Jumaat, 8 Mei 2009

SURAT 23 : TUHAN, KUBURKU DI MANA?

Assalamualaikum,


"Sidang Jumaat yang dihormati, ramai orang bercita-cita untuk mati dan dikebumikan di sana dan di sini. Malah, ada juga yang berdoa semoga mereka mati di Mekah atau Madinah dan dikebumikan di sana. Tetapi, persoalan yang saya mahu ketengahkan hari ini ialah, andainya kita mati di sini, di mana kubur kita?"

Imam Sayuti dari mimbar kayu berukiran ringkas bersuara garau. Bunga-bunga kantuk yang bergayutan atas pohon mata saya disingkir pergi. Khutbah pertama yang menyebut tentang perkara yang syubhah, yang kebetulan sama dengan apa yang sebutkan dengan adik-adik dalam pertemuan dengan mereka hujung minggu lepas itu, saya dengar dari hujung-hujung telinga. Kantuk sungguh saya. Suhu di luar yang belasan darjah Celcius itu, ditambah dengan penangan kani sushi; sushi dengan isi ketam dan telur goreng beserta hirisan timun yang disiapkan isteri sebagai juadah santapan pagi itu menambah-beratkan pelupuk mata saya tengahari ini.

"Tanah perkuburan menjadi isu besar di sini akhir-akhir ini. Dan sekarang, kerajaan tempatan, ekoran Tanah Perkuburan Mitchell sudah hampir penuh, dalam perancangan untuk membuka satu lagi tanah perkuburan baru di kawasan selatan, di Tuggeranong ..."

Suaranya serius. Saya makin tekun mendengar. Sesekali suara pemanas elektrik bersuara. Sejuk tetap meraja, meski saya di dalam dewan solat. Bagaimana agaknya mereka yang terpaksa bersolat di courtyard, atau saja di luar masjid, justeru masjid yang semakin sempit demi menampung jumlah jemaah yang ramai, terutama hari Jumaat seperti hari ini.

Ya, saya pernah ikut beberapa siri perbincangan untuk memohon dana membesarkan masjid yang sedia-ada. Bahkan, kalaulah perancangan ini berjaya, muslim Canberra bukan saja akan memiliki masjid baru, bahkan kompleks Islam. Subhanallah!

Muslim League sudah memberi 'lampu hijau' untuk menyumbangkan peruntukan pembinaan,

"sebutkan berapa jumlahnya. Keluarkan plan pembinaanya bagaimana, dan kami akan berikan peruntukan."

Alhamdulillah, pokoknya, duit sudah ada.

Tetapi, kami berdepan dengan kerenah birokraki tempatan. Doakanlah, doakanlah sinar Islam akan cerlang-gemilang d lembah savana Canberra ini!

Imam Sayuti berjubah koko gelap, bersuara lagi, "saya percaya saat ini agama-agama lain, pasti berlumba-lumba memohon sekeping tanah untuk kuburan agama mereka. Dan, kita, semua pihak, harus tak tertinggal. Jangan di belakang hari nanti timbul masalah ... kami (orang Islam) tak cukup tanah untuk kubur. Jangan! Untuk itu, kita harus mencadangkan, malahan mendesak dari sekarang untuk sekeping tanah khusus buat orang Islam, berdasarkan jumlah Muslim yang ada di sini."

Saya berfikir: ini satu pengalaman yang baru!

Soal 'merebut' tanah kubur tak pernah timbul selama ini, malah melintas di akal fikir pun tak pernah. Ya, selama ini saya sentiasa membayangkan kematian saya di Malaysia, yang Islam adalah agama anutan majoriti. Lalu, soal tiada tanah kubur, tak cukup tanah kubur, bukan isu besar.

Tetapi, di luar sedar, andai kata tertulis untuk ajal saya di sini: di manakah kubur saya? Oh, Tuhan!

Beberapa minggu lepas, saya bercerita tentang kematian George, atau Johan yang hidup awalnya sebagai seorang Kristian. Tetapi, Alhamdulillah, dia mati sebagai seorang Muslim, dan Mukmin, InsyaAllah, diselenggarakan mayatnya secara Islam, dikebumikan secara Islam, di tanah yang khusus untuk orang Islam; iaitu di Mitchell. Alhamdulillah! Tetapi, bagaimana dengan saya?

"Oh Tuhan," saya sempat mengadu resah.

Seorang jemaah di sebelah saya mengurut-urut janggutnya. Dari wajahnya terpancar juga gelisah yang tak tersembunyi.

"Untuk itu, pihak jawatankuasa Masjid sedang mengusahakan satu memorundum untuk ditandatangi oleh seluruh jemaah di sini untuk kita hantar ke Pihak Berkuasa Tempatan. Jadi, saya sungguh-sungguh memohon kerjasama Tuan-Puan, ambil sedikit masa untuk isi memorundum tersebut."

Ya, empat-lima tahun saya di Jepun, pun tak saya bertemu masalah sebegini. Malah, tak terfikir pun. Mungkin, jiwa saya masih muda masa itu. Belum terpanggil untuk memikir sangat soal kematian, lalu perihal tanah kubur hanyalah satu masalah yang terakhir yang perlu difikirkan. Atau, kerana ketika itu, di Hitachi; kawasan saya tinggal dulu, yang mengadap lautan Pasifik yang menganga, dengan kilang-kilang kecil berjejeran di sana-sini, komuniti Islam tak begitu ramai. Dan rata-rata adalah pelajar yang tumpang meneguk beberapa musim di Universiti Ibaraki, sebelum balik semula ke negera masing-masing, jadi kerana itu isutanah kubur ini juga tak berbangkit di sana. Mungkin?

"Tuan-puan boleh mengisi borang soal-selidik ini melalui internet. Saya mohon sungguh-sungguh, buatlah sesuatu untuk maslahah Islam, dan masa depan umat Islam di sini."

Saya memahami rayu dan pujuk Imam Sayuti.

"Saya akan isi borang soal-selidiknya," janji saya.

Meski kubur saya, entahkan di mana. Biarlah saya meninggalkan sedikit 'jasa'. Siapa tahu 'jasa' itu untuk saya sendiri, yang telah ditentukan Tuhan ... 'rumah' saya di sini ... Innalillah!

Khamis, 7 Mei 2009

SURAT 22 : IBRAH MEMBENTUK FIKRAH!

Assalamualaikum,

Kita harus belajar dari sirah! Sirah dan sejarah adalah suluhan lampu, selain suluhan Al-Quran untuk kita yang ibaratnya berada di atas sebatang jalan sempit yang kirinya berduri dan kanannya onak yang melukakan. Dan suluhan sirah dan wahyu itulah yang menuntun kita, begitu ibarat kata.

Bacalah sejarah di antara dua garis - di antara fakta dan di antara makna!

SIRAH

Zulkaedah 6 Hijrah, dipimpin oleh Baginda saw seramai 1400 orang muslimin daripada Madinah ingin masuk ke kota Mekah demi menunaikan umrah. Bersama mereka adalah haiwan untuk dikorbankan dan pedang yang tersarung, memberi erti - kami datang dengan seru perdamaian, kami mahu melawat Baitullah.

Pun begitu, dihalang oleh Musyrikin Mekah. Dan Nabi saw akhirnya menurunkan persetujuan dalam apa yang disebut Perjanjian Hudaibiyah.

Sahabat-sahabat melihat perjanjian ini tidak memihak kepada Islam. Bukan sahaja mereka tidak dibenarkan menunaikan umrah pada tahun itu dan isi-isi perjanjian yang kelihatan logik-akalnya akan melemahkan Islam, bahkan mereka lihat peristiwa Nabi dipaksa memadamkan perkataan 'Muhammadul Rasulullah' untuk digantikan dengan 'Muhammad bin Abdullah' sebagai merendah-rendahkan orang kesayangan mereka, Nabi saw.

Sahabat-sahabat protes, tidak mahu bercakur, biarpun Nabi saw meminta mereka berbuat demikian hingga 3 kali. Sampai begitu sekali tidak puas hatinya sahabat terhadap isi perjanjian ini.

"Tuan, usah lagi bercakap, tetapi pamerkan sikap. Tuan keluar dan bercukurlah dulu. Nanti tatkala dilihat mereka, pasti mereka akan ikut bercukur sama."

Demikian nasihat seorang isteri, Ummu Mukminin Ummu Salamah kepada Nabi saw.

Bahawa, di luar kesedaran sifat manusia, sebenarnya Perjanjian Hudaibiyah itulah yang menjadi batu asas kepada pembukaan kota Mekah, sebagaimana disebut oleh Ibn Qaiyim. Dari satu riwayat lain, ekoran dari perjanjian inilah bilangan yang memeluk Islam untuk 2 tahun pertamanya adalah bersamaan dengan jumlah yang memeluk Islam untuk 19 tahun sebelu perjanjian itu dilakukan. Bayangkan! Kerana kita, manusia biasa membaca mengikut hati, nafsu, perasaan, akal, dan keinginan segera yang di depan mata, semata-mata. Kerana pembacaan nabi sebagai alim, sebagai pemimpin, adalah pembacaan yang jauh, yang tak semata-mata bersandarkan untung pendek, dan cita-cita yang segera.

SEMASA




Saya jadi resah!

Selain bahang Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 yang akan berlangsung kurang 2 bulan dari sekarang, Pilihanraya Kecil DUN Penanti, Pulau Pinang cukup mengoyak ketenangan saya. Suara akar umbi, samada daripada PAS Kawasan Permatang Pauh atau Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang inginkan kerusi calon DUN Penanti diisi oleh calon mereka, dan bukannya daripada PKR pada saya, adalah menurut kepada kehendak hati semata-mata.

Ya, orang muda - membuak-buak, mahu segera, idealis dan kadang-kadang tak fikir panjang.

Pengalaman duduk bersama di dalam Pemuda kawasan P1, termasuk bersama sendiri dengan 'Tuk Wali' yang kemudiannya menjadi calon bebas di DUN Titi Tinggi pada Pemilu 2008 telah mengajar saya untuk membuat kesimpulan di atas. Tindakan ini bertitik-tolak dari rasa tidak buat hati, berfikir pendek, dan membelakangkan sifat syura yang menjadi asas pegangan jemah itu sendiri.

Faham. "Kita yang selama ini meneroka, membajak, menanam di sini, alih-alih masa memetik buah, orang lain yang mengambilnya." Saya faham, sangat faham! Tetapi, jemaah ini bukan kita sendirian, keputusannya juga bukan keputusan individu. Maka, berlapang dadalah, meski pahit, meski membara. Dan, kalau saya jadi Pemuda Permatang Pauh pun, ombaknya juga pasti bergulung-gulung.

Itulah adat jemaah!

Kata Ustaz Naza, "kita meraikan perbezaan pendapat. Bertegang leherlah, hatta kadang-kadang sampai ada yang ketuk meja. Tetapi, sebaik keputusan diputuskan, semua harus akur, redha dan menerima keputusan mesyuarat sebagai keputusan bersama. Itu adab berjemaah."

Ya, sepertinya dalam sirah Hudaibiyah, pandangan pimpinan, dalam konteks semasa hari ini pandangan, baca politik ulama adalah baca politik yang panjang perkiraannya. Saya senang dengan kenyataan TG Nik Aziz bahawa PAS menolak untuk meletakkan calon dalam PRK Penanti kerana PAS berpegang janji.

PAS ada calon, dan mungkin calonnya lebih bagus dari Dr Mansor Othman yang menjadi calon PKR. PAS membuat pasukan kerja yang mantap, yang kalau digerakkan mungkin bisa menawan Penanti. Pendekata, PAS ada 1001 alasan untuk bertanding di Penanti, tetapi PAS, melalui Mursyidul-Amnya memilih untuk tidak bertanding, alasannya? PAS berpegang janji!

"Kalau PAS nak kerusi tu, kena tunggu Pilihanraya Umum depan. Kita bincang semula. Tetapi, sekarang, janjinya ... kerusi itu memang kerusi PKR."

PAS kena pegang janji, titik!

Kemas. Satu simpulan yang tak boleh dirungkaikan ikut apa cara sekalipun.

Ya, dari sudut jangka dekatnya, seperti Hudaibiyah: PAS alah. Tetapi, dari sudut jangka panjangnya dan survival kelangsungannya, kalimah - PAS berpegang kepada janji - itu entahkan menusuk ribuan hati-hati kecil, lalu tanpa sedar mungkin mengatakan: bukankah ini yang Islam suruh, berpegang janji? Dan PRK membuktikan PAS mengotakan kata - janji adalah janji.

Ya, belajarlah dari sirah. Melontarkan cadangan adalah tidak salah, sepertimana Dr Mujahid Yusuf Rawa, tetapi demi adab berjemaah, sebaik kata putus diberikan - Penanti tetap kerusi PKR - maka semua, khususnya Pemuda PAS PP dan PAS kawasan Permatang Pauh, harus reDHA, bukan reDAH!

Ibrah dari Hudaibiyah, siapa sangka ... kerana alah yang sedikit, dalam tempoh singkat selepas itu Islam melebar-luas ke segenap tanah Haramain, dan kemudiannya jazirah-jazirah lain, dan kata saya ... siapa sangka, dengan memegang janji itu, PAS akan dilihat ramai, khususnya non-muslim yang selama ini PASO-PHOBIA sebagai parti yang jujur sekaligus membawa satu seni politik baru yang berprinsip teguh.

Kembalilah kepada sirah!

Selasa, 5 Mei 2009

SURAT 21: SUNGGUHKAH BERTUAH HIDUP DI LUAR?

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, Tuhan telah mencampakkan saya ke 2 buah negara. Mungkin memberi peluang untuk saya merasakan kelainnya, dan tak mustahil sebagai menguji sejauh mana tahannya iman saya. Tetapi, saya tahu ... aturan Tuhan bukan sia-sia!

Ada 1 ayat 'penghakiman' dan 1 soalan apabila saya bersembang dengan teman baru, yang selalunya melalui ym.

Apabila saya jawab: Saya di Jepun, atau, saya di Australia.

Mereka akan memberikan ayat penghakiman, "wah, seronoklah. Bertuahlah!"

Ya, saya tak nafikan imej-imej luar negara yang bergayutan di pohon akal mereka sentiasa sama: salju yang putih, musim bunga yang nyaman, tempat-tempat yang menarik, budaya asing yang rencam, dan banyak lagi yang indah-indah. Jadi, tak salah untuk mereka mengata - wah, bertuah! - kerana itu yang ada dalam sangkar fikir mereka. Bahkan, guru-guru di sekolah awal-awal lagi sudah melukiskan lukisan-lukisan indah itu sebagai sebahagian dari motivasi kepada mereka agar mereka belajar rajin hingga sampai ke luar negeri, menceduk ilmu yang canggih-canggih di luar.

Tetapi, di luar kesedaran mereka yang berkata - wah, bertuahnya! - ia di balik sisi indah itu ada cabaran getir yang cukup menguji saya yang dihitung termasuk tahun ini sudah 8 tahun merantau. Dan sisi getir ini jarang diambil tahu oleh mereka. Bahkan guru-guru sekolah pun jarang memperkatakan tentangnya.

Baik, dan 1 soalan yang selalu ditanya selepas itu ialah, "senangkah makanan di sana?"

Orang Malaysia: makan, makan dan makan! (senyum)

Ya, dari segi positifnya, mungkin ditanya soalan makanan itu sebagai manifestasi ketelitian penanya soal-soal halal-haram. Bagus juga. Tetapi, dari sisi negatifnya, seperti tak fikirkan hal lain, melainkan makan sahaja. Sedangkan, saya hampir tak pernah bertemu soalan pertama yang berbunyi: senangkah untuk menjaga agama di sana? Aneh, bukan?


Abang Hashim, pengurus besar sebuah hotel terkemuka di sini yang hampir 20 tahun tinggal di sini juga punya cerita yang menarik. Katanya, kala kami bertemu makan petang di lobi restoran yang diselianya:

"Aku dah pernah jumpa orang Malaysia yang datang sini macam-macam jenis. Tetapi, yang lucu adalah jenis alim tahi kucing!"

Kemudian dia tertawa, menghirup black coffee.

"Apa dia alim tahi kucing tu?"

Tawa Abang Hashim masih belum hilang sepenuhnya, "Pertama kali sampai sini, soalan pertama dia akan tanya: "senang nak dapat makanan halal?" Itu memang soalan wajib. Wah, kita kata dalam hati: "alimnya orang ini." Tetapi, jangan taktahu ... malam sikit, perlahan-lahan dia datang bisik kepada kita: "pstt ... ada tempat bagus kah malam nih?" Aduh-aduh, betul-betul alim tahi kucing."

Kami tertawa, alim tahi kucing!

"Sampai setengah tu, bukan setakat telefon tanya, siap datang rumah, ajak aku pergi tempat bagus tu. Masa muda-muda aku ikut jugak lah. Tetapi, sekarang ... dah tua sedikit, aku beritahu tempat dia, dan kata: Maaf Encik, teksi banyak di luar. Encik boleh pergi sendiri."

Aduh, aduh.

Ya, hujung minggu lepas saya dipanggil sekumpulan adik-adik untuk bersembang-sembang sambil makan-makan. Dan antara benda yang ditimbulkan di dalam perbualan ialah tentang hadis nabi yang menyebutkan:

"Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : ' Sesungguhnya yang halal itu terang ( jelas ) dan yang haram itu terang, dan di antara keduanya pula terdapat pekara-pekara yang syubahat ( tidak terang halal atau haramnya ) yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-pekara yang syubahat itu adalah seperti orang yang melindungi agama dan kehormatan dirinya. Orang yang tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram. Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-pekara yang diharamkanNya. dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. '

Ya, soalan syubhah dalam hal makanan ini sangatlah banyak, tak terkira. Dan ini adalah antara jalur-jalur kegetiran yang sahabat-sahabat ym saya yang baru itu tak tahu dan tak pernah diberitahu tentangnya.

Semasa di Jepun, sering berlaku kekeliruan semasa membeli roti Yamasaki tentang bahan yang digunakan - shotenin - samada ia lemak haiwan, atau lemak tumbuhan. Jadi, kami harus menelefon sendiri kepada syarikatnya,

"Encik, boleh kami tahu, adakah shotenin yang digunakan adalah daripada haiwan, atau tumbuhan?"

"Oh, syarikat kami semua bahannya adalah berasaskan shokubutsu, tumbuhan."

Alhamdulillah!

Saya ingat masalah itu hanya di Jepun, oh, rupanya tak juga.

Di sini, sekali lagi apabila membeli roti atau makanan lain, kami harus periksa betul-betul - ada emusifier 471 dan 476 atau tidak. Ini kerana dua jenis lemak itu tidak dapat dipastikan samada berasaskan tumbuhan atau haiwan. Susah jugak! Jadi, urusan membeli barangan harian menjadi sedikit sukar, dan memakan masa yang lebih panjang. Ah, itupun jika anda mengambil langkah berhati-hati. Tetapi, kalau anda jenis yang - alah, baca Bismillah saja, asal bukan babi, halal - memang di mana-mana pun senang hidup. Ya, senang hidupnya, tetapi .. sesudah mati, teruk pula kena sebat. Aduh, aduh.

"Potato chip O-Porto tu boleh makan kah? Yang tahu burgernya saja yang halal." selidik isteri saya apabila terpandangkan sebungkus kentang goreng dengan logo O-Porto, jenama restoran makanan segera di sini.

"Budak-budak tu kata ok."

"Budak-budak mana? Boleh percaya kah?"

Isteri saya terus mendesak. Kurang sabar, dan terasa ego saya sebagai suami terasa dicabar-cabar pula masa itu, terasa macam mahu saja membalas balik - ah, banyak soal pula dia!

"Lain kali hati-hatilah sikit, abang! Jangan ambil mudah."

Nasihat isteri yang lembut, meski kedengaran pedih dan mencabar ego seorang pemimpin, harus saya telan juga, kerana kebenaran tidak mengenal anda suami, atau anda pengikut, samada isteri atau anak-anak. Kerana kebenaran adalah milik Allah.

"Berhati-hatilah ketika makan, " saya mengambil kata, malam itu. Bunyi pemanas elektrik yang seketul besar di belakang saya kedengaran berdesih-desih malam mingu lepas.

"Kerana dari makanan yang dimakan, akan jadi darah daging. Dan makanan-makanan yang syubhah inilah yang melahirkan akhlak yang buruk, hati yang keras, dan amalan yang tunggang-langgang. Ya, nampak mudah, senang ... tetapi, kesannya dasyat sekali."

Beberapa orang adik-adik yang bermuka persih, dan saya tahu hati mereka juga jernih bersih, terlihat mengangguk-angguk. Saya harap mereka faham, bahawa ... hidup di luar ini tidak semuanya - wah, seronoknya - melainkan ada ujian-ujian tersendiri yang didatangkan oleh Tuhan yang berkuasa.

Selamat berjuang di tanah orang, sebagaimana kata Syeikh Ramadan al-Buti: adalah haram untuk memasuki negeri kafir melainkan untuk tujuan dakwah. Nah, mempertahankan hanya yang halal-halal untuk masuk ke saluran perut juga adalah dakwah, dakwah untuk menceritakan inilah Islam, inilah hukumnya, hukum yang diturunkan dari Tuhan yang Agung!

Isnin, 4 Mei 2009

SURAT 20: DIA, DI JALANAN ... KAWAN!

Assalamualaikum,

Dari dapur, masih kedengaran keting-ketung-nya, isteri masih menyudahkan kerja-kerja membersih pinggan dan periuk makan malam. Sesekali Ilham yang menekuni laptop dummynya bersuara - Abah, net, net.

Oh, anak-anak zaman sekarang!

"Ada internet, ya?"

"Ada. Upin."

Ilham mahu tengok kartun Upin dan Ipin ikut laptop dummynya, sebagaimana yang sering saya ajarinya dengan komputer riba, menonton Upin dan Ipin ikut youtube. Dan malam ini dia membuat seperti saya pernah ajarnya. Anak-anak zaman moden, begitulah!

"Ilham, Abah ... sampai umur 20 tahun pun belum kenal betul yang namanya internet!"

Ilham terus mengomel dalam bahasanya sendiri.

Ya, justeru zaman sudah banyak berubah, maka pendekatan, pendidikan, sentuhan kasih terhadap anak-anak juga harus bergerak seiring. Ya, mungkin masih ada nasihat dan petua-petua yang dititipkan oleh orang tua kita masih bisa digunakan, tetapi, tidak semua!

Saya tersenyum, mahu ketawa mengenangkan Ilham.

Di luar rumah, dingin makin mencengkam. Suhu sekarang bermain di bawah 20 darjah, bahkan sesekali turun lebih rendah dari angka 10. Khabarnya beberapa kawasan berbukit bergunung di negeri New South Wales sudah dituruni salji - wah, awalnya!

Bulan bersabit terlihat di balik blind yang berjalur-jalur yang menghijabkan kawasan dalam rumah dari luarnya. Bahawa, rembulan pertengahan Rabi'ul Akhir itu memberi peringatan: tiga bulan lebih sedikit, Ramadan akan datang semula. Aha, harus segera ingatkan isteri: yang, puasa gantinya sudah lengkap?


Isteri datang dari balik daun pintu dapur. Tadi lagi sudah saya ingatkan,

"Malam nanti kita berlumba, ya ..."

"Lumba apa?"

"Lumba lipat kain!"

Haha.

Ya, suasana mutakhir, sekali lagi, peredaran masa - isteri bekerja - menuntut suami untuk turut sama 'berjuang' di rumah. Dalam kontek saya, isteri saya seorang pelajar, seperti juga seorang pekerja yang mana masa siangnya di pertengahan minggu adalah di luar, di makmalnya. Dan lebih parah, Sabtu semalam, dan awal pagi minggu serta petang tadipun, isteri saya harus ke makmalnya, meski sekejap untuk setkan eksperimen makmalnya.

Pendek-kata, isteri dan juga wanita berkeluarga hari ini sebahagian besarnya tidak lagi di dalam rumah, tetapi di luar, bekerja. Jadi, harus dan wajar sangatlah isteri dibantu oleh si suami, sekadar termampu. Isteri solehah yang niatnya tulus: untuk membantu meringankan beban kewangan suami, mak harus sangatlah suami soleh membantu isterinya di rumah dalam hal-hal urusan di rumah. Malanglah kalau suami hari ini masih bercekak pinggang, menanti air basuh tangan dibawa oleh isteri sampai depan dagu. Zalim, bahkan!

Saya pernah cuba mendapatkan orang Malaysia yang berminat untuk menjadi orang gaji, justeru faham kesusahan yang dialami isteri. Menjadi seorang isteri yang perlu menggalas tanggungjawab besar di rumah, selain menjadi seorang pelajar pasca-ijazah yang tidak kurang amanah yang harus dipikul - ya, saya tahu sukar sungguh. Justeru itu, saya ingin membantunya, beerti membantu diri saya sendiri juga, sebetulnya.

Tetapi, kerana undang-undang Imigresen Australia yang ketat dan Undang-undang Buruh yang menyatakan syarat gaji yang tinggi, selain kesukaran mendapatkan calon yang sesuai di Malaysia, membuatkan niat luhur saya untuk meringankan kerja isteri itu tinggal di situ sahaja.

Teringat satu masa dulu, zaman nakal-nakal di Ambang Asuhan Jepun, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, semasa membuat persediaan Bahasa Jepun sebelum berangkat ke tanah sakura.

"Isteri cerdik yang solehah, penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran. Di rumah, di isteri, di jalanan, kawan. Diwaktu kita buntu, dia penunjuk jalan."

Ah, nasyid inilah yang sering disiul-siulkan oleh Ridzwan, teman saya, yang sekarang menjadi jurutera dengan Perodua, tatkala seorang teman sekelas, wanita, Nik namanya melintas di depan kami. Saya tahu teman semeja saya itu hanya sekadar senda-senda, suka-suka. Dan khabarnya Nik pun sekarang sudah bahagia menjadi isteri dan ibu orang. Ya, cerita zaman muda, zaman nakal-nakal yang senang untuk dikenang.

Ya, isteri solehah tetap ada. Tetapi, suami soleh juga harus ada. Suami soleh yang ringan tulang demi membantu meringankan tugasan si isteri yang solehah itu. Suami soleh yang tak malu-malu untuk menyidai kain di ampaian luar dan tidak takut pada celaan orang yang mencela:

"Tengok, suami berpenyakit TB (Takut Bini!). Kain pun dia kena sidai sendiri."

Suami soleh yang senang untuk turut lipat kain baju yang akan membukit pada hujung minggu. Mujur juga saya, sejak kecil sudah dilatih oleh Makndak, emak saudara saya yang ikut tinggal dengan Opah (oh ya, saya dibesarkan oleh Opah dan Tuk Ayah di kampung, anak Opah!) supaya melipat baju sendiri. Kalau tidak, alahai ...

Suami soleh juga harus betah membongkok-bongkok, jangan takut sakit belakang, kerana isteri solehah ada demi mengurut menyembuhkannya. Sampah-sampah kecil di bilik-bilik serta ruangan-ruangan perlu divakuum licin.

Semalam, saya mengajar Ilham menggunakan vacuum cleaner, justeru menyedari kesukaan anak kecil saya itu kepada barang elektrik, termasuk juga vacuum cleaner.

"Mari! Mari! Abah ajar Ilham vacuum."

Lantas, dia yang merengek dalam pelukan Umminya yang sedang masak butter chicken, mengelusur turun, mampir dekat saya, mengambil batang vacuum dengan senyum girang. Jadi, mengajarlah saya petang semalam. Suami Soleh, suami yang terbongkok-bongkok vacuum dan mengajari anaknya menvacuum, solehkah saya?

Hey, betapalah Nabi saw khabarnya tak kekok untuk menjahit bajunya sendiri. Kita? Si suami soleh, takkan sekadar melunjur kaki di atas sofa panjang sambil menonton bolasepak. Aduhai, aduhai!

"Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik terhadap isteri-isteri kalian." (Hadis riwayat Tirmidzi)

Berubahlah!

Jumaat, 1 Mei 2009

SURAT 19 : ESOK, KOTA MANIS SAYA AKAN HANCUR!

Assalamualaikum,

"Encik dari mana?"

"Kuala Lumpur. Tetapi saya dibesarkan di Perlis. Encik dari mana pula?"

"Saya dari Tapah. Cameron Highland!"

Menerima panggilan telefon dari pesara-pesara Malaysia yang jumlahnya seramai 450 orang yang berada di seluruh Australia - atas alasan menetap di sini, atau mengikut anak, atau mengikut suami - adalah sesuatu yang bukannya luar biasa bagi saya, termasuk petang tadi.

Panggilan telefon dari seorang lelaki tua berbangsa India daripada Adelaide yang bertanyakan tentang bayaran tunggakan kenaikan bayaran pesaranya telah saya selesaikan dengan penuh sopan dan semangat kekawanan yang sebaiknya. Kemudian, seperti selalu, pesara-pesara ini akan mengambil 1 minit, 2 minit, atau kadang-kadang sampai 10 minit pun ada untuk bertanyakan tentang Malaysia. Dan, mereka akan cuba berbahasa Melayu. Saya tahu, mereka tetap rindukan Malaysia!

"Bila kali terakhir balik ke Malaysia?"

Ternyata bahasa Melayunya masih tak canggung, bahkan rasanya jauh lebih baik daripada sebahagian kecil rakyat Malaysia generasi sekarang. Ya, lelaki tua ini pekerja kerajaan generasi 70-an yang saya kira rasa kecintaan-negara atau patriotik mereka lebih telus berbanding dari generasi mutakhir ini.

"Disember lepas, adik lelaki saya berkahwin. Encik pula, bila kali terakhir pulang?"

"Sudah lama tak balik. Kali terakhir 2006. Tetapi, Cameron Highland sudah hilang seri. Sudah tak seperti dulu."

Lantun suaranya menurun terus.

"Manusia tamak, Encik. Lebih-lebih lagi manusia di Malaysia."

"Betul! Rumah-rumah rehat, hotel-hotel dan bangunan semuanya telah merosakkan kehijauan dan keaslian Cameron Highland. Cuaca pun dah tak sesejuk dulu."

Lelaki itu merungut lagi. Daerahnya hancur, sesal sungguh dia.



Ah, Cameron Highland ... daerah seribu kemanisan, honeymoon itu sudah jadi debu!

Saya tak tahu bagaimana Cameron Highland sekarang, kerana saya sudah lama tak ke sana. Kali terakhir ke sana, ialah Mei 2006, dan itulah juga kali pertama di sana, ya, berbulan madu. Meskipun lelaki itu mengatakan -Cameron Highland sudah panas, tidak sesejuk dulu - tetapi detik-detik kami berdua (ah, manisnya!) berputar-putar daripada ladang strawberri kepada ladang-ladang bunga berkembang, serta pasar sayur, saya tetap harus mengenakan sehelai jaket sederhana tebal. Sejuk! Jadi tak adillah saya membuat perbandingan tentang Cameron Highland dulu dan sekarang. Tetapi, lelaki tua ini, Tapah dan Cameron Highland itu tempatnya bermain. Hey, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain! Jadi, saya yakin kata-katanya ada kebenaran, dan kesedihannya bukan sebuah lakonan.

Ya, maaf kata: orang Malaysia lebih memikirkan soal untung dan kantung. Alam sekitar, kehijauan, sungai-sungai, tanah-tanih .. persetankan!

Dan maaf kata: orang di sini, Australia, mereka lebih prihatian perihal ini!

Di sini, harga minyak kenderaan misalnya, petrol jauh lebih murah berbanding diesel. Apabila ditanya alasan mereka, "kerana petrol lebih bersih dan bagus untuk kualiti alam!"

Aduhai!

Sekali yang lain, saya menghidupkan enjin kereta sewaktu menunggu seseorang.

Tuk! Tuk!

Cermin kereta saya diketuk sopan, "maafkan saya, Encik. Kalau Encik sekadar menunggu orang di dalam kereta, lebih baik Encik matikan dulu enjinnya. Encik dapat jimatkan minyak kereta, dan lebih utama ... Encik membantu untuk memelihara lapisan ozon dari gas-gas merbahaya yang tak sepatutnya."

Wanita minah Saleh separuh baya berlalu, tersenyum, dan saya tercenggang. Oh Tuhan, sampai begitu sekali prihatinnya orang mereka. Saya terkedu!

Saya tak tahu bagaimana 'orang mereka' boleh melihat yang lapisan ozon yang semakin nipis atas kerakusan dan angkara manusia. Dan saya hairan bagaimana 'orang kita' boleh buta mata dan buta hati apabila hutan-hutan dipunah-ranahkan di depan mata.

"Segala kerosakan di atas muka bumi ini adalah dari usaha tangan-tangan manusia sendiri. "

"Biasalah Encik, dengan duit semua boleh!"

Lelaki itu menambah.

"Politik, Encik. Asal kenal dengan orang itu, orang ini, kelulusan nak bina apa, di mana pun, boleh dapat!"

Jadi panjang pula cerita kami petang tadi. Mujur saya agak kurang sibuk.

"Bila balik Malaysia?"

"Lagi 2 tahun."

"Bagus, bagus. Encik balik Malaysia, nanti pencen jadi ahli politik, perjuangkan isu-isu alam sekitar ini."

Saya tertawa, "Encik, saya tak boleh jadi ahli politik!"

"Kenapa?"

"Saya tak kaya ..."

"Kaya?" Ternyata suaranya berbunyi hairan. Ternyata, lelaki ini kerana lamanya dia meninggalkan Malaysia dia tidak tahu rentak dan sepak-terajang politik Malaysia.

"Ya, Encik! Di Malaysia sekarang, untuk jadi ahli politik kena jadi kaya dulu. Nak kena beli orang itu, nak beli orang ini, baru boleh jadi ahli politik yang berjaya."

"Oh, begitu, ya ... sekarang nih?"

"Ya, begitu. Untuk jadi ahli politik, kena kaya dulu ... untuk menjadi lebih kaya!"

Haha .. kami tertawa besar, petang itu.

Pun, saya tetap terkenangkan daerah cinta manis saya. Jangan biarkan kota manis saya menjadi Highland Tower yang kedua!

Rabu, 29 April 2009

SURAT 18: JANGAN KURUNG DIA, ANAKMU!

Assalamualaikum,

Kata saya kepada Ustaz Naza saat bertemu, meluahkan rindu pertemuan dengannya, "ustaz, satu masa dulu, saya datang sendirian. Hanya Abang Hamdan saja yang berangkut anak-anak kecil untuk datang berprogram agama dengan Ustaz. Sekarang, saat saya pula mengangkut 'bala tentera' untuk datang dengar kuliah ustaz. Pantasnya masa berlalu, ya Ustaz."

Ya, saya bertemu dengan Ustaz Naza di luar negara dua kali, secara kebetulan. Pertama, lama dulu, ketika saya masih bujang trang-tang-tang, di Jepun. Ketika itu, tak kisah sangat, boleh turun-naik densha dua-tiga kali pun, mengejar dan kemudiannya ditinggalkan shinkansen, ketika mahu pergi summer-camp di Nagaoka, ketika itu bersama dengan Afendi. Kemudian, juga dengan Afendi, melompat naik ke atas feri saat ia betul-betul mahu bergerak meninggalkan Beppu Port untuk ke Kobe selepas berakhirnya Winter Gathering, betul-betul seperti De Caprio dalam Titanic. Tetapi semua itu tak jadi masalah, malah manis sekali buat dikenang.

Sebaliknya, sekarang, dalam pertemuan kedua dengan Ustaz Naza ini ... dengan keperluan isteri masih boleh di-nombor dua-kan, tetapi, perihal anak kecil yang kadang-kadang mudah meragam, hendak itu, hendak ini, aduhai, kadang-kadang saya harus berfikir dua kali.

Betul sungguhlah kata Allah, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Al-Munafiqun: 9)

Sesungguhnya, saat melihat Abang Hamdan mengheret anak-anak kecilnya ke setiap program agama dulu, hatta, beberapa kali saya lihat, kalau datang mesyuarat sekalipun, akan dibawanya anak sulungnya yang lelaki untuk ikut sama, saya sudah memasang angan - aku akan ikut cara Abang Hamdan!

"Inilah tarbiyah semulajadi untuk anak-anak," begitu pesan Abang Hamdan kepada saya.

Dan, itulah yang saya pegang, supaya tak terlucut, kepada anak sulung saya, Ilham, atau untuk adik-adiknya, kalau ada rezeki, InsyaAllah.




Ya, anak-anak tidak harus ditinggalkan di rumah, kalau kita keluar ke masjid, ikut kuliah, sebaliknya, bawalah bersama. Saya akur, kadang-kadang suasana beragama di Malaysia, tidak begitu memesrai anak-anak kecil, seperti yang selalu Ustaz Hasrizal kongsikan dalam ruang blognya, tetapi, kita harus mengubahnya. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Hari ini, kalau di masjid di tempat kita, kalau dibawa anak kecil untuk ikut sama, akan adalah mata yang menjeling. Aduh! Apalagi, kalau anak-anak kecil yang meragam, bertambah merah-padamlah muka jemaah sebelah. Kita tidak dapat meraikan jemaah dengan anak kecil. Seolah-olahnya anak kecil tiada tempat di masjid, begitukah?

Betapa, tentu kita tak terlupa bagaimana dalam hadis pernah memperlihatkan bagaimana lama sekali sahabat-sahabat sujud berimamkan Nabi saw - oh, rupanya Saidina Hassan dan Husain duduk tercatuk atas bahu Baginda saat Baginda sujud. Baginda saw tidak bangun terus, sebaliknya menunggu sehinggalah ketua-ketua pemuda syurga itu yang bangun sendiri, dan barulah Baginda bangkit dari sujudnya.

Nah, ada dua ibrah di sana. Pertama, kawasan masjid, hatta Masjid Nabawi zaman nabi sekalipun bukanlah sebuah kawasan larangan untuk anak-anak kecil. Kedua, bahkan, Nabi terlalu mengasihi cucu-cucu Baginda itu hingga menunggu kedua-duanya bangkit sendiri daripada bahu Baginda saw. Eh, bagaimana dengan kita hari ini? Aduhai!

Dan, saya melihat suasana ini sedikit-sebanyak memberi kesan, yang datang ke masjid hanyalah dari golongan, maaf kata, kubur kata: mari, marilah. Yang muda-muda mana? Jawapannya, itulah sikap kita tadi - susah, aku ada anak kecil, nanti orang masjid jegil mata.

Nah, kalau kita yang tidak mengubahnya, siapa lagi?

Saya rasa, sudah sampai masanya jawatankuasa masjid memikirkan keperluan kepada nurseri semasa. Maksudnya begini, keperluan untuk bilik penjagaan anak-anak kecil, dengan disediakan permainan yang bersesuaian untuk memberi peluang ibu bapa mengikuti kuliah. Atau, tidak salah juga, kalau ibu bapa ikuti kuliah, dan sang anak juga mengikuti kuliah, tetapi kuliah yang berbeza, yang sesuai dengan aras akalnya.

Kita yang perlu mengubahnya, siapa lagi, bukan!

Sesekali, saat diminta adik-adik untuk berkongsi ilmu di surau universiti, saya angkut saja Ilham bersama. Ya, tak dinafikan kadang-kadang, adakalanya dia meragam. Tetapi, itu hanya jarang-jarang sekali. Sebaliknya, yang lebih banyaknya, Ilham lebih senang untuk bermesra dengan abang-abang dan kakak-kakak yang ikut kuliah abahya, err ... saya! Dan, sesekali ada juga Ilham datang mengacau saya, ah, saya kira itu sebagai iklan, selingan. Bagus juga, kadang-kadang jadi terhibur dan hilang kantuknya.

Bukankah inilah tarbiyah semulajadi. Tarbiyah yang bermula dari saat dia mengenal dunia, masih merangkak, merengek, dan bercakap sepatah dua. Anak-anak sudah diperdengarkan tentang Allah, meskipun mereka mungkin masih tidak faham, sebetulnya (atau, mereka faham sebenarnya, siapa tahu, bukan?) Pokoknya, anak-anak jangan dikurungkan di rumah semata-mata kerana takut mengganggu jemaah masjid. Tetapi, haruslah kita ajar, latih, bimbing anak-anak yang berhati cerah ini.

Pokoknya, anak-anak kecil harus dibawa ke tengah medan dakwah, anak-anak harus diperlihatkan dengan perbuatan solat berjemaah ibu bapanya, misalnya, justeru anak-anak lebih senang mengikut SIKAP daripada CAKAP.

"Kalau kauorang sembahyang jemaah, letakkan satu sejadah khusus untuknya, supaya dia tak ganggu sembahyang kauorang. Beritahu elok-elok, nanti sujud di sini. Jangan kacau Abah dan Ummi nak sembahyang."

Demikian pesan Emak (ibu kepada isteri saya) saat kami bercerita pengalaman kami terhadap Ilham. Sekali lagi, pokoknya, jangan tidak bersolat jemaah antara ibu dan ayah, semata-mata alasannya: susah, anak kecil! Aduhai, aduhai!

Anak anda bagaimana? Ah, kita boleh mengubahnya!

Selasa, 28 April 2009

SURAT 17: LELAKI BELAKANG MASJID ... BERUNTUNG SUNGGUH!

Assalamualaikum,

"Beruntung dia, bukan?"

"Maksud, Encik Fadli?" tukas saya, menginginkan jawapan segera dari bos saya, orang nombor dua di sini. Deni pula terlihat ghalit memandu Holden Commodore Wagon, kereta pejabat dan saya tahu, dia sama memasang telinga. Laluan Tuggeranong Parkway agak lengang di awal petang sebegini. Angin berseru, dedaun menari, dan mentari riang atas cucur alam Canberra.

"Ya, beruntung, Johan. Dia hidup entah berapa lama dalam Kristian, kemudian berkahwin dengan wanita Melayu, menjadi Islam. Kemudian pada saat-saat akhir hayat, dia sering dilihat di masjid, dan matinya dia dalam Islam. Beruntunglah!"

Bos saya menjelaskan makna 'untung' nya itu.

Saya angguk. Benar.


Petang itu, saya, Deni dan Encik Fadli baru perjalanan balik dari Tanah Perkuburan Mitchell. Itu kali pertama saya 'singgah' ke sana. Seperti kata Encik Fadli; seorang ketua yang kadang-kadang huha-huha, easy going, tetapi pada sisi yang lain, cukup bagus agamanya, dan banyak yang saya boleh belajar darinya,

"Deni, Izuddin ... jom kita iringi jenazah ke tanah perkuburan. Hari ini kita iring dia, entah-entah esok orang iringi kita pulak."

Gulp!

Ketika itu kami baru usai solat jenazah di Masjid Canberra yang berdepan dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia itu. Alhamdulillah, jemaah yang ikut bersolat jenazah untuk arwah George, atau Islamnya Johan, relatif ramai - lebih dari 5 saf.

Saya ralat sebetulnya mengenangkan kematian George, terutama perihal saya menanggapi pemergian lelaki ini.

Kenapa?

Begini kisahnya, kisah terkilan saya.

"I di Hospital Canberra, ada orang meninggal. Johan, bekas suami Kak Ida mungkin you kenal kot. Kalau nak datang tengok, boleh jugak!"

Begitu panggilan telefon yang saya terima dari Abang Roslan, rakyat Malaysia yang sudah lama di sini, hampir 20 tahun. Ya, memang Hospital Canberra sangat dekat dengan rumah saya, tetapi mengenangkan saya baru sahaja pulang membeli-belah, orang kata, peluh pun belum kering, jadi saya tak pergi ke hospital. Dan, paling utama,

"siapa Johan tu, bukannya saya kenal pun," bisik saya sendirian.

Sudahnya? Tak pergilah saya ke hospital!

Saya hanya tahu siapa George, atau Johan itu keesokannya, saat jenazah itu siap untuk disembahyangkan, dan kemudiannya men'tanah'kannya sebagaimana sifat asalnya: dari tanah dia datang, dan kepada tanahlah dia kembali.

Betapalah George itu saya kenal, dan saya kira agak rapat antara hati kami. Saya kenal dirinya, bahkan saya ingat sungguh, betapa dia; lelaki mat Saleh yang berkerusi roda kerana parkinson itu pernah sekali mengusap rambut Ilham. Betapalah terlihat senang dan sayangnya lelaki yang pernah bekerja sebagai juruterbang askar Australia yang berkhidmat di Sabah dan Pahang pada anakanda saya. Justeru penyakit Parkinsonnya menjadikan bicaranya gagap sungguh, 'nafsu' saya untuk berbicara panjang dengannya selalunya mati cepat. Pun begitu, sesekali bertemu, George yang selalu ingin berbahasa Melayu itu dan sering tersenyum itu akan saya salami, bersembang lebih-kurang sebelum saya masuk ke dewan masjid.

Ya, George, sering ada di belakang masjid, justeru kerana fizikalnya yang berkerusi roda. Dan, nah, dia dikenal orang sebagai lelaki belakang masjid, malahan. Saya yakin, ramai juga tak mengetahui namanya, tetapi mengenal identitinya - lelaki belakang masjid!

Hinggalah hari kematiannya, dan orang mengenal namanya, nama lelaki yang sering ke masjid, meski berpapah, berkerusi roda, sering tersenyum, cuba berbicara meski suaranya sering tenggelam-timbul oleh penyakit sarafnya itu adalah George, atau Johan.

Ah, betapa, Islam telah mengangkatnya!

Ya, dia hidup lama dengan Kristian, seperti kata anak lelaki sulung yang berucap mewakili keluarga bekas isteri pertamanya, juga mungkin bercakap bagi pihak orang Kristian, "George berasal dari New Zealand, berkahwin dengan Mary; ibu saya dan mempunyai 7 orang anak. Setelah itu berkahwin dengan wanita Malaysia; Ida dan dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan."

Ya, anak lelakinya yang berucap di kawasan perkuburan yang dikhususkan untuk Muslim itu tidak pun menyatakan yang bapanya memeluk Islam kemudiannya, tetapi kami tahu, tetapi Tuhan tahu, MalaikatNya Tahu, seluruh alam tahu ... George itu matinya muslim!

Saya membalikkan pada diri saya, "aku ini lahirnya dalam Islam, hidupnya dalam Islam, dan betapa celakalah aku kalau ditakdirkan mati dalam agama yang sebaliknya. Oh Tuhan yang membolak-balikkan hati, aku pohon sungguh-sungguh kepada Kau, Tuhan, tetapkan hati ini atas agamaMu yang benar hinggalah tubuh aku kembali ke asal; dari tanah kembali ke tanah."

Dan kerna itu, saya yakin Tuhan memandang tinggi lelaki itu; lelaki belakang masjid yang cakapnya gagap-gagap, lagi berkerusi roda kerana Parkinsonnya. Tetapi, saya tahu, seperti yang Encik Fadli, katakan,

"George lelaki beruntung, kerana matinya dalam Islam!"