Rabu, 20 Mei 2009

SURAT 27 : INSAF DI ATAS AWAN!

Assalamualaikum,

EDISI TERLEWAT: Sabtu, 16 Mei 2009


Apa yang kalian rasa saat awan kelabu gelap menanti di depan? Ya, seperti mahu membahammu, menamatkan riwayatmu saat itu juga, bagaimana? Dan esok, di akhbar-akhbar utama belasungkawa: pesawat terhempas, semua terkorban. Bagaimana, ya?

Pagi itu, Ilham bangun awal, di luar kebiasaan. Apabila diajar beberapa kali, dia akan menjawab dengan telo suara yang tidaklah berapa betul, "Abah .. Melbourne!"

Selepas Subuh, meredah gerimis pagi dan kurang 5 minit daripada 5:30 pagi, saya ditinggalkan di Canberra Airport. Resah. Itulah perasaanya setiap kali menaiki pesawat. Betapa lagi, kalau cuaca kurang baik seperti pagi ini, Oh Tuhan!

6:30 pagi, sebagaimana dijadualkan, VirginBlue pun meninggalkan tanah Canberra. Dan, ya, seperti kalian lihat, tanpa secarikpun warna mega pagi, justeru itu hati saya libang-libu - inikah hari terakhir saya?

Saya sentiasa begitu. Setiap kali naik ke udara, sentiasa disematkan: nyawa saya di tangan Tuhan. Bukan atas kehandalan juruterbangnya, bukan juga kerana kecanggihan teknologi pesawatnya, tetapi kerana Tuhan yang masih memegang nyawa saat, dan saya (serta penumpang lain) dapat terus hidup. Titik.

Zikir beralun di dalam hati, "Subhanallah, Alhamdulillah, AllahuAkbar."

Majalah Dewan Sastera dengan bicara tamunya daripada Sasterawan Negara Dato' Shahnon Ahmad saya gulati, meskipun tidaklah masuk sangat. Ya, saya tetap bimbang, takut, dan tidak selesa. Saya rasa dosa saya banyak, pahala kebajikan masih belum cukup, anak masih kecil untuk dia merasai kehilangan Abahnya, isteri ... kasihanlah kalau terpaksa berjuangan sendirian tanpa suami di sisi.

Nah, semua perkara hitam-hitam itu selalu benar melintas pada alur ingatan, meski ditepis sedaya-mungkin.


Apa pula perasaan kalian dengan gambar ini?

Cahaya mentari, saat makin mendekat kepada Melbourne, sudah terpecah-pecah jaluran emasnya. Lantas, saya menjadi sedikit bahagia. Bahawa, kematian sudah semakin jauh! Ah, manusia memang selalunya begitulah. Pada saat, dilambung oleh awan ke atas ke bawah, atau dilambung ombak, tinggi dan rendah, rasa kematian sangat-sangat dekat, dan zikir tasbih pun berantai-rantai, kalahkan sang abid. Tetapi, sebaik awan menjadi cerah, laut menjadi damai, manusia itupun menjadi jahat dan jauh dari Tuhan, semula. Aduh!

Alhamdulillah, mendarat selamat di kota lama Victoria, aspal Tullamarine Airport menyambut dengan suhu luar pada angka 12. Bergegas mencari sepasang manusia ... Abah dan Mama, selamat datang ke tanah selatan!

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah,kerana itu hati manusia berbolak-balik.Semoga sama-sama dibimbing dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah.

    Ana kerap kali menitiskan air mata tika berada di atas perut kereta terbang.Waktu itu jua,adalah waktu yang paling ana rindui untuk ana membacakan al-Quran.Mengenangkan segala dosa-dosa sebagai hambaNya.

    Pimpinlah kami,duhai Allah dalam mengemudi bahtera pemusafiran di muka bumi ini ini.Ampunilah kami,duhai Allah.

    -doakan ana sekali,insyaAllah.sedang menghadapi persiapan jyuken.kirim salam buat seluruh keluarga nta.

    BalasPadam