Ahad, 5 April 2009

SURAT 7: TUAN MAHU MAKAN APA?

Assalamualaikum,

i

Semasa saya menjadi pelajar di Jepun dulu, hampir setiap kali cuti panjang Persatuan Pelajar Malaysia akan mengadakan program sepertinya khemah ibadah yang dinamakan sebagai Summer Camp, Winter Gathering dan Golden Week Gathering. Biasanya kami akan menerbangkan penceramah-penceramah khas daripada Malaysia untuk memberi pengisian sepanjang program tiga atau empat hari tersebut.

Saya pula selalunya ditugaskan untuk menjemput penceramah dari airport, menjaga kebajikan penceramah semasa berprogram dan selepas program dan terakhir sekali memberikan lambaian sayonara kepada penceramah di airport semula.

"Ustaz, sebut nak makan apa, tetapi jangan sebut makanan Malaysia saja!"

Begitu kami 'buli' penceramah-penceramah ini, yang kadang-kadangnya ustaz dan kadang-kadang pensyarah universiti. Bukan apa, tujuan kami baik sebenarnya! Iyalah, sudah alang-alang datang ke Jepun, lupakan sekejap sambal belacan, dan apa kata untuk tiga, empat hari ini kita rasa apa yang dipanggil sambal belacan Jepun, wasabi!


"Aduh, wasabi nih mencucuk naik sampai ke hidung!" Adu seorang penceramah.

"Tak apa, bukan senang nak dapat pengalaman begini!"

Terkebil-kebil jadinya. Kasihan ada, lucu pun ada!

Di kesempatan yang lain, kepada penceramah yang lain pula, kami membawa mereka merasai apa yang dipanggil okonomi yaki.



"Uih, sedap! Apa namanya tadi? Osuzuki?"

"Bukan Osuzuki, Dr, okonomiyaki!"

"Tak kisahlah, sedap! Macam rasa murtabak pun ada!"

Kali ini penceramah itu tertawa besar, senyumnya lebar.

Begitulah setiap kali penceramah-penceramah itu datang. Kami membuat barter trade, penceramah mencurahkan ilmu mereka, dan kami memberi mereka pengalaman-pengalaman unik tentang Jepun, setidak-tidaknya tentang makanan Jepun.

Lalu senarai makanan Jepunnya jadi panjang berjela-jela, daripada sushi, kepada takoyaki, soba, udon, tendon dan berbagai-bagai lagi. Dan air wajah penceramah pun beragam jadinya, yang kelat pekat, yang hidungnya kembang-kempis, mata lip-lap-lip-lap, dan tak kurang tersenyum lebar, sebab makanan Jepunnya secocok dengan selera.

Apapun, syaratnya tetap sama - mesti makanan Jepun!

ii

Entah kebetulan agaknya, bekerja dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia Australia inipun saya juga terlibat menguruskan delegasi-delegasi kerajaan dan kementerian Malaysia yang datang ke Australia, khususnya ke Canberra. Jadi, bermula dengan membuat tempahan penginapan dan pengangkutan, hinggalah kadang-kadang terpaksa menemankan anggota delegasi ini keluar makan malam.

"Kami sudah tiga hari tak makan nasi. Di Brisbane, kami tak berjumpa dengan restoran Malaysia. Jadi hari-hari bantai roti nan dan kebab saja. Malam ini, boleh tak you bawa kami ke restoran Malaysia. Teringin nasi dengan kari pula! "


Demikian adu satu delegasi yang saya sambut di Canberra Airport. Kebetulan delegasi ini mempunyai seminar di bandar Brisbane pada tiga hari pertamanya, dan hari keempat baru mereka datang ke Canberra untuk berseminar lagi.

Saya mengejek di dalam hati, "alah, baru tiga tak kena masakan Malaysia!"

Sesekali terasa seperti mahu membuli delegasi-delegasi ini seperti yang saya buat semasa di Jepun dulu, tetapi tak berani lah pula! Maklumlah, kadang-kadang delegasi ini ada yang tarafnya Pengarah, Pensyarah Kanan dan lain-lain.

Saya bercerita dengan bos saya.

"Sepatutnya, masa datang lawatan kerja keluar negara inilah peluang mahu merasakan masakan yang lain. Ubah selera sedikit. Kalau masakan Melayu, hari-hari boleh makan di Malaysia, tak payah datang jauh-jauh sampai ke Australia ini. Fikiran tak berkembang langsung!"

Bos saya ketawa berdekah-dekah.

"Ataupun mereka ini di Malaysia, tak makan nasi kot ... mereka makan spagetti, takpun pizza. Sebab tu, bila sampai negeri orang, teringin nak makan nasi, mengalahkan orang mengidam," sampuk bos saya yang seorang lagi.

Aduhai, aduhai, manusia ... ragamnya macam-macam!

5 ulasan:

  1. sebenarnya bukan fikiran tak berkembang abang din.. tapi itulah yang dikatakan peluang perniagaan. Sebagai contoh, orang kelantan. Ke mana perginya mereka, tak pernah melupakan nasi kerabu dan budu. Implikasinya, tumbuh perniagaan menjual nasi kerabu dan pembekalan budu untuk memenuhi keperluan dan keinginan orang kelantan. Oleh sebab orang kelantan hanya mahu makan budu dan nasi kerabu buatan orang kelantan sahaja, maka itu memberi peluang perniagaan kepada orang kelantan di luar kelantan.Kodawari.Kuchi ni awanai.
    Mari kita tengok kenapa sogo dan isetan berkembang di malaysia. Ini kerana orang jepun mahu makan makanan jepun. Sebenarnya perut manusia telah dibiasakan dgn makanan rujinya. Sekiranya orang yang tidak biasa dengan ruji yang lain, perutnya akan meragam. Orang jenis ini tidak digalakkan mengubah tabiat pemakanannya secara mendadak. Jadi apa yang dibuat oleh delegasi malaysia adalah normal dan sejagat.Mencari nasi.
    Inilah sebenarnya peluang untuk mencambahkan peluang perniagaan di canberra.Kodawari wa haha no chansu.

    Imran Danial

    BalasPadam
  2. Tuan Imran Danial yang dihormati,

    Memang betul, kalau hidup lama-lama di negara orang, memang terasa sangat nak pekena sambal belacan, teh tarik, dan kadang-kadang nasi kandar sekalipun.

    Tetapi, yang jadi masalahnya, yang datang bercuti tiga-empat hari tu .. ambillah kesempatan nak merasa makanan orang. Boleh cuba turkish pide kah, yaki soba kah, aha, barulah namanya berjalan ke luar negeri, hehe.

    BalasPadam
  3. kuasa orang kelantan nampaknya dimana-mana, bukan mustahil nasi kerabu suatu masa nanti jadi makanan internasional

    BalasPadam
  4. Salam rindu buat tuan MohamadKholid,

    Ya, betul nasi kerabu bisa jadi makanan global, asalkan belacan tu digantikan dengan cheese ..:))

    terima kasih atas lawatan Tuan!

    BalasPadam
  5. to:PR people..
    stakat baca quran PUTRI tau baca

    linknye:
    http://bagindareformasi.blogspot.com/2009/04/penghormatan-yang-di-beri-penghinaan.html

    BalasPadam