Assalamualaikum,
Saya sungguh percaya, meyakini, malahan mengimami akan akidah falsafah ini:
"Setiap orang ingin kepada kebaikan. Hinggalah ada desakan dan jadilah sebaliknya."
Hatta, untuk seorang pencuri, penjudi, pemakan rasuah, penjenayah kolar putih, pemerintah yang korup, sesiapa saja, sebenarnya mereka inginkan kebaikan, terus dalam kebaikan itu, hinggalah ada faktor tertentunya yang mendesak sekaligus mengheret mereka ke lohong hitam dan bertindak di luar dari warna jernih putih fitrah kebenaran.
Dan falsafah ini tiada kecuali, tanpa sedikitpun melihat kepada warna agama, rupa bangsa, atau daerah wujud, semuanya mahu, ingin, dan sentiasa bercita-citakan yang baik-baik, yang putih, dan yang benar.
Khamis minggu lepas, segerombolan tidak kurang 200 orang daripada kalangan penyokong, pendokong, simpatis dan empatis kepada Tamil Eelam yang bertembung dengan pihak pemerintah Sri Lanka mengadakan tunjuk-perasaan di kawasan Yarralumla, sekaligus menyampaikan memorundum bantahan kepada beberapa kedutaan yang terpilih, termasuk Malaysia.
Kira-kira sebulan sebelum itu, untuk tempoh hampir dua minggu, tanpa mengambil kira siang dan malam, puak pendokong kerajaan Sri Lanka telah berkampung terlebih dulu di kawasan Prime Minister Lodge, di Yarralumla dalam menyatakan luahan hati mereka tentang tindakan ganas puak memisah Tamil Eelam. Maka, berhari-hari di sisi pintu masuk ke kediaman rasmi orang nombor satu Australia itu didirikan sepanduk, kain rentang dan bendera kebangsaan Sri Lanka, dan berbas-bas penyokong mereka datang entahkan dari mana daerah bagi melahirkan rasa hati mereka. Helikopter dengan dikibarkan bendera Sri Lanka turut terlihat berlegar-legar di udara. Begitulah adanya.
Tetapi, untuk kedua-dua kes ini, yang menarik perhatian saya ialah tindakan pasukan polis mereka, AFP (Australian Federal Police) - mereka, pada saya profesional. Mereka benar-benar bersifat sebagai pengaman, tidak mendesak, memprovokasi, malahan tanpa senjata yang terlihat berbahaya, apatah lagi dengan water canon, sebagaimana terlihat di dalam wajah-wajah perarakan bantahan di Malaysia, perarakan Gerakan Mansuhkan PPSMI, misalnya.
Anggota AFP dilihat hanya mengawas jalanraya, demi tiadanya kemalangan. Anggota AFP dilihat mengawasi displin para demonstrator, misalnya dalam demonstrasi Anti-Israel yang pernah saya ikuti pada awal Februari dulu,
"Kami hanya dibenarkan melempar 4 butir kasut kepada Israel, yang kasut-kasutnya didatangkan khas dari Palestin, oleh kasut anak-anak kami yang tidak kediaman, tiada tanah. Amaran dari pihak penganjur, hanya wakil terpilih saja yang layak untuk melakukannya. Dan kami tidak bertanggungjawab jika ditangkap AFP sekiranya anda bertindak di luar arahan."
Demikian, arahan jurucakap demonstrasi. Menariknya, memang hanya 4 butir kasut yang tak berpasangan tiap satu melayang dan mendarat tepat di depan pintu masuk Kedutaan Israel, sekali lagi di Yarralumla.
Dengan mengambil falsafah manusia, semuanya ingin kebaikan, memberi makna, para demonstator, tidak inginkan sebarang kejadian buruk, pertumpahan darah, pertempuran, mereka hanya mahu suara mereka didengar. Dalam kes GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI), adalah mustahil sungguh, 'manusia tua' seperti Sasterawan Negara A Samad Said, Datuk Dr Hassan Ahmad, Profesor Abdullah Hassan dan lain-lainnya mahukan sesuatu yang di luar naluri kebaikan yang saya sebutkan awal-awal tadi. Mustahil mereka yang saya kira - duit pencen pun makan tak habis - punya agenda dan motif peribadi tersendiri. Melainkan mereka hanya ingin melihat kelangsungan pendidikan anak bangsa terus dalam bahasa anak bangsa. Malangnya mereka dirempuh oleh jentera mesin yang di luar kewarasan.
Sasterawan, pencinta bahasa, dan para marhaen ini mahukan kebaikan, pasti. Mereka tidak mahu membakar kedai, mengganggu ketenteraman, apatah lagi menumbangkan sebuah kerajaan yang dipilih secara adil oleh pengundi yang layak. Mereka cuma mahu fitrah, dibenarkan bersuara, meluahkan rasa hati mereka yang sayangkan pusaka bangsa, dan mahu suara mereka itu sampai kepada YDP Agong; pemayung bangsa, tiang seri dalam perihal agama Islam. Titik!
Alangkah baiknya kalau mereka dilayan sepertimana AFP melayan para demonstrator di sini, bukan? DS Najib Tun Razak, si suami penyabar mungkin boleh berbuat sesuatu ...
Ya, keberadaan saya di sini memberi ruang, peluang dan kesempatan melihat sesuatu dari dua wajah, bersyukurlah!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Salam kembali,
BalasPadamDiberi peluang dapat melihat perihal sosio politik di negara orang antara nikmat pelajaran dan pengalaman paling berharga juga, kan? Suatu sisi lain yang sering-sering buat kita berfikir dan ya, sering-sering juga kita banding-bandingkan dengan tanah tempat tumpah darah kita.
Memang kelihatannya, politik di negara kita masih seakan kebudak-budakan. Itu kata akal budak saya, tetapi sebenarnya kita-kita yang membentuk politik ini juga barangkali yang masih kebudak-budakan. Sama-samalah kita siap-siapkan negara kita menjadi dewasa dengan baik dan matang suatu hari nanti, InsyaAllah. =)
Seronok membaca dan mengetahui kehidupan-kehidupan orang di negara orang. Apa baiknya, apa buruknya. Maaf, selalu datang-datang baca di sini tetapi jarang meninggalkan jejak bertapak. 'Silent reader'. Suka baca entri-entri di sini sambil kutip secebis dua ibrah dan teladan. Terima kasih kerana berkongsi. Teruskan menulis, ya!
Oh, ya. Maaf juga saya buat ulasan tentang Hidayah Cinta 'sesuka hati' saya! Ia sebuah novel yang bagus!
Balqis,
Simferopol, Ukraine.
Terima kasih Balqis, kehadiran Balqis sebagai pembaca senyap dan sekarang bersuara sangat-sangat mendorong saya untuk terus menulis.
BalasPadamBetul tu, peluang berada negara orang harus dimanfaatkan sepenuhnya. Ada nasihat kepada saya: jadikan setiap langkah anda di negara orang sebagai bilik kuliah, untuk belajar sesuatu.
Terima kasih juga kerana sudi mengulas Hidayah Cinta. Kerana sedar, kritikan dan ulasan adalah lampu suluh untuk saya menulis dengan lebih jelas pada karya-karya ke depan.
Terima kasih!