Isnin, 11 Mei 2009

SURAT 24 : SEPERTI AYAH, SEPERTI ITU ANAKNYA!

Assalamualaikum,

Ternyata, Abah telah menuangkan 'suka kembara' nya kepada anak-anak, khususnya saya.

Maka itu, tidak peliklah, saya sudah sampai ke banyak tempat, samada secara kebetulan saya belajar di sana, seperti Jepun, atau tumpang belajar, seperti sekarang di Australia, atau yang saya gunakan wang sendiri untuk menyampaikan saya ke sana.

Maka itu, beberapa tempat sudah dilawati, misalnya Korea Selatan, bersama keluarga, ke Mesir, khususnya kota tua Kaherah semasa IHSAS oleh PMRAM. Oh ya, saya dipilih mewakili Persatuan Pelajar Islam Malaysia di Jepun untuk sambutan ulangtahun ke-70 Persatuan Pelajar Malaysia Mesir itu, menjadi perwakilan yang sampai paling akhir, dan pulang paling awal. Kemudian lagi ke Mekah dan Madinah dengan Syeikh dan Aznan, menjadi tetamu Allah untuk 38 hari yang manis sambil menyimpan kenangan yang di luar kemampuan kata dan tulisan, Indonesia dan Thailand. Terbaru, kami tiga beranak singgah 2 hari di Kota Singa.

Pendek kata, saya mengambil perangai Abah - asal ada duit sedikit, sanggup bersusah-susah sedikit, malahan, untuk menyampaikan saya ke tempat orang. Tengok tempat orang, sekaligus menyelami budaya dan resam orang lain.

"Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baru. Sesungguhnya Allah Maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Senarai Abah, tentulah lebih panjang! Kebetulan Abah bekerja dengan MAS sedikit masa dulu. Jadi, setiap tahun adalah tiket percuma ke mana-mana destinasi MAS, dan itu memanjangkan langkah Abah. Jadi, banyaklah jejak-jejak yang Abah tinggalkan. India, Jepun 3 atau 4 kali, Indonesia tak terbilang, China, Mekah dan Madinah, 2 atau 3 kali, Thailand, Singapura, Afrika Selatan, UK, dan saya kira yang terakhir yang di luar lingkungan Asia Tenggara adalah Turki, bersama Mama, entahkan berbulan madu kali berapa. Itu kiranya hadiah dari wang VSS Abah daripada MAS.

Sebaliknya, antara saya dan Abah di atas mauduk kembara ini, ada juga bezanya!

Abah, asal sampai, jadi. Tempat tinggal ... asal boleh tidur, kira ok!

Saya? Oh lain! Saya, meski untuk bercuti yang dekat-dekat, ke Melbourne, misalnya pada pertengahan Februari lepas, bersama dengan Ayah dan Emak mentua saya, sebelum menghantar mereka pulang ikut Melbourne Airport, saya cukup berkira-kira. Seminggu dua sebelum itu, saya sudah membuat sedikit research, mahu melawat ke mana, dan paling utama mahu tidur di mana. Bahkan, kadang-kadang saya sedikit cerewet dalam hal ini!


Ironinya, Abah dan Mama akan sampai ke Melbourne pagi Sabtu nanti. Saya sudah menempah tiket penerbangan untuk menjemput mereka di sana. Saya cuma sendirian. Isteri dan Ilham tak saya bawa bersama. Pertamanya, cuaca semakin sejuk. Sesuatu yang agak kurang baik, terutama untuk Ilham. Dia pun, batuk-batuknya masih datang sesekali, terutama awal pagi. Kedua, pertengahan April saja baru kami bertiga bercuti ke sana. Jadi, saya rasa berseorangan kali ini adalah lebih baik!

"Kami datang ikut Melbourne, cadangnya mahu putar-putar di Melbourne. Kemudian ke Canberra, dua minggu dan balik ikut Sydney."

Demikian cerita Abah lewat telefon, hampir dua bulan dulu.

"Bawalah mereka ke Phillip Island, tengok penguin parade, macam kita bawa Ayah dan Emak dulu," cadang isteri saya bila diceritakan yang Abah dan Mama akan datang bercuti. Dapat tiket murah ikut MAATA Fair baru-baru ini. Penerbangan MAS dengan tiket yang hampir separuh lebih murah berbanding harga biasa. Bagus!

Phillip Island? Terkenal sudah pulau hujung negeri Victoria itu dengan haiwan terkedek-kedek, penguin!

Tetapi ...

Semasa kami, termasuk Ayah dan Emak mentua saya pergi ke penguin parade itu musim panas. Itupun, selain ramai yang memakai 2, 3 lapis baju, membawa selimut tebal untuk duduk menunggu penguin naik ke pantai sewaktu Maghrib adalah sesuatu yang biasa. Itu musim panas!

Bayangkan sekarang yang di muka pintu musim dingin? Dan Abah, aduhai ... saya masih ingat semasa mereka datang melawat saya di Nihon dulu, semasa awal musim bunga,

"Sejuk la, sejuk la ..."

Ah, cadangan ke Phillip Island tak berapa sesuai!

Dan, yang memeningkan saya, penginapan. Ya, seperti dikata, cerewet!

"Saya bermalam di EasyStay Apartment di St Kilda. Bagus, bagus!" Promo Cik Azira, Pegawai Imigresen Malaysia di sini. Dia menyambut orang tuanya yang datang bercuti ke sini dua minggu lepas. Juga, kedua orang tuanya datang ikut Melbourne. Jadi, katanya dia bermalam di apartment itu.

Saya research, sedikit di luar bandar, kira-kira 10 km dari pusat bandar. Hajat saya, ya, cerewet - mahu yang di tengah bandar. Titik tumpu saya ialah, Queen Victoria Market. Kalau boleh, saya mahu menapak saja ke pasar seperti Chinatown itu. Ya, kerna saya tahu betapa memakir kereta di tengah bandaraya Melbourne ... oh Tuhan!

Cerewet saya sampaikan kalau boleh mahu yang di depan hotel, berjalan sedikit ada stesen trem. Paling kurang, ada stesen bas. Kalau dapat bas double-decker berbadan merah yang percuma untuk pelancong putar-putar seluruh kota Melbourne, lagilah bagus sangat. Kalaulah!

Saya mahu yang cantik pemandangannya, ya, seperti di Dockland, misalnya. Tetapi, harganya, aduh,sekitar $200 semalam, atau lebih. Mungkin pilihan yang ada, yang tak kurang cantik pemandangannya ialah di Southbank, yang mengadap pemandangan damai Yarra River yang menjadi tumpu-indah bandar Melbourne. Mungkin di situ, agaknya. Dan lagi pula, betul-betul di pinggir bandar, menapak sedikit, dan boleh menaiki trem yang khabarnya ada yang percuma untuk pelancong-pelancong luar.
Sungguh. Jauh di sudut hati, saya inginkan yang terbaik untuk di'hadiah'kan kepada Abah dan Mama. Satu masa dulu, merekalah yang mengenalkan saya dengan satu dunia kepada satu dunia, hingga saya jatuh cinta kepada kembara, dan sekarang ini, giliran saya pula!

Melbourne, jejak Abah akan dicipta di sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan