Isnin, 4 Mei 2009

SURAT 20: DIA, DI JALANAN ... KAWAN!

Assalamualaikum,

Dari dapur, masih kedengaran keting-ketung-nya, isteri masih menyudahkan kerja-kerja membersih pinggan dan periuk makan malam. Sesekali Ilham yang menekuni laptop dummynya bersuara - Abah, net, net.

Oh, anak-anak zaman sekarang!

"Ada internet, ya?"

"Ada. Upin."

Ilham mahu tengok kartun Upin dan Ipin ikut laptop dummynya, sebagaimana yang sering saya ajarinya dengan komputer riba, menonton Upin dan Ipin ikut youtube. Dan malam ini dia membuat seperti saya pernah ajarnya. Anak-anak zaman moden, begitulah!

"Ilham, Abah ... sampai umur 20 tahun pun belum kenal betul yang namanya internet!"

Ilham terus mengomel dalam bahasanya sendiri.

Ya, justeru zaman sudah banyak berubah, maka pendekatan, pendidikan, sentuhan kasih terhadap anak-anak juga harus bergerak seiring. Ya, mungkin masih ada nasihat dan petua-petua yang dititipkan oleh orang tua kita masih bisa digunakan, tetapi, tidak semua!

Saya tersenyum, mahu ketawa mengenangkan Ilham.

Di luar rumah, dingin makin mencengkam. Suhu sekarang bermain di bawah 20 darjah, bahkan sesekali turun lebih rendah dari angka 10. Khabarnya beberapa kawasan berbukit bergunung di negeri New South Wales sudah dituruni salji - wah, awalnya!

Bulan bersabit terlihat di balik blind yang berjalur-jalur yang menghijabkan kawasan dalam rumah dari luarnya. Bahawa, rembulan pertengahan Rabi'ul Akhir itu memberi peringatan: tiga bulan lebih sedikit, Ramadan akan datang semula. Aha, harus segera ingatkan isteri: yang, puasa gantinya sudah lengkap?


Isteri datang dari balik daun pintu dapur. Tadi lagi sudah saya ingatkan,

"Malam nanti kita berlumba, ya ..."

"Lumba apa?"

"Lumba lipat kain!"

Haha.

Ya, suasana mutakhir, sekali lagi, peredaran masa - isteri bekerja - menuntut suami untuk turut sama 'berjuang' di rumah. Dalam kontek saya, isteri saya seorang pelajar, seperti juga seorang pekerja yang mana masa siangnya di pertengahan minggu adalah di luar, di makmalnya. Dan lebih parah, Sabtu semalam, dan awal pagi minggu serta petang tadipun, isteri saya harus ke makmalnya, meski sekejap untuk setkan eksperimen makmalnya.

Pendek-kata, isteri dan juga wanita berkeluarga hari ini sebahagian besarnya tidak lagi di dalam rumah, tetapi di luar, bekerja. Jadi, harus dan wajar sangatlah isteri dibantu oleh si suami, sekadar termampu. Isteri solehah yang niatnya tulus: untuk membantu meringankan beban kewangan suami, mak harus sangatlah suami soleh membantu isterinya di rumah dalam hal-hal urusan di rumah. Malanglah kalau suami hari ini masih bercekak pinggang, menanti air basuh tangan dibawa oleh isteri sampai depan dagu. Zalim, bahkan!

Saya pernah cuba mendapatkan orang Malaysia yang berminat untuk menjadi orang gaji, justeru faham kesusahan yang dialami isteri. Menjadi seorang isteri yang perlu menggalas tanggungjawab besar di rumah, selain menjadi seorang pelajar pasca-ijazah yang tidak kurang amanah yang harus dipikul - ya, saya tahu sukar sungguh. Justeru itu, saya ingin membantunya, beerti membantu diri saya sendiri juga, sebetulnya.

Tetapi, kerana undang-undang Imigresen Australia yang ketat dan Undang-undang Buruh yang menyatakan syarat gaji yang tinggi, selain kesukaran mendapatkan calon yang sesuai di Malaysia, membuatkan niat luhur saya untuk meringankan kerja isteri itu tinggal di situ sahaja.

Teringat satu masa dulu, zaman nakal-nakal di Ambang Asuhan Jepun, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, semasa membuat persediaan Bahasa Jepun sebelum berangkat ke tanah sakura.

"Isteri cerdik yang solehah, penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran. Di rumah, di isteri, di jalanan, kawan. Diwaktu kita buntu, dia penunjuk jalan."

Ah, nasyid inilah yang sering disiul-siulkan oleh Ridzwan, teman saya, yang sekarang menjadi jurutera dengan Perodua, tatkala seorang teman sekelas, wanita, Nik namanya melintas di depan kami. Saya tahu teman semeja saya itu hanya sekadar senda-senda, suka-suka. Dan khabarnya Nik pun sekarang sudah bahagia menjadi isteri dan ibu orang. Ya, cerita zaman muda, zaman nakal-nakal yang senang untuk dikenang.

Ya, isteri solehah tetap ada. Tetapi, suami soleh juga harus ada. Suami soleh yang ringan tulang demi membantu meringankan tugasan si isteri yang solehah itu. Suami soleh yang tak malu-malu untuk menyidai kain di ampaian luar dan tidak takut pada celaan orang yang mencela:

"Tengok, suami berpenyakit TB (Takut Bini!). Kain pun dia kena sidai sendiri."

Suami soleh yang senang untuk turut lipat kain baju yang akan membukit pada hujung minggu. Mujur juga saya, sejak kecil sudah dilatih oleh Makndak, emak saudara saya yang ikut tinggal dengan Opah (oh ya, saya dibesarkan oleh Opah dan Tuk Ayah di kampung, anak Opah!) supaya melipat baju sendiri. Kalau tidak, alahai ...

Suami soleh juga harus betah membongkok-bongkok, jangan takut sakit belakang, kerana isteri solehah ada demi mengurut menyembuhkannya. Sampah-sampah kecil di bilik-bilik serta ruangan-ruangan perlu divakuum licin.

Semalam, saya mengajar Ilham menggunakan vacuum cleaner, justeru menyedari kesukaan anak kecil saya itu kepada barang elektrik, termasuk juga vacuum cleaner.

"Mari! Mari! Abah ajar Ilham vacuum."

Lantas, dia yang merengek dalam pelukan Umminya yang sedang masak butter chicken, mengelusur turun, mampir dekat saya, mengambil batang vacuum dengan senyum girang. Jadi, mengajarlah saya petang semalam. Suami Soleh, suami yang terbongkok-bongkok vacuum dan mengajari anaknya menvacuum, solehkah saya?

Hey, betapalah Nabi saw khabarnya tak kekok untuk menjahit bajunya sendiri. Kita? Si suami soleh, takkan sekadar melunjur kaki di atas sofa panjang sambil menonton bolasepak. Aduhai, aduhai!

"Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang terbaik terhadap isteri-isteri kalian." (Hadis riwayat Tirmidzi)

Berubahlah!

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum.
    Seronok dengan penulisan berunsur Islam oleh saudara.
    Buat perkongsian/perbincangan mengenai Islam silalah layari blog saya: wwwfafiruilallah.blogspot.com
    Sekian.

    BalasPadam
  2. salam..
    baru sy perasan nama bro bukan Ilham..tp tu nama anak bro..sori ye slama ni pggl nama tu..
    saya juga setuju dgn pendapat bro..mungkin sbb sy juga perempuan..yg telah menyaksikan banyak kaum suami memperhambakan isteri..mereka 'take for granted' yg isteri xkesah buat semua tu sbb syg suami..

    kalo pon suami tolong isteri byk2, xkan mengurangkan kelakian mereka pon..malah makin bertambah 'gentlemenness' nyer..(hehe, perkataan ape nih??)
    isteri pulak x harus lupa pd tanggungjawab sendiri..jgn buat suami mcm kuli pulak..hehe

    doakan sy jd isteri solehah dan berjaya dlm hidup..

    BalasPadam
  3. Salam Pelita Di Dalam Kaca,

    Saya sekadar berkongsi ilmu saya yang cetek. Nak lebih-lebih, memang saya nih jenis tak pandai ... hehe.

    Terima kasih datang mengunjungi. Harapnya adalah juadah ilmu buat dimakan, dan dibawa pulang ..:)

    BalasPadam
  4. Zalizabrina,

    Takdak masalah, nama Ilham tu pun saya senang menerimanya ..:)

    InsyaAllah saya dan isteri doakan Zaliza menjadi isteri yang solehah, dan .. ehem-ehem, beroleh suami yang soleh jugak ..:D

    BalasPadam