Jumaat, 26 Jun 2009

SURAT 40 : KERANA SAYA BAPA MODEN?

Assalamualaikum,

"Abah, sakit ..."

"Mana?"

"Sini."

"Meh, Abah tolong urutkan ..."

Pagi tadi, jam 4 lebih sedikit saya bangun untuk tengok Piala Konfiderasi; Brazil bertemu Afrika Selatan. Isteri, kerana hari ini dia mahu berpuasa ganti, bangun untuk bersahur. Tumpang sama bangun, si cilik saya, sambil mengadu-adu. Saya belek di pelipat lututnya - tak ada apa-apa!

Kemudian, sambil saya mengusap-usap kakinya, dia jendera. Lengan kanan buat jadi bantalnya, sambil merenung aksi-aksi bola akal terasa sayu pula jadinya.

Ah, kita sering terlupa dan ambil ringan!

Kalau terlupa, mari sama-sama kita ingat, dan kemudiannya berubah, sepatutnya!

"Berapa masa kita untuk Ilham?"

Tanya saya pada isteri.

Dia diam.

5:30 petang, usai kerja saya ambil Ilham di rumah penjaganya. Sementara sembang-sembang dengan Aunty dan Uncle yang menjaga Ilham, mendengar cerita tentang kerenah Ilham, perkara-perkara baru yang Ilham belajar, sempatlah saya memesrai Ilham sekitar 30 minit.

Dalam perjalanan pulang, Ilham, kerana seharian asyik bermain tanpa tidur, di dalam kereta lagi Ilham sudah terlelap. Selalunya sampai pagi esoknya. Malam hari, kalau nasib baik akan bangun sebentar, dalam 30 minit, untuk bermain. Itupun, kalau bernasib baik!

Kerana itu akhir-akhir ini, saya sangat rindu dengannya, bermain dengannya, atau paling tidak mendengar celoteh atau ketawanya. Bukan kerana tidak bertemu, hidup terpisah, tidak! Malah, saya dan anak saya bertemu setiap hari. Tetapi, pertemuan itu, kebersamaan kami tidak hidup, kerana anak saya lebih sering tidur awal. Kalau ada masa lebih pun, hujung minggu saja. Oh, tidak salah bukan untuk rindu, meski selalu bertemu pun? Ya, kerana saya hanya ada 30 minit bersama anak saya.


Lalu, berapa lama masa kita untuk anak kita, atau anak-anak kita? 30 minit? 1 jam? Ya, kita selalunya mengambil mudah, bukan? Alah, anak kita ... Tetapi, kalau direnung-renung, kita ada 8 jam untuk merenung muka ketua kita, kawan sekerja, dan cuma ada kurang lebih sejam untuk anak kita. Aduhai!

Sedangkan dari sudut kemahiran kekeluargaan, ada menyebutkan bahawa usia antara 3 bulan hingga 3 tahun adalah usia yang sangat sesuai untuk diisikan dengan sesuatu. Ibaratnya begini, usia 'emas' itu, minda anak ini seperti gelas kosong, apa yang dituang masuk akan terisi cantik di dalam 'gelas' fikirannya. Tetapi ... apa yang dapat dituang kalau masa untuk saya bersama anak saya cuma kurang daripada 1 jam, aduhai, aduhai.

Ulama pula, ingat-ingat-lupa saya, pernah memecahkan usia anak kepada 3 peringkat dengan 3 penekanan yang berbeza. Usia 1 hari hingga 7 tahun, jadikan anak sebagai raja. Dilayan baik, diajar yang baik-baik, dimesrai dan dididik. Usia 7 hingga 20 tahun sebagai seorang ahli penjara atau musuh. Anak disuruh itu, disuruh solat, dilarang ini, dilarang bermalas-malasan, misalnya. Pendekkata, pada usia 7 hingga 20 tahun banyak do dan don't. Dan usia 21 tahun dan ke atas anak adalah teman kita, bersembang dengannya, terbuka fikir dengannya, malah berjenaka pun.

Oh, untuk usia 1 hari hingga 3 tahun itu, yang layanannya seperti seorang raja itu, kita hanya ada masa antara 30 minit hingga 1 jam, oh Tuhan!


Sambil merenung Ilham yang jendera nyenyak, sering hati saya jadi sebu dan pilu. Memegang rambut emasnya, saya selalu bertafakur, "berapa masa yang abah habiskan untuk bersama denganmu?"

Dalam selalu doa saya: "jadikanlah anakku anak yang soleh, Ya Allah." Rupanya di luar kotak sedar, saya hanya ada lebihan 30 minit - 1 jam untuk mendidikinya menjadi anak yang soleh, cukupkah?

Saya masih berfikir, begitukah kesempitan masa hari ini? Atau kerana saya masih seorang bapa yang harus banyak belajar dan menuntut.

5 ulasan:

  1. assalamualaikum.
    Terima kasih kerana sudi ke blog saya. 3 Jalur kasih saya tulis sudah lama. Ketika menjadi guru sebelum bekerja di DBP. Apabila berpindah rumah terjumpa manuskripnya dan saya edit sikit-sikit. seingat saya cerpen itu saya tulis pada tahun 2001. Saya sekadar menghantarnya untuk tatapan masyarakat dan alhamdulillah dapat hadiah penghargaan.
    Tentang gambar, saya juga masih baru dalam bidang ini. harapnya persahabatan ini berkekalan. salam hormat.

    BalasPadam
  2. Kesilapan ibu bapa tidak menerapkan nilai-nilai Islam dalam keluarga. Kelekaan anak menonton televisyen tanpa solat tidak diberi perhatian. Salah satu contoh mudah.

    BalasPadam
  3. Salam Tuan Syaidul,
    Oh, karya lama yang diadun semangat baru! Bertuahlah, buah tangan lama pun dapat meraih hadiah, cemburu sungguh saya!

    BalasPadam
  4. IlhamWan,

    Ya, betul tu ..

    Tetapi, ada jugak yang bagus, yang anak-anak mereka ini nampak teratur sangat. Tak soh cakap banyak-banyak, asal masuk waktu solat, masing-masing pandai ke bilik air, berwuduk dan berbaris nak solat. Terfikir saya, ish .. petua apa dia pakai, ya?

    BalasPadam
  5. assalamualaikum...

    saya amat tertarik dengan ulasan yang ini,
    "Ulama pula, ingat-ingat-lupa saya, pernah memecahkan usia anak kepada 3 peringkat dengan 3 penekanan yang berbeza. Usia 1 hari hingga 7 tahun, jadikan anak sebagai raja. Dilayan baik, diajar yang baik-baik, dimesrai dan dididik. Usia 7 hingga 20 tahun sebagai seorang ahli penjara atau musuh. Anak disuruh itu, disuruh solat, dilarang ini, dilarang bermalas-malasan, misalnya. Pendekkata, pada usia 7 hingga 20 tahun banyak do dan don't. Dan usia 21 tahun dan ke atas anak adalah teman kita, bersembang dengannya, terbuka fikir dengannya, malah berjenaka pun."

    sekarang saya telah menjangkau usia 20an, bila terfikir hubungan dengan abah saya yang tak berapa berjalan dengan lancar ini, membuatkan saya berfikir mungkin DULU masa saya kecil die juga terpaksa membuat pilihan yang same seperti saudara,
    "kita ada 8 jam untuk merenung muka ketua kita, kawan sekerja, dan cuma ada kurang lebih sejam untuk anak kita."
    masa yang 'kurang' sejam tu lah yang telah menjadikan hubungan kami 'kurang' hari ini. saya teringin nak menjadikan ayat saudara ini "Dan usia 21 tahun dan ke atas anak adalah teman kita, bersembang dengannya, terbuka fikir dengannya, malah berjenaka pun" sebagai realiti hidup saya dan abah pada ketika ini, tapi realitinya jauh api dari panggang.

    selama 20 tahun cume masa yang kurang sejam tu sahajalah kenangan hubungan yang saye ada bersama abah. saya tak tahu macam mane rasanya kalau abah ada 2 jam @ 3 jam bersama saya.

    oleh itu, saya dah tanamkan dalam diri saya, bila saya mempunyai anak kelak, saya akan melebihkan masa untuk mereka lebih dari apa yang saya penah dapat, supaya mereka tak rasa 'kekurangngan' yang saya rasa. insyaALLAH.

    BalasPadam