Assalamualaikum,
PROLOG
Seperti biasa, selepas makan tengahari di pantry pejabat, kami; Roze dan saya dari Malaysia, Harin dan Deni dari Indonesia yang tak pernah 'ponteng' makan tengahari di pantry, dan kadang-kadang disertai Marilyn dan Gaik, bersembang-sembang. Rencam - ada gosip, ada berita, ada perihal keluarga, pendek-kata ... macam-macam ada!
"Kenapa termenung?" tegur Roze, ibu muda beranak empat, suaminya bekerja penghantar akhbar hari-hari. Oh, gaji lumayan boleh tahan, dong!
"Fikir, fikir nak masak apa!"
"Alah, macam lah you yang masak."
Tingkah Roze, sedia menunggu giliran untuk membasuh lunch-box buat mengisi makanan tengahari yang sudah turun ke anak tekak sebelum sekejap lagi tunda-menunda ke perut sebelum diproses jadi darah, jadi daging. Harin sedang mencuci bekas makanannya, Deni masih 'mengayuh' kencang. Ternyata masakan buatan emak mentuanya membuatkannya lupa dunia sekejap.
"I yang masak!"
Roze, terbeliak biji matanya, "wah, rajinnya you. Bertuahnya isteri you! Suami I ... alangkan nak masak nasi pun kena bertanya dengan I."
"Tengah angin rajin, bolehlah turun ke dapur. Kalau datangnya malas ... jangan kata memasak, dapur pun tak jejak. Alasan mudah, sejuk!"
Tawa kami terburai. Jadi hangat seketika, meski sejuk dengan suhu sekitar 10 darjah membalut kami yang sedia terbalut oleh dua helai baju, sehelai kemeja dan sehelai baju tebal.
NIHON ... BANYAK MENGAJAR SAYA
Kalau tak kerna saya terhantar ke Jepun, saya yakin saya pun seperti sebahagian lelaki Malaysia yang lain, tak pandai, atau malas memasak. Ya, dengan gerai dan warung makanan di kiri, kanan, depan, belakang, atas dan bawah, di Malaysia, tak timbul soal 'mesti memasak, kalau tak kebulur!" Maka dalam hal ini, saya tak menyalahkan lelaki di Malaysia. Di sisi yang lain, saya cukup kagum dengan lelaki Malaysia yang handal memasak, sebut apa menu pun, semuanya bisa diatur. Bahkan ada yang lebih hebat hingga dipanggil pakar nasi kawah!
Saya masih ingat, bahkan bila mengingatkannya saya jadi geli anak tekak pun ada.
Hari kedua saya di Ibaraki; di International House of Ibaraki University, musim bunga tahun 1999, saya yang pernah kali memotong bawang, memegang senduk masak, menumis di kuali bercita-cita besar, konon-kononnya nak jadi chef besar. Masa itu, tak seperti hari ini. Ruangan resepi di internet sangatlah terhad. Jadi, apa yang diajar sikit-sikit oleh Mama, Opah dan emak-emak saudara adalah bahan rujukan yang melekat di otak.
Jadi, dalam ingat-ingat lupa saya masak sambal tumis sotong. Teringat masakan Mama yang tak terkalahkan sampai ke hari ini, dan saya mencubanya. Seekor sotong yang sebesar tiga jari, saya basuh bersih-bersih, dan dimasukkan seekor bulat-bulat, tanpa dipotong kecil-kecil. Oh Tuhan! Hari ini ... bila terkenangkan isi perut sotong yang masuk ke perut saya itu, jadi geli-geleman pun ada! Padanlah jenuh saya masukkan cili merah, tetap kuah sambal tumisnya hitam warnanya, tak seperti kuah sambal tumis sotong Mama. Al-kisahnya, dengan segala dakwat-dakwat sotong jadi rempah-ratus sambal tumis saya malam itu. Aduhai, aduhai!
Tak mengapalah, kita belajar dari kesilapan, bukan?
Dalam tempoh 4 tahun saya di sana, kalau dikatakan pandai itu, tidaklah, tetapi boleh memasak, dan tak malu sangat untuk dipanggil tetamu ke rumah sekalipun. Kalau percaya, kalian boleh datang ke rumah saya, dan rasanya sendiri!
AUSTRALIA, YANG MEMAHIRKAN
Rutin isteri yang selalu pulang lewat, kadang-kadang angka 7, kadang-kadang angka 8, malah tak pelik kalau 9 malam sekalipun. Tugasan di makmal sungguh-sungguh terlihat membebankan, bukan saja untuk isteri, saya yang melihat, dan sesekali menjadi pendengar pun sudah terasa lelahnya. Alahai!
Untuk makan di luar, tidak seperti di Malaysia, pilihan adalah sangat terhad. Kalau kami makan di luar pun, selalunya ke Restoran Taj Mahal, masakan India di tengah City. Adalah mungkin dalam dua bulan sekali. Dan jenis isteri pula, lebih senang makan di rumah. Maka, memasak sendiri adalah satu-satu pilihan yang ada.
Kerana itu, pada angin baik semangat rajin, turunlah saya ke dapur. Dan itupun kena tengok angin anak saya pula, kalau tak kena gaya, susah juga mahu memasak di dapur. Tetapi, yang terakhir ini, Ilham selalunya di dalam kereta dalam perjalanan pulang dari rumah pengasuhnya sudah terlelap. Jadi, lebih mudahlah kerja saya di dapur. Letakkan Ilham yang tidur di atas katil, kadang-kadang tak bersalin baju kerja sekalipun terus tukar profesion, chef besar!
Sayang isterilah katakan!
Dan, memang jenis saya, tak berapa suka sangat menengokkan resepi di buku, internet atau di mana-mana. Selalunya saya dengar-dengar, curi-curi tengok, dan mencuba ikut-suka-aku. Itu cara saya! Dan yang jadi food-tester, juri, malah selalu juga tukang pemeriksa rasa garam adalah isteri saya. Seperti sedang-sedang elok, apabila lauk yang dimasak mulai menggelegak, pecah minyak, isteri pun menjengulkan wajahnya dengan muka serba letih.
"Yang, cuba rasa, ok tidak?"
"Sedap, pandai Abang masak!"
Saya tak kisah, walapun tahu betapa kadang-kadang (kadang-kadang!) pujian isteri saya itu hanyalah manis di bibir. Mana tidaknya, kemudiannya dalam diam-diam, atau kadang-kadang terang-terang isteri saya akan menambah secubit dua garam, atau secamca dua rempah ratus yang padanya masih tak cukup. Maknanya, masakan saya masih belum cukup umph!
Biarlah.
Melihat isteri yang kelegaan apabila mengetahui saya sudah memasakkan untuknya, melihat senyum ikhlas pada ulas bibirnya, ah, sudah sebuah hadiah untuk saya, suaminya. Dan lagi, kadang-kadang oleh sebuah pujian yang benar-benar ikhlas, ah, ia seperti sebuah bonus berganda untuk saya.
EPILOG
Ya, kadang-kadang kasihan juga dengan isteri. Saya bekerja, dia pun bekerja. Maka suami isteri harus saling bertolak-ansur. Itulah pegangan prinsip saya, yang ditanam sejak sebelum kahwin lagi.
"Kalau abang dapat memasak sekali seminggu pun sudah cukup baik. Kadang-kadang jemu juga asyik makan masakan sendiri. Nak jugak merasa orang lain masak ..." Begitu bunyi luahan hati isteri saya (dan mungkin juga para isteri yang lain)
Tak salahnya dalam dunia moden hari ini, dunia yang kebanyakan para isteri juga turut bekerja di luar, para suami juga sesekali turun padang menolong memasak. Bukanlah suatu yang aib lagi memalukan kalau diketahui teman sekerja, "eh, si polan si polan itu memasak untuk isterinya di rumah." Saya kira khufarat suami sang raja penuh harus disingkirkan oleh pemikiran generasi muda yang baru berkahwin. Biar saja itu cerita ayah, ataupun generasi datuk kita. Ya, kerana ketika itu dunia tak terlalu gawat, tempat isteri ketika itu rata-ratanya di rumah. Jadi, logiklah tugas memasak itu kerja isteri. Tetapi, hari ini ... berlainan, bukan?
Tak pandai, boleh belajar. Buku resepi berlambak-lambak, kalau mahu percuma ... buka internet, tak larat untuk dibaca. Ramuan boleh dibeli, kecuali satu yang tak dijual di kedai ... SEULAS R.A.J.I.N!
Rabu, 3 Jun 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Salam untuk Adden dan suri serta Ilham;
BalasPadamSejauh mana pun kita berada dan setinggi mana pun ilmu dan darjat kerjaya kita, kerja di dapur adalah kerja bersama.
Dulu-dulu pun ayah dan ibu kita saling membantu di dapur. Ayah petik kelapa dan kupas kulitnya, emak mengukur atau memarutnya. Ayah menangkap ikan di tali air, emak melumur kunyit dan garamnya...
Ilmu moden sahaja yang membataskan - wanita di dapur, lelaki di ruang tamu. Tapi lama kelamaan kita kembali pada akar kehidupan. Hidup dalam perkongsian, kerja dan tanggungjawab pun mesti dikongsi.
Tidak rendah darjat lelaki jika membantu isteri di dapur atau membantu menyidai pakaian atau pun membantu menidurkan anak... Bukankah kalian saling menyintai? Percintaan adalah sebuah perkongsian bahagia mau pun sengsara.
Teruskan... hidup ini suatu amanah.
assalamualaikum.
BalasPadamazhar des. (mada oboete iru kana..)
seronok membaca kisah-kisah abg din ni. maji2 ^_^ huhu
sansei sangat-sangat, bila kat jepun (atau di luar negara) salah satu peluang paling besar ialah belajar memasak. Rupa-rupanya seronok memasak ni, lagi seronok bila tengok orang lain makan masakan kita dengan rasa gembira. (rasa-rasanya beginilah perasaan mak bila masak untuk anak-anaknya. Faham dah ^_^)
Azhar-san,
BalasPadamBelajarlah memasak semasa di Nihon nih, manalah tahu... kot2 nanti kena jadi surA-rumah ..:)
Ganbatte, azhar-san!
Itulah Kak Sri, masalahnya .. ramai jugak para suami yang lebih senang duduk sila panggung depan tivi daripada membantu isteri (yang bekerja) memasak di dapur. Sedih juga rasanya ..
BalasPadamMudahan cik abang Kak Sri seorang yang bertimbang rasa ..:)
saya? saya selalu turun dapur juga tika suri kepenatan dilanyak anak murid di sekolah. terkadang 3 bakul besar pakaian kotor juga langsai tersidai di depan rumah. Pedulilah jiran jeling pelbagai cara. Nihon memang mengajar erti cekal kpd lelaki spt kita.
BalasPadamBagus2 abang Rudi!
BalasPadamSepatutnya begitulah sang suami, kasih dan kasihan dengan isteri. Kata isteri saya: kalau tak memasak semuapun, tolong potong bawang pun jadilah ...
Betul tu, Nihon tu banyak mengajar saya .. dan ramai yang lain, dengar tu kohai-tachi semua.hehe
Alhamdulillah dan Insya Allah, gambarimas ^_^
BalasPadamKalau abang izzudin dapat kongsi resipi waktu bujang-bujang dulu di nihon pun menarik juga. ^_^
sankou ni naru kamo ne n_n
Azhar ... alahai, resepi abang tak canggih lagi dah. Sekarang nih, dah banyak yang ter-sangat canggih dan maju. Pergi cari jer kat laman Hanieliza ker .. mesti tak larat nak try-cuba-test masak ... ganbare2
BalasPadamBagus entry ni..kena bagi awe baca nih:D..awe masak juga kadang2 tapi kena tanomu, nak tunggu dia volunteer susah kot, maklum lah saya tak keje kan, lainlah amalia study so patutlah gilir2 masak. Kalau Awe masak mesti kari aje..tapi biasanya kalau dia masak kari mesti saya makan menambah2 dan menjilat2 jari kalah KFC!
BalasPadamSalam rindu utk Amalia ye!=)
Lucunya Haslia dengan cerita tentang Awe!
BalasPadamKebetulan, semalam pun kami bercerita(mengumpat! haha) tentang cerita 'muda-muda' hangpa dua .. hahaha.
Saya pun kadang-kadang jer, time angin rajin datang. Bila tengok Amalia balik lewat tu, kasihan lah pulak .. jadi bersinsing lenganlah jugak, memotong ayam, menumis bawang dan belaka-belaka ...
Uih, kari Fendi memang tak terlawan. Terkenang masa Fendi duduk dengan Pak Indonesia, wah .. karinya terangkat!!!
Apapun selamat berbahagia, bila nak mai sini?
aha..Fendi pun penah "mengumpat" pasal Izuddin buat air teh letak garam zaman muda dolu2..haha! Tergelak aja saya dgr cerita dia=D
BalasPadamHmm bila ye nak jalan2 sana ye..tunggu durian runtuh dulu lah kot..ni tgh saving2 duit nak beli kereta utk bawak balik msia nnt..Tak balik Msia ke..insyaAllah kami balik sebulan 17 July ni, cuti natsu..tak sabarnya rasa!
Hah? air teh rasa garam? oh .. tu bukan tersalah buat, tetapi resepi terbaru sebenarnya. hehe.
BalasPadamKami dah balik bulan disember lepas. Tengah rancang nak balik April semasa Pesta Buku, itupun kalau ada buku lah. Kalau tak, kansel!