhai Tuhan!


"Begini Wan, soalan saya ..."


"Apa?"


"Kenapa Nabi dan Abu Bakar harus bergadai nyawa untuk berhijrah ke Madinah? Kenapa tak Allah hantarkan saja Bura' seperti dalam peristiwa Isra' Mi'raj? Bukankah lebih mudah untuk Nabi dan Abu Bakar sampai ke Madinah? Tak perlulah bermalam di Gua Sur, dikejar oleh Suraqah Ja'sy? Soalannya, kenapa?"


Kali ini anak muda itu terdiam. Matanya terlontar kepada teksi-teksi airport Melbourne yang berbadan kuning, samada dari jenis Sedan atau van MPVnya. Dan saya ikut melihat - oh, betapa ramai dari jenis orang Arab-arab yang bekerja sebagai pemandunya. Betapalah, rezeki Tuhan itu ada di mana-mana, bukan? Dan saya tahu, muka-muka Arab itu sebetulnya bekas pelarian, lewat peperangan perit pada tanah tumpah darah mereka, Lubnan, Palestin, Iraq dan Iran, misalnya, lalu dengan langkah berat mampir menumpang rezeki di tempat orang, dan di luar sedar Islam semakin menjadi besar di tanah Australia ini.




Isteri saya dan Ilham berkurung di dalam bangunan terminal, kata isteri saya tadi: kami duduk di dalam dulu. Kalau Hudaya datang menjemput sekejap lagi, telefon, ya. Ya, kata Hudaya; teman saya yang di Monash University itu, dia akan menjemput, jam 5. Sebentar lagi lah tu, doa saya.


"Mungkin itulah maksud kamu tadi, dakwah perlukan strategi?"

Azwan mencuba. Saya lihat, dia mengemaskan dakapan tubuhnya, sejuk makin merewak pondok bas, tempat kami menunggu Hudaya.

Saya tersenyum, "betul. Peristiwa Hijrah mengandungi ibrah dalam membawa dakwah."

"Tak faham..."

"Siapa yang jadi juru-pandu Nabi dalam peristiwa hijrah tu?"

Diam Azwan, "tak ingat nama, tapi bukan Islam."

"Amir Furaihah, musyrikin, " jelas saya. Senja memanjat malam di Tullamarine yang dingin. Saya berkira-kira, untuk jamak takqim, atau jamak taakhir. Sambil-sambil mata melingas jam pada telefon bimbit (jam saya rosak, habis bateri pulak!) 5:30. Belum sampai lagi Hudaya!

Melbourne, atau Australia sepenuhnya akan menjadi malam seawal jam 5 petang lebih sedikit kala-kala musim dingin menampakkan wajahnya. Sebaliknya, akan jadi lewat datang malamnya pada musim-musim panas mengigit. Begitulah Tuhan mengaturkan sejak zaman-berzaman tak perlukan bantuan sesiapapun.

"Maknanya untuk menyampaikan Nabi ke kota Madinah, dalam keadaan hari ini, untuk menyampaikan maksud dakwah adalah tak salah untuk berbaik dengan non-muslim, hatta musyirikin, seperti kisah hijrah Nabi. Tetapi, bersyarat ... jangan sampai gadaikan prinsip Islam kita!"

Azwan angguk, seraya tersenyum. Fahamlah tu, kot. Oh, ada rembulan cerlang 14 Rabiulakhir pada langit Melbourne, sedang sejuk terasa meratah kami berdua di luar terminal. Hudaya belum tiba, kenapalah?

"Dan lagi, kamu tahu bukan, Nabi tidak meninggalkan Mekah dengan senang-senang .."

"Betul. Ali gantikan tempat tidur nabi, kemudian anak Abu Bakar yang lelaki ditugaskan menjadi pengintip, yang perempuan, em, Asma' kah namanya, tukang hantar bekalan makanan..."

Ah, anak muda ini, jiwanya berisi.

"Jadi, apa maksudnya?"

Saya menduga Azwan semula. Kali ini dia diam.

"Usaha dakwah tidak boleh sekadar pandai cakap, Wan. Ia juga harus bijak merancang, berilmu seperti ilmu peperangan..."

"Tak faham."

Pulak!

"Tahu bukan, Nabi menutup menyamar ketika ke rumah Abu Bakar untuk beritahu Abu Bakar yang mereka akan berhijrah. Kemudian, si gembala kambing Abu Bakar diminta membawa kambingnya ke kawasan sekitar Gua Sur, tujuannya apa? Untuk tutup tapak kaki laluan anak Abu Bakar yang mengintip di tengah kota untuk mendapatkan maklumat. Maksudnya, kena sembunyikan identiti, sedikit-sebanyak, kalau keadaan dirasakan bisa membahayakan tujuan dakwah."


"Tak boleh terang-terangan?"



"Ya, tak boleh somborono!"

Adikku, tahukah kau, katanya Hassan al-Banna, pengembang dakwah di Mesir: Mereka tidak akan menentang kamu selagi mereka tak tahu akan dakwah yang kamu bawa.

Bicara kami terpancung tanpa bersimpul saat sms Hudaya sampai: Ayuh!

Selasa, 21 April 2009

SURAT 13: BULAN TELAH KE RIBAAN CANBERRA!

Assalamualaikum,

Semalam, kerna Andrea Hirata; penulis fenomena Indonesia moden yang sebaris dengan Kang Abid, Ayat-Ayat Cinta itu telah mendatangi padang savana Canberra ini, saya serasa-rasa seperti bulan awalan musim dingin semalam itu mendarat atas ribaan saya. Oh, mimpi kayangan tiba-tiba menjadi nyata dalam sekejapan itu juga.



"Mahu menonton filem Laskar Pelangi?" soal Harin, teman sekerja, anak kelahiran kota macet, Jakarta awal pagi semalam, saat kami memulakan kerja-kerja pejabat yang bertimbun (hey, jangan disangka yang kerjanya 'ofis gomen' boleh goyang kaki!


"Biar betul?"

"Iya! Bukan tonton filem saja, penulisnya juga datang, sama pelakonnya yang genit, Cut Mini. Tiketnya cuma $12, ada ada sessi soal jawab, sama dengan foto juga!"

Ya, bulan jatuh keribaan!

Saya mengenali tulisan jejaka humor, tetapi kata-katanya penuh rasa hikmah, Andrea Hirata kira-kira dua tahun dulu. Karyanya Laskar Pelangi; seputar perjuangan anak-anak pelombong bijih timah di daerah Belitung pantas memaksa untuk terus-terus mengikuti tulisan lelaki ini. Lalu, Sang Pemimpi dan Edensor, kedua-duanya adalah sekuen kepada Laskar Pelangi, menjadi sebahagian harta khazanah saya. Cuma saya masih tercari-carikan karya tebarunya, Maryamah Karpov.


Dan semalam, hasil karya suteradara Indonesia, Riri Riza sungguh-sungguh memukau.


Di sebalik tawa lucu, berdekah-dekah dengan aksi kekampungan anak PT Timah dengan watak seperti Lintang, Mahar, Flo, dan Haikal (pelakon utama. Kata Andrea: itu dirinya semasa kecil!) yang belajar di sekolah yang hampir roboh, SD Muhamadiyah, ada emosi sedih yang memintal anak mata untuk menitiskan air mata: harga sebuah ilmu, dan pengorbanan anak kampung yang berjuang dengan takdir sebuah kemiskinan.


Jujurnya, filem Laskar Pelangi, pada saya, jauh lebih baik dari filem Ayat-Ayat Cinta!


Kata Andrea sebelum tayangan filem, "kamu harus menonton Laskar Pelangi berkali-kali kerana bahasa Melayunya yang enak dan lagunya yang memberi makna perjuangan!"


Kata Cut Mini yang berlakon sebagai guru wanita yang bersemangat waja, Muslimah, "kalian sudah lama meneguk ilmu di luar, tetapi jangan lupa para guru yang pernah menyuluh kalian dulu, di tanah Indonesia!"


Babak demi babak, saya cuba membandingkan Laskar Pelangi dengan filem tempatan, Tentang Bulan, justeru kedua-duanya ada persamaan, ya, kedua-duanya menjadikan kanak-kanak sebagai pelakon utamanya. Tetapi, di sebalik persamaan itu ternyata ada perbezaan yang menjurang, bukan sahaja di sebalik kualiti sutradaranya, tetapi di balik mesejnya. Tentang Bulan adalah tidak lebih sebuah karya cinta monyet anak-anak kampung, sebaliknya Laskar Pelangi adalah cerita-cerita tentang perjuangan, perjuangan mendapatkan ilmu, peluang memberi dan mencurahkan ilmu, seperti kata Pak Harfan, Guru Besar sekolah: jangan hanya menjadi orang yang menerima, tetapi jadilah orang yang memberi banyak-banyak! Ya, Laskar Pelangi filem anak-anak lucu yang sarat dengan falsafah orang dewasa.

Usai filem, hampir-hampir jam 8 malam, saya lantas mampir ke Andrea Hirata, justeru orang ramai yang beratur panjang, saya tak sempat bersembang lagi dengannya. Saya berikan buku Laskar Pelangi kepunyaan saya, buat ditandatanganinya, dan saya hadiahkan Andrea buku saya, Hidayah Cinta.

"Sudah ditandatangan?" tanya orang hebat itu.

"Sudah. Tetapi, saya penulis kecil, tidak seperti Andrea."

Kemudian dia tertawa.

Saya keluar dewan dengan kepuasan (tak puas sebetulnya, kerna tak sempat bersembang lama dengannya!). Tetapi, kata-katanya meninggalkan bekas kepada saya,

"Sekarang penulis sudah jadi seperti fenomena. Dulu, orang hanya tahu filem itu, filem ini. Dulu orang hanya kenal kumpulan muzik Ungu. Tetapi sekarang penulis sudah lebih dari seorang selebriti."

Dan saya lihat pun, semalam, khalayak lebih ingin dekat dengan Andrea, meski si comel Cut Mini itu tetap ada di sebelah. Nyata, penulis sudah lebih popular dari seorang pelakon utamanya, paling kurang dalam kes filem Laskar Pelangi.

Saya berangan-angan, seperti kata-kata Andrea: penulis sudah jadi fenomena, nah sebuah lagi mimpi kayangan saya. Akan tertukarkah menjadi nyata? Ada pada 'tangan' Tuhan!

Ahad, 19 April 2009

SURAT 12: KITA BERTANAM DI SELATAN!

Assalamualaikum,

Saya (dengan izin Allah!) telah menanam di Nihon!

Daripada kota Nagoya, kemudian kota Shiga, di sebelah tasik Biwa yang besar berkucah, hinggalah saya tak terdaya menahan air mata saat mengucapkan 'salam wida' buat adik-adik di kota Ehima, kepulauaan Shikoku, dengan kata-kata yang tak mungkin saya terlupakannya,

"saya tinggalkan persatuan ini sepertimana saya tinggalkan anak kecil saya. Dan di tangan adik-adiklah untuk saya amanahkan membesarkan, mendidiknya, dan mematangkannya, ya, dengan ruh Islam!"

Saya kira tunas hijau yang saya tinggalkan di tanah sakura itu masih mengeluarkan hasil, saban tahun, demi cita-cita saat saya dan beberapa teman saat menyemainya dahulu - agar tunas ini adalah tunas Islam; yang memakai pakaian Islam dan berjiwa dengan jiwa Islam.

Tiga tahun tempoh senggang saya di Malaysia; setahun setengah di Perlis, dan setahun setengah lagi di tengah Kuala Lumpur, saya bertanam juga. Tanah saja yang berbeza, tetapi hasil yang saya harapkan tetap serupa - biarlah tunas yang tumbuh adalah tunas Islam!

Setiap kali orang sibuk ingin menanam di tengah padang, saya hanya ingin berada di tepi, sebetulnya, justeru sedar betapa diri ini serba naif; ilmunya kurang, akhlaknya tempang, sedang amalan lintang-pukang. Tetapi, entahlah, di luar sedar, saya tiba-tiba diajak ke tengah padang, dan ikut bersingsing lengan, bertanam sama. Yang anehnya, daripada cita-cita rendah sekadar ingin jadi sang pemerhati di luar, alih-alih menjadi penanam utama di tengah padang, aduhai, aduhai!

Saya merenung diri, sambil mengesat peluh yang berlari atas batang hidung, "oh betapalah susahnya kerja menanam ini. Musuhnya silih bergantian, sedangkan hasilnya belum pasti, entahkan berbuah lemak ranum, atau kadang-kadangnya gugur sebelum masak."

Dan kata-kata Tuan Syaikh Mushthafa Masyhur pula dalam bilah-bilah pertamanya dalam kitab tebal dua jilid, Fiqh Dakwah, "jalan dakwah tidak ditaburi bunga-bunga harum, tetapi merupakan jalan sukar dan panjang."

Oh, jalan yang sukar, lagi panjang!


ii
"Abang, kami mahu buat kerja Islam, tetapi ilmunya kurang. Bagaimana?"

Dalam lelah, dan dalam luar sedar yang saya tiba-tiba sudah berada di tengah padang bertanam, sering sahaja beberapa adik-adik menanyakan soalan-soalan seperti tidak.


Saya senyum, justeru sedar: dulu, saya pun seperti mereka juga. Dulu, saya juga bimbang, takut, tetapi dari sisi lain mengharap untuk ikut memungut hasil yang baik-baik di negeri akhirat sana, dan entah dalam kesamaran antara takut dan harap itulah saya tiba-tiba berada di atas medan dakwah!

"Pandai baca empat Qul?"

Mereka angguk. Saya senyum justeru pancing saya mengena!


"Kalian tahu?"

"Apa?" tukas mereka tidak sabar, menghantar makna semangat yang membara. Bagus!


"Bahawa daripada sirah, katanya Khalid al-Walid panglima Islam yang badannya penuh calit oleh mata padang itu hanya berilmukan dengan 4 Qul itu saja. Jadi, bolehlah buat kerja dakwah, bukan?"

Ya, kalau skala perbandingan berilmu itu kita gunakan skala Imam Syafie, maka sampai mati pun kita takkan bertanam. Bagaimana? Tak bertanam lalu mengharapkan buahnya? Lalu? Gunakanlah skala Khalid al-Walid dalam berdakwah. Punya satu ilmu, lalu satu ilmulah yang kita tanam, kita sebarkan, mudahan hasilnya adalah buah yang ranum di dalam taman firdausi!


iii


Minggu lepas, saya sekeluarga pulang meninggalkan kota Melbourne, setelah berkampung, berguru, dan memintal benang-benang ukhuwah di tanah permai itu.

Dan, seperti dulu-dulu saya hanya mahu duduk di tepi padang, menjadi penyokong orang yang bertanam, tetapi betapalah saat sayap besi TigerAirways mengepak kencang meninggalkan Melbourne Airport, "eh, aku harus jadi penanam lagi!"

Saya tahu, tanah pamah selatan ini terlihat subur, hanya menanti tangan-tangan gigih demi menyemai benihnya, membajainya untuk jadi kuat, meracun justeru musuh yang sering mengintai, dan harap-harapnya berbunga wangi dan selang beberapa ketika berbuah sedap.

Ayuh, kita bertanam di selatan!

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri." (Fushilat: 33)

Jumaat, 17 April 2009

SURAT 11: BUKAN SENANG UNTUK SENANG

Assalamualaikum,

"Canberra ini bosan, rindu mahu kembali ke Nihon."

"Sabarlah! Habiskan dulu PhD, kemudian baru fikir mahu ke manapun."

"Di Nihon dulu, ramai kawan yang satu kuliah, jadi boleh berbincang-bincang, tukar-tukar fikir dan berkongsi masalah. Tetapi, kat sini ..."

Isteri saya mati kata. Saya juga resah, sebetulnya, meski semangat tetap bersemangat. Betapalah, bukan senang mahu senang!

"Atau, kerana kita sudah berkeluarga? Jadi kesoronokan itu tak sama seperti zaman bujang-bujang dulu, boleh huha-huha, lepak sana, lepak sini untuk hilangkan tension belajar."

Isteri terus meluahkan perasaannya.

"Ada benarnya. Tetapi, abang rasa ia juga tergantung sejauh mana kita menerima keadaan sekeliling kita. Kalau kita lihat dari sisi yang cerah, kita akan melihat Canberra ini pun bagus - tenang, tak banyak kesesakan jalanraya."

Bandar Canberra ini, memang, kalau dikira dari sudut hiburan, memang ter-sangat-lah kurangnya. Apa lagi hiburan untuk keluarga. Tak ada taman-taman tema, tak ada peranginan yang berbukit-bukau, dan sementelah lokalitinya di tengah benua, tiadalah pantai dengan ombak bergulung-gulung. Memang, sekali pandangan pandang, bosan. Tetapi, di sebalik bosan itu, ada tenang. Tak ada kesesakan lalu-lintas, 15 minit sudah bisa sampai ke pejabat. Tak ada hiruk-pikuk dengan bunyi motosikal yang tak kenal siang-malamnya.

"Perhubungan sesama komuniti pun agak rapat, bukan? Bukan setakat sama-sama pelajar, sini pun ada PR, orang kedutaan. Ok apa ..."

Ya, kadang-kadang, sebagai suami, saya sedar, dari satu sisi saya harus jadi pendengar yang baik. Tetapi, dalam masa yang harus jadi pengingat, penyedar yang tidak kurang baiknya juga.

"Dan kerana berkeluarga juga, kita ada Ilham, bukan?"

Dan kali ini isteri tersenyum.

Ya, saya seringkali melihat perubahan reaksi isteri saya - daripada letih-lesu menjadi ceria segar - sebaik memeluk Ilham di muka pintu pada jam 8 malam. Rutin harian isteri saya sebagai pelajar PhD(tanpa ada Master!) bidang Kimia, yang terikat dengan eksperimen, oh, sangat membebankan! Keluar rumah jam 8:30 pagi, bekerja, bekerja, dan bekerja, sehingga kadang-kadang makan pun bisa terlupa, sehinggalah jam 7 petang. Kemas-kemas barang, baru balik. Bukan saja badan letih, otak pun hampir-hampir mati jadinya. Tetapi, sebagai memeluk Ilham, ada satu ubat baru yang disuntik kepada isteri, dia lekas jadi segar semula. Ajaibnya!

Selasa, 14 April 2009

SURAT 10: YANG MATI TELAH PERGI, YANG HIDUP, BERUBAHLAH!

Assalamualaikum,

Dan datanglah sakratul maut (kematian) dengan sebenar-benarnya, itulah yang kamu selalu lari daripadanya”. (Qaaf : 19).



Saya mengucapkan takziah, dan mendoakan kebaikan buat teman saya, Syeikh (Abdul Hafiiz Ismail) atas pemergian adik lelakinya, Muhammad bin Ismail dalam kejadian kemalangan bas AB Ekspres yang baru berlaku. Maklumat terakhir yang saya terima ikut YM Syeikh, dia terpaksa bergegas pulang ke Malaysia daripada Jepun. Dan saya doakan peristiwa ini tidak mengganggu tumpuannya menyiapkan tesis PhDnya.

Ya, kita menerima dengan redha dan pasrah atas ketentuan Tuhan. Cuma, apa yang ralat ialah cara kematiannya - kemalangan yang datang kerana sikap terburu-buru, memandu di atas paras kelajuan yang wajar - adalah sesuatu yang perlu dikesalkan, sepenuhnya!

Saya cukup yakin, undang-undang yang digubalkan kerajaan (ah, tolak ketepi seketika soal undang-undang yang tidak syar'iah, itu kita bicarakan lain ketika!) sudah cukup baik bagi mengawal kadar kemalangan. Cuma, saya melihat kekurangannya adalah dari sudut penguatkuasaannya.

Nah, yang masih hidup, berubahlah!

"Abang, mahu kena saman lagi? Had laju di sini cuma 110 km, kalau tak sayang duit, buatlah!"

Aduh, sakit telinga saya kala sang permaisuri di sebelah membebel. Jadi rimas pun ada. Tetapi, itulah realiti yang saya lalui hampir setiap kali perjalanan jauh, antara bandar Canberra dan Sydney misalnya, yang jaraknya sekitar 280km. Isteri saya, selain sebagai tukang sembang demi membunuh rasa kantuk adalah juga alarm saya - jangan memandu melebihi had laju!

Di sini, penguatkuasaannya cukup-cukup tegas.


Saya sudah ada 2 'surat cinta'!

Kedua-duanya saya terima serentak, aduhai. Surat pertama, memandu secara merbahaya, dan kedua, kebetulan semasa ditahan Polis Australia, isteri saya sedang meribakan Ilham. Undang-undang di sini mewajibkan kanak-kanak di bawah usia 3 tahun mesti diletakkan di dalam baby-seat, atau baby-coat.

"2 surat saman yang kamu terima ini jauh lebih baik daripada kamu menerima 2 keranda, iaitu satu keranda yang berisi isteri dan satu lagi yang berisi anak kamu. Kamu harus berterima kasih dengan saya!"

Demikian 'khutbah' saya terima saat 2 'surat cinta' itu berpindah tangan. Pedih telinga! Terbang AUD450 untuk 2 'surat cinta', tetapi, sekurang-kurangnya saya dan keluarga terselamat daripada bertemu Malaikat Maut. Alhamdulillah, lesson learnt!

Ya, Polis di sini tiada toleransi!

Isteri saya, kerana memandu dengan kelajuan 69km/j di kawasan had laju 60km/j (cuma lebih 9km/j sahaja, bayangkan!) terpaksa membayar saman berjumlah AUD120.

Seorang lagi anak teman sekerja saya, yang juga rakyat Malaysia pernah disaman kerana memandu laju pada tengah malam, sekira-kira jam 1 pagi, sewaktu balik dari bekerja. Anda agak berapa samannya? AUD100? Bukan! Jawapannya: AUD1,600.00. Ya, seribu enam ratus dollar yang bersamaan dengan RM3,200.00. Aduhai, gaji separuh bulan! Apa kesalahannya? Dia memandu 160km/j di kawasan had laju 80km/j. Mujur saja anak kawan saya ini tidak digantung lesennya, kalau tak tambah satu lagi masalah.

Nah, ketegasan beginilah yang kita mahu daripada Polis Malaysia, dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan. Tolonglah Pak Menteri yang baru naik kerusi empuk! Dan tolonglah Pak Menteri yang baru, suruh pemandu anda memandu dengan kelajuan yang di bawah had yang sepatutnya!

Polis di sini tidak memilih bulu.

Di sini bukan sahaja rakyat biasa yang menjadi sasaran Polis apabila melakukan kesalahan jalan raya, pegawai-pegawai kedutaan pun turut tak terlepas. Bahkan, pegawai kedutaan, atau pegawai kerajaan Australia, denda samannya akan menjadi 2 atau 3 kali ganda lebih mahal. Alasannya? Sebagai seorang pegawai kerajaan, yang mendokong polisi-polisi kerajaan, kamu harusnya menunjuk contoh yang baik dengan tidak membuat kesalahan. Seperti kata Upin dan Ipin: betul, betul, betul!

Dan itulah yang kita mahu dilaksanakan di Malaysia. Biar istilah serik itu melekat di kepala pemandu-pemandu Malaysia, "cukuplah, raya puasa tahun lepas aku dah kena saman RM1,500.00. Tahun ini aku mahu jadi pemandu berhemah." Biar serik!


Ya, kita yang hidup mesti berubah, sebelum Tuhan mengubahnya sendiri, melalui kematian yang terus ditangisi!

Rabu, 8 April 2009

SURAT 9: MENGHARAP HIDAYAH DARI HIDAYAH CINTA!

Assalamualaikum,




"Encik Ilham, Hidayah Cinta sudah keluar kilang, bersedia untuk ikut serta dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009."

Demikian kata Cik Hafizah, editor Perolehan PTS kala saya bersembang dengannya sebentar tadi.

"Boleh saya tahu sudah berapa yang terjual?"

"Data terbaru belum ada. Cumanya, sudah terjual 3000 dan kita re-print lagi 3000 nashkah, termasuk untuk dibawa ke Pesta Buku."

Oh, Alhamdulillah!

Sungguh saya tak sangka Hidayah Cinta boleh pergi sejauh itu!

Ya, sesungguhnya saya tak meletakkan sasaran yang tinggi kepada Hidayah Cinta. Selain kerana Hidayah Cinta adalah novel pertama saya (tidak termasuk buku kumpulan cerpen saya;Mekar Sakura Di Mimbar Cinta!), saya sendiri tak merasa cukup berpuas hati dengan penulisan saya. Terlalu banyak kelemahan dalam penulisan dan juga wajah Jepun itu sendiri, saya rasa tidak berjaya saya lukiskan sepenuhnya agar pembaca seperti dapat melihatnya sendiri, ya, dengan mata sendiri! Ya, saya akur, saya penulis yang merangkak!

Seperti kata Fisha dalam reviewnya terhadap Hidayah Cinta,

"Mengambil latar negara matahari terbit, Ilham Hamdani, melalui watak Umar Thilmisani (saya sudah lama suka dengan nama Thilmisani ini!) ia bercerita mengenai suka-duka kehidupan seorang pelajar kejuruteraan mekanikal yang belajar di sana. Watak Thilmisani digambarkan dengan ideal - bijak, beragama dan semua-semualah. Ya, saya memang ada isu dengan pengukiran watak begini. Namun, kalau wataknya tidak begitu, mana nak menarik cerita begini, kan?"

Anda juga boleh baca review daripada Cik Aina Dayana Hilmi tentang novel sulung saya ini. Terima kasih saya titipkan buatnya yang sudi memberikan review, walaupun saya mengharapkan kritikan sebetulnya, bukan pujian. Justeru, saya sedar saya ini orang merangkak, perlu banyak didokong, perlu banyak disokong demi lekas berjalan pantas.

Juga terima kasih untuk Saudara Zul kerna reviewnya!

Oh Tuhan, saya perlukan kritikan, sebetulnya!

Saya tak tahu sejauh mana lagi Hidayah Cinta akan pergi? Untuk difilemkan? Sepertinya Ayat-Ayat Cinta? Laskar Pelangi? Atau, Ketika Cinta Bertasbih (aha, katanya Ketika Cinta Bertasbih sedang menjalani penggambarannya, dan khabarnya lebih Islami kalau mahu dibandingkan dengan filem pertama daripada karya Kang Abid itu!) Oh, saya tak fikir Hidayah Cinta akan pergi sejauh itu. Saya tak mengharap Hidayah Cinta melangkah sebegitu pantas, tetapi yang pada 'tangan' Allah itu, saya tak tahu!

Cuma, yang terfikir saat ini, ah, itu pun setelah saya sudahkan Di Bawah Langit Selatan yang sedang saya geluti ini - Hidayah Cinta mungkin mempunyai sekuennya. Dan, saat ini isteri saya sedang bersungguh-sungguh memujuk saya, "abang, lepas ini saya mahu buat Post-Doc! Dan cadangnya mahu buat di Jepun semula, rindu dengan Nihon!"

Hah, sepertinya Hidayah Cinta akan ada siri kedua, atau ketiga? Sekali lagi, semua itu di dalam 'tangan' Allah!

Apapun, jumpa Hidayah Cinta di Pesta Buku, ya. Ops, tuannya di sini, berdoa dari jauh!


Nota: Terima kasih tak terhingga untuk warga kerja PTS juga, pastinya!

Isnin, 6 April 2009

SURAT 8: MEH DATANG SINI!

Assalamualaikum,

i

Hampir lima tahun saya di Nihon, dan hampir setiap tahun saya menerima anggota keluarga dan saudara yang datang melawat saya di daerah Mito dan setahun kemudian di daerah Hitachi di negeri Ibaraki, sekitar 150 km dari kotaraya moden Tokyo.

Belum setahun saya di Jepun, orang kata - lidah pun belum fasih telor Jepunnya - Abah bersama dua orang temannya datang bercuti ke sana. Saya masih ingat, saya dan Syeikh (sedang menyudahkan PhDnya di Ibaraki juga. Apa khabar Ibaraki sekarang, Syeikh?) mengambil mereka bertiga di Narita Airport dengan kereta Nissan Bluebird berwarna emas yang saya beli dengan harga RM900 dari seorang pelajar Cina Malaysia. Hampir seminggu juga Abah di sana. Tetapi, seminggu itu dihabiskan dengan pusing-pusing di Mito dan Hitachi saja, tidak ke Tokyo pun.

Tahun kedua, saya berpindah ke bandar Hitachi. Adinda saya, Akmal merupakan saudara pertama yang singgah ke rumah bujang saya. Lama juga, adalah dekat-dekat dua minggu. Puas berjalan, daripada ladang epal dan pear, hinggalah kedai sushi. Kemudian, Akmal juga saya bawa ke Disneyland. Kali ini tidak lagi dengan Nissan Bluebird yang sedikit berusia, tetapi dengan kereta junior, Rashdan yang saya terlupa jenamanya. Yang saya ingat, keretanya itu 'lumayan' bagus. Dan saya takkan terlupa, Akmal hampir-hampir termuntah kerana tak boleh 'masuk' dengan salmon mentah!

Tahun ketiga, aha, kali ini rombongan terbesar menziarahi saya - Abah, Mama, adik-adik saya, Hafiz dan Shahidah, dan sepupu saya, Abang Jam dan isterinya Kak Mila yang sekarang sedang bergelut dengan Master dan PhD masing-masing di Manchester. Wah, memang penuh sesak rumah saya, bagai tong karam! Maklumlah, rumah Jepun inikan kecil comel saja, disumbatkan dengan tujuh orang di dalamnya. Itu belum ditambah dengan dengan masing-masing lebih-kurang puna dua beg bagasi. Aduhai, boleh dibayangkanlah!

Apapun, kali ini saya betul-betul bawa mereka putar Jepun. Kebetulan masa itu, saya sudah punya Honda Odessey yang memang boleh muat tujuh orang pun. Daripada Disneyland, ke ladang strawberry, hinggalah siap pergi bermalam di rumah Yamazaki sensei di kawasan Kita-Ibaraki.

"Memang berbaloilah datang Jepun kali ini!"

Saya masih ingat kata-kata Abang Jam sewaktu saya hantar dia dan isterinya di Stesen Bas Hitachi sebelum mereka berlepas pulang.

Tahun terakhir saya di tanah sakura, adinda saya paling bongsu, Helmi yang sekarang tengah berjuang dengan kursus pergigiannya di UKM kampus bandar berhampiran Tasik Perdana datang untuk bermesra dengan musim salju yang akan ditemani dengan butir-butir ais putih.


Kali ini saya ada atucara istimewa untuk adik bongsu saya - jom pergi main ski!

Dengan dua kereta, termasuk teman-teman di Ibaraki sendiri, kami ke negeri Fukushima. Helmi yang memang tak tahan sejuk - alah, biasalah orang Malaysia sememangnya tak tahan sejuk - teruja dengan kawasan ski Adatara Kogen di negeri Fukushima. Bergolek-goleklah Helmi yang pertama kali diberikan sepapan snowboard itu.




"Kamu buat apa dengan adik kamu?"

"Kenapa?"


"Balik-balik saja dari Jepun, dia demam dekat dua minggu!"


Demikian marah Mama kepada saya. Alahai, apa boleh buat? Sudah dia datang musim sejuk tengah memuncak, begitulah akibatnya.

ii

Saya, isteri dan anak kecil diberi peluang untuk duduk di negeri orang lagi!

23 Jun 2006, hari Ahad jam 12:30 tengahari, kami pun menyedutlah udara tenang daerah Canberra. Saya tak pernah bermimpi, apa lagi mengharap untuk datang ke sini. Sungguhlah, ia satu anugerah, gifted dari Allah untuk saya dan keluarga untuk dinilai sejauh mana makna kesyukuran itu saya hayati: kamu bersyukur dengan nikmat-Ku, akan Aku lipat-gandakan nikmat-Ku. Tetapi, awas, andai kamu kufar, bahawa azabKu amatlah pedih!


Sama seperti beberapa ruang waktu di daerah sakura, saya juga terus dikunjungi sanak-saudara. Adik perempuan saya, Shahidah memulakan ziarah keluarga kepada kami di sini.


Nota: Shahidah yang comel-lote berbaju ungu di tengah-tengah. Gambar diambil bersama pelajar Malaysia di kediaman Pesuruhjaya Tinggi Malaysia semasa hari raya Aidilfitri.

Ceritanya begini, Shahidah, sebaik sahaja habis pengajiannya dapat bekerja dengan Putra LRT. Kemudian, entah bagaimana dia mendapat tawaran kerja yang baru dengan sebuah syarikat pharmasetikal milik Cina di kawasan Shah Alam sebagai Pegawai Makmal. Kerna tawaran kerja ini adalah apa yang dia belajar selama beberapa tahun, Shahidah pun mengambil keputusan untuk tukar kerja.

"Tension!"

"Kenapa?"

"Sudah lah balik lambat, tak boleh buat tuntutan kerja lebih masa."

Setiap kali saya menelefon ke rumah di Malaysia, dia mengadu dengan saya. Kasihan!

Kebetulan, kami juga ada masalah - kami perlukan seseorang untuk menjaga Ilham!

"Kamu datang jaga Ilham, mahu?"

"Sungguh? Berapa nak bayar?"

"Akan difikirkan ..."

"Kalau lepas duit kereta Shahidah, Shahidah hantar surat berhenti esok juga!"

Amboi!

Pendek cerita, 25 September 2009, adik perempuan saya sampai ke tanah damai Canberra. Tetapi, mahu dijadikan cerita, beberapa hari sebelum dia datang ke sini, dia dipanggil temuduga untuk jawatan Pegawai Makmal di HUKM.

"Macam mana agak-agak? Boleh dapat kerja dengan HUKM tu?"

Itu antara soalan pertama saya. Maklumlah, saya sudah berhabisan untuk membayar duit tiket kapal-terbangnya, ahak!

"Macam dapat saja. HUKM ada kekosongan tujuh orang, yang dapat temuduga hanya tiga orang."

Alamak, alamak!

Pendek cerita sekali lagi, Shahidah hanya tiga bulan di sini, kemudian balik. Mendapat tawaran bekerja dengan HUKM, siapa yang menolaknya seperti menolak rezeki. Dan saya, sebagai bang long, harus bertolak-ansur dan redha, ini soal masa depannya.

Selepas ini siapa yang datang? Ada, ada! Tunggu!

Ahad, 5 April 2009

SURAT 7: TUAN MAHU MAKAN APA?

Assalamualaikum,

i

Semasa saya menjadi pelajar di Jepun dulu, hampir setiap kali cuti panjang Persatuan Pelajar Malaysia akan mengadakan program sepertinya khemah ibadah yang dinamakan sebagai Summer Camp, Winter Gathering dan Golden Week Gathering. Biasanya kami akan menerbangkan penceramah-penceramah khas daripada Malaysia untuk memberi pengisian sepanjang program tiga atau empat hari tersebut.

Saya pula selalunya ditugaskan untuk menjemput penceramah dari airport, menjaga kebajikan penceramah semasa berprogram dan selepas program dan terakhir sekali memberikan lambaian sayonara kepada penceramah di airport semula.

"Ustaz, sebut nak makan apa, tetapi jangan sebut makanan Malaysia saja!"

Begitu kami 'buli' penceramah-penceramah ini, yang kadang-kadangnya ustaz dan kadang-kadang pensyarah universiti. Bukan apa, tujuan kami baik sebenarnya! Iyalah, sudah alang-alang datang ke Jepun, lupakan sekejap sambal belacan, dan apa kata untuk tiga, empat hari ini kita rasa apa yang dipanggil sambal belacan Jepun, wasabi!


"Aduh, wasabi nih mencucuk naik sampai ke hidung!" Adu seorang penceramah.

"Tak apa, bukan senang nak dapat pengalaman begini!"

Terkebil-kebil jadinya. Kasihan ada, lucu pun ada!

Di kesempatan yang lain, kepada penceramah yang lain pula, kami membawa mereka merasai apa yang dipanggil okonomi yaki.



"Uih, sedap! Apa namanya tadi? Osuzuki?"

"Bukan Osuzuki, Dr, okonomiyaki!"

"Tak kisahlah, sedap! Macam rasa murtabak pun ada!"

Kali ini penceramah itu tertawa besar, senyumnya lebar.

Begitulah setiap kali penceramah-penceramah itu datang. Kami membuat barter trade, penceramah mencurahkan ilmu mereka, dan kami memberi mereka pengalaman-pengalaman unik tentang Jepun, setidak-tidaknya tentang makanan Jepun.

Lalu senarai makanan Jepunnya jadi panjang berjela-jela, daripada sushi, kepada takoyaki, soba, udon, tendon dan berbagai-bagai lagi. Dan air wajah penceramah pun beragam jadinya, yang kelat pekat, yang hidungnya kembang-kempis, mata lip-lap-lip-lap, dan tak kurang tersenyum lebar, sebab makanan Jepunnya secocok dengan selera.

Apapun, syaratnya tetap sama - mesti makanan Jepun!

ii

Entah kebetulan agaknya, bekerja dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia Australia inipun saya juga terlibat menguruskan delegasi-delegasi kerajaan dan kementerian Malaysia yang datang ke Australia, khususnya ke Canberra. Jadi, bermula dengan membuat tempahan penginapan dan pengangkutan, hinggalah kadang-kadang terpaksa menemankan anggota delegasi ini keluar makan malam.

"Kami sudah tiga hari tak makan nasi. Di Brisbane, kami tak berjumpa dengan restoran Malaysia. Jadi hari-hari bantai roti nan dan kebab saja. Malam ini, boleh tak you bawa kami ke restoran Malaysia. Teringin nasi dengan kari pula! "


Demikian adu satu delegasi yang saya sambut di Canberra Airport. Kebetulan delegasi ini mempunyai seminar di bandar Brisbane pada tiga hari pertamanya, dan hari keempat baru mereka datang ke Canberra untuk berseminar lagi.

Saya mengejek di dalam hati, "alah, baru tiga tak kena masakan Malaysia!"

Sesekali terasa seperti mahu membuli delegasi-delegasi ini seperti yang saya buat semasa di Jepun dulu, tetapi tak berani lah pula! Maklumlah, kadang-kadang delegasi ini ada yang tarafnya Pengarah, Pensyarah Kanan dan lain-lain.

Saya bercerita dengan bos saya.

"Sepatutnya, masa datang lawatan kerja keluar negara inilah peluang mahu merasakan masakan yang lain. Ubah selera sedikit. Kalau masakan Melayu, hari-hari boleh makan di Malaysia, tak payah datang jauh-jauh sampai ke Australia ini. Fikiran tak berkembang langsung!"

Bos saya ketawa berdekah-dekah.

"Ataupun mereka ini di Malaysia, tak makan nasi kot ... mereka makan spagetti, takpun pizza. Sebab tu, bila sampai negeri orang, teringin nak makan nasi, mengalahkan orang mengidam," sampuk bos saya yang seorang lagi.

Aduhai, aduhai, manusia ... ragamnya macam-macam!

Jumaat, 3 April 2009

SURAT 6: BERSOLATLAH, MESKI DI MUKA TANDAS!

Assalamualaikum,

"Abang, saya Helmi (bukan nama sebenar). Abang mungkin kenal saya, kalau tengok muka. Saya ada masalah. Bagaimana mahu bersolat Asar dan Maghrib ketika bekerja? Masalahnya, saya bekerja basuh pinggan, bimbang pakaian kotor, tiada masa yang cukup, dan tiada pula tempat yang bersesuaian?"

Saya senyum, senang metah!

Seorang anak muda bertanya perihal solat, wajar saya rasa bangga dengan 'adik' yang seorang ini. Dia prihatin perihal solatnya. Tetapi, sedikit kelemahannya, dia terlalu rigid dengan solat ala-Malaysia - ada sejadah, pakai kain pelikat dan berbaju Melayu. Pendek-kata kalau tak ada itu semua, solat tak sah!

Saya bercerita, berdasarkan ilmu saya yang terlalu sedikit, dan berdasarkan pengalaman saya selama beberapa tahun di Jepun. Saya harap adik ANU (Australian National University) yang seorang ini mampu memanfaatkan jawapan saya, dan paling penting tidak tinggal solatnya. Saya tambah sedikit kepadanya tentang apa itu membasuh kaki secara khuf!

Soalan Helmi mengingatkan pengalaman bersolat di Wakkanai, Hokkaido, Jepun satu masa dulu!


Pada satu musim bunga, saya telah bimbou ryoukou (travel secara orang miskin; menggunakan sistem pengangkutan dan penginapan yang paling murah, malahan bisa sahaja tidur di jalanan) ke kawasan paling utara di Jepun, di pulau Hokkaido iaitu di kawasan Wakkanai.




"Walaupun tak dapat sampai ke Russia pun, dapat tengok pulau-pulaunya pun cukuplah!"

Ya, kawasan Wakkanai memang cukup hampir dengan kepulauan Shakalin, Rishiri, Rebun milik kerajaan besar Russia, bahkan papan-papan tanda di bandar Wakkanai itu sendiri, selain ditulis dalam tulisan Jepun seperti mana kebiasaan, juga ditulis dalam tulisan Russia, sesuatu yang jarang-jarang terjadi di Jepun yang sangat menghormati bahasa sendiri. Jadi, papan tanda jalannya punya 3 tulisan terus: Jepun, Inggeris dan Russia!


Meskipun perjalanan pada musim bunga, dengan bunga-bunga matahari kuning sebesar muka manusia dan bunga-bunga lavender berwarna ungu pekat sangat menguja, tetapi 6 jam di atas kisha (keretapi arang batu!), oh sangat melelahkan!

"Tak apa, perjalanan ini akan jadi indah setelah kita berjaya menjadi manusia pertama melihat matahari pagi!" pujuk Aminuddin.

Kata orang, kalau cuaca cerah, selain dapat melihat gugusan kepulauan Russia, juga menjadi sebahagian daripada penduduk yang akan menjadi manusia pertama melihat mentari pagi. Ini kerana, katanya Wakkanai ini selain utara, juga antara kawasan paling timur di dunia.


"Harap-harap cuaca bagus," saya memujuk diri.


Betapalah malangnya!


Hujan, ribut malahan menyambut dua orang pengembara miskin!


Setelah 'pekena' soba; mee hijau di stesen keretapi Wakkanai, kami bersolat Maghrib, langsung Isyak secara jamak qasar. Ah, jangan tanyalah ada sejadah atau tidak, ada kain pelikat atau tidak, berbaju Melayukah kami, semuanya tak ada!


Yang ada, hanyalah sebuah kotak tebal yang kami bentang luas sebagai hamparan, dengan seluar jeans yang sedikit lembab dek ditimpa hujan ganas, dan kami bersolat. Manisnya, kami berjaya solat secara berjemaah!

Kami berdoa, "ya Allah, meski malam ini ribut datang, biarlah esok tiba dengan matahari. Biarlah kami menjadi hambaMu yang melihat keindahan lautMu yang luas dan matahariMu yang cantik."

Jadi, sesuai dengan bajet kembara kami, tidur di hotel adalah pilihan terakhir. Akhirnya, kami berhenti teduh di bilik air tak jauh dari hujung tanjung Cape Noshappu; kawasan mercu tanda Wakkanai, dengan batu berukiran ikan lumba-lumba yang terkenal, selain catatan: Kawasan Paling Timur di Dunia!



Semasa di muka tandas, sambil merenung hujan, dan demi membunuh kebosanan, saya sempat telefon sahabat saya di Malaysia, "hey, esok pagi aku orang pertama melihat mentari pagi!"

Betapalah bangganya!

"Jangan risau, sekejap lagi hujan berhentilah tu!"

Tuhan itu Maha-Mengatur!

Hujan tak berhenti, ribut makin menggila, malahan.

Kami terpaksa bersolat subuh, dengan pakaian yang masih tetap saja lembab betul-betul di muka pintu tandas. Ya, kerana kami punya satu pilihan - solat atau tidak? Ya, solat saja. Selebihnya serahkan kepada Allah untuk menilainya.

Alhamdulillah, bersolatlah dua pengembara miskin di depan tandas. Mujur juga tandas Jepun. Bayangkan kalau tandas Malaysia (maaf!), dengan baunya, ditambah kesan-kesan yang tak enak dipandang, aduhai! Saya kira, tandas di Cape Noshappu itu memang kelas, tip-top! Di situlah kami tundukkan dahi kami, menyembah kebesaran Allah!

Kami meninggalkan Wakkanai, tanpa sempat bermesra dengan matahari pagi yang jingga dan ikan lumba-lumba yang manja, tetapi dengan sebuah semangat Islam yang semakin menebal, itu yang saya rasa!

"Kerapkali Kami melihat engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu hadapkan wajahmu ke arah Masjid Al-Haram dan di mana sahaja kamu berada maka hadaplah wajah kamu ke arahnya" (al-Baqarah 144).

Rabu, 1 April 2009

SURAT 5: AR-RAHMAN-LAH DATUK SERI NAJIB!

Assalamualaikum,

Ar-Rahman, kata ulama, memberi makna kasih-sayang Allah yang luas cangkupannya, tidak tertakluk kepada orang Islam semata-mata, boleh sahaja kepada Kristian, Hindu, Buddha, hatta kepada yang tidak beragama sekalipun.

Jumaat ini sahlah RAHMAN itu akan mendapat puzzlenya yang terakhir, iaitu abjad N. Rahsia-rahsia RAHMAN yang serba aneh yang bermula dengan R untuk Rahman(Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj) itu akhirnya menemui N untuk Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), dan bukannya N itu untuk Nazri (Datuk Seri Nazri Abdul Aziz), Nik Aziz (Dato' TG Nik Aziz Nik Mat) atau sesiapa yang lain.



Saya dengan rasa rendah diri, memohon Datuk Seri Najib akan memimpin dengan sifat Ar-Rahman, berkasih-sayanglah, dan kasih-sayanglah untuk bahasa ibunda, khususnya!

Ar-Rahman-lah dengan para pelajar kampung dan luar bandar yang taktahu bahawa plus itu tambah dan minus itu tolak. Ar-Rahman-lah dengan tenaga pengajar, yang merungut sendiri: "jangan kata pelajar yang belajar, kami yang mahu mengajar pun tak yakin." Ar-Rahman-lah dengan para sasterawan yang sudah memilih jalan-raya sebagai medan parlimen untuk membahas hukum: wajibkah PPSMI itu diteruskan?

Bersifatlah dengan sifat ar-Rahman itu Datuk Seri Najib, bahawa Datuk Seri adalah pelengkap kepada simpulan RAHMAN itu!