Khamis, 7 Mei 2009

SURAT 22 : IBRAH MEMBENTUK FIKRAH!

Assalamualaikum,

Kita harus belajar dari sirah! Sirah dan sejarah adalah suluhan lampu, selain suluhan Al-Quran untuk kita yang ibaratnya berada di atas sebatang jalan sempit yang kirinya berduri dan kanannya onak yang melukakan. Dan suluhan sirah dan wahyu itulah yang menuntun kita, begitu ibarat kata.

Bacalah sejarah di antara dua garis - di antara fakta dan di antara makna!

SIRAH

Zulkaedah 6 Hijrah, dipimpin oleh Baginda saw seramai 1400 orang muslimin daripada Madinah ingin masuk ke kota Mekah demi menunaikan umrah. Bersama mereka adalah haiwan untuk dikorbankan dan pedang yang tersarung, memberi erti - kami datang dengan seru perdamaian, kami mahu melawat Baitullah.

Pun begitu, dihalang oleh Musyrikin Mekah. Dan Nabi saw akhirnya menurunkan persetujuan dalam apa yang disebut Perjanjian Hudaibiyah.

Sahabat-sahabat melihat perjanjian ini tidak memihak kepada Islam. Bukan sahaja mereka tidak dibenarkan menunaikan umrah pada tahun itu dan isi-isi perjanjian yang kelihatan logik-akalnya akan melemahkan Islam, bahkan mereka lihat peristiwa Nabi dipaksa memadamkan perkataan 'Muhammadul Rasulullah' untuk digantikan dengan 'Muhammad bin Abdullah' sebagai merendah-rendahkan orang kesayangan mereka, Nabi saw.

Sahabat-sahabat protes, tidak mahu bercakur, biarpun Nabi saw meminta mereka berbuat demikian hingga 3 kali. Sampai begitu sekali tidak puas hatinya sahabat terhadap isi perjanjian ini.

"Tuan, usah lagi bercakap, tetapi pamerkan sikap. Tuan keluar dan bercukurlah dulu. Nanti tatkala dilihat mereka, pasti mereka akan ikut bercukur sama."

Demikian nasihat seorang isteri, Ummu Mukminin Ummu Salamah kepada Nabi saw.

Bahawa, di luar kesedaran sifat manusia, sebenarnya Perjanjian Hudaibiyah itulah yang menjadi batu asas kepada pembukaan kota Mekah, sebagaimana disebut oleh Ibn Qaiyim. Dari satu riwayat lain, ekoran dari perjanjian inilah bilangan yang memeluk Islam untuk 2 tahun pertamanya adalah bersamaan dengan jumlah yang memeluk Islam untuk 19 tahun sebelu perjanjian itu dilakukan. Bayangkan! Kerana kita, manusia biasa membaca mengikut hati, nafsu, perasaan, akal, dan keinginan segera yang di depan mata, semata-mata. Kerana pembacaan nabi sebagai alim, sebagai pemimpin, adalah pembacaan yang jauh, yang tak semata-mata bersandarkan untung pendek, dan cita-cita yang segera.

SEMASA




Saya jadi resah!

Selain bahang Muktamar Tahunan PAS kali ke-55 yang akan berlangsung kurang 2 bulan dari sekarang, Pilihanraya Kecil DUN Penanti, Pulau Pinang cukup mengoyak ketenangan saya. Suara akar umbi, samada daripada PAS Kawasan Permatang Pauh atau Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang inginkan kerusi calon DUN Penanti diisi oleh calon mereka, dan bukannya daripada PKR pada saya, adalah menurut kepada kehendak hati semata-mata.

Ya, orang muda - membuak-buak, mahu segera, idealis dan kadang-kadang tak fikir panjang.

Pengalaman duduk bersama di dalam Pemuda kawasan P1, termasuk bersama sendiri dengan 'Tuk Wali' yang kemudiannya menjadi calon bebas di DUN Titi Tinggi pada Pemilu 2008 telah mengajar saya untuk membuat kesimpulan di atas. Tindakan ini bertitik-tolak dari rasa tidak buat hati, berfikir pendek, dan membelakangkan sifat syura yang menjadi asas pegangan jemah itu sendiri.

Faham. "Kita yang selama ini meneroka, membajak, menanam di sini, alih-alih masa memetik buah, orang lain yang mengambilnya." Saya faham, sangat faham! Tetapi, jemaah ini bukan kita sendirian, keputusannya juga bukan keputusan individu. Maka, berlapang dadalah, meski pahit, meski membara. Dan, kalau saya jadi Pemuda Permatang Pauh pun, ombaknya juga pasti bergulung-gulung.

Itulah adat jemaah!

Kata Ustaz Naza, "kita meraikan perbezaan pendapat. Bertegang leherlah, hatta kadang-kadang sampai ada yang ketuk meja. Tetapi, sebaik keputusan diputuskan, semua harus akur, redha dan menerima keputusan mesyuarat sebagai keputusan bersama. Itu adab berjemaah."

Ya, sepertinya dalam sirah Hudaibiyah, pandangan pimpinan, dalam konteks semasa hari ini pandangan, baca politik ulama adalah baca politik yang panjang perkiraannya. Saya senang dengan kenyataan TG Nik Aziz bahawa PAS menolak untuk meletakkan calon dalam PRK Penanti kerana PAS berpegang janji.

PAS ada calon, dan mungkin calonnya lebih bagus dari Dr Mansor Othman yang menjadi calon PKR. PAS membuat pasukan kerja yang mantap, yang kalau digerakkan mungkin bisa menawan Penanti. Pendekata, PAS ada 1001 alasan untuk bertanding di Penanti, tetapi PAS, melalui Mursyidul-Amnya memilih untuk tidak bertanding, alasannya? PAS berpegang janji!

"Kalau PAS nak kerusi tu, kena tunggu Pilihanraya Umum depan. Kita bincang semula. Tetapi, sekarang, janjinya ... kerusi itu memang kerusi PKR."

PAS kena pegang janji, titik!

Kemas. Satu simpulan yang tak boleh dirungkaikan ikut apa cara sekalipun.

Ya, dari sudut jangka dekatnya, seperti Hudaibiyah: PAS alah. Tetapi, dari sudut jangka panjangnya dan survival kelangsungannya, kalimah - PAS berpegang kepada janji - itu entahkan menusuk ribuan hati-hati kecil, lalu tanpa sedar mungkin mengatakan: bukankah ini yang Islam suruh, berpegang janji? Dan PRK membuktikan PAS mengotakan kata - janji adalah janji.

Ya, belajarlah dari sirah. Melontarkan cadangan adalah tidak salah, sepertimana Dr Mujahid Yusuf Rawa, tetapi demi adab berjemaah, sebaik kata putus diberikan - Penanti tetap kerusi PKR - maka semua, khususnya Pemuda PAS PP dan PAS kawasan Permatang Pauh, harus reDHA, bukan reDAH!

Ibrah dari Hudaibiyah, siapa sangka ... kerana alah yang sedikit, dalam tempoh singkat selepas itu Islam melebar-luas ke segenap tanah Haramain, dan kemudiannya jazirah-jazirah lain, dan kata saya ... siapa sangka, dengan memegang janji itu, PAS akan dilihat ramai, khususnya non-muslim yang selama ini PASO-PHOBIA sebagai parti yang jujur sekaligus membawa satu seni politik baru yang berprinsip teguh.

Kembalilah kepada sirah!

1 ulasan:

  1. Sahabat,
    Sahabat juga masih muda dan zaman muda seperti sahabat saya telah laluinya. Ada perkara yang sukar diungkap dengan kata atau tulisan tetapi kita akan memahami bila kita mengalaminya. Ilmu pengalaman tiada dalam buku. Pengalaman mungkin boleh dibukukan tetapi tetap tidak sama dengan orang yang mengalaminya. APa yang berlaku di P001 sukar dimengerti tanpa mengalami. Saya bukan berkata tanpa fakta, tetapi saya sendiri telah bertaruh nyawa untuk itu. Ramai orang tidak tahu dan saya pun tidak suka memberitahunya. Namun itulah yang dialami. Sebab itulah ayah kita yang tidak berapa cerdik itu berani memarahi kita yang cerdik ini. Kenapa? Sebab dia telah mengalami apa yang kita tidak mengalaminya.

    BalasPadam