Jumaat, 24 April 2009

SURAT 15: JUMAAT INI, AKU DATANG KE RUMAH-MU!

Assalamualaikum,


Hari ini, hari Jumaat, selain kegembiraan kerana hujung minggu akan bermula pada detik 5:01 petang, adalah kerana Jumaat saiyidul-ayyam, penghulu segala hari - satu perasaan gembira yang tak pernah sangat saya ambil peduli tentangnya semasa di Malaysia. Pada saya, di Malaysia dulu, Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain, Isninkah, Ahadkah - datang ke Masjid dengan perut yang penuh, dengan mata yang berat (oh, semasa saya bekerja dengan kilang Sato Barcode di Jln 222, Petaling Jaya, selalunya kami beramai-ramai akan 'pekena' nasi tepi padang dulu sebelum ke Masjid!) dan sebaik khatib pijak anak tangga pertama naik ke mimbar, saya selalunya sudah lebih awal mengangguk-angguk, orang kata: memancing ikan. Aduhai, aduhai!

Hari ini; Jumaat, 28 Rabi'ulAkhir, Masjid Canberra akan kembali dimeriahkan oleh anak kariahnya, dan saya salah seorang daripadanya. Dengan peringatan khatib, yang juga imamnya, Tuan Sayuti, lelaki separuh baya yang berasal dari tanah Baitul-Maqdis, yang juga satu-satunya peringatan tentang Allah; tentang ganjaranNya, tentang azabNya, tentang yang halalnya dan tentang yang haramnya - jadi wajarlah saya rasa Jumaat di sini, di tanah orang, di Canberra lebih terasa Islam dan getar khatib di mimbarnya!



Kerna pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ini; tempat saya menumpang mencari rezeki Tuhan yang luas ini betul-betul berhadapan dengan Masjid Canberra (satu masa dulu Masjid ini dikenali sebagai Masjid Saidina Abu Bakar), maka saya tahu secara terperinci, jam 12 lebih sedikit kereta mulai terpakir di tepi-tepi jalan, dan akan sesak padat mulai jam 1 tengahari.


"Maaf, saya tak boleh masuk kerja sebelum jam 1 petang, kerana saya harus pergi Sembahyang Jumaat. Ataupun, kalau awak benarkan saya keluar sebentar untuk pergi Sembahyang Jumaat dan masuk kerja kembali, saya boleh masuk kerja awal."


Demikian saya maklumkan kepada Mr David, lelaki Cina berkepala separuh kotak, berbadan sedikit gempal ketika saya bekerja di Kingsley's Chicken; sebuah restoran makanan segera yang halal ketika diminta bekerja pada hari Jumaat.

Mr David kemudiannya mengangguk-angguk, "ya, ya. Saya tahu. Maafkan saya. Nanti saya fikirkan bagaimana mahu aturkan jadual kerja kamu pada hari Jumaat."


Ya, itu masalah yang sering saya hadapi ketika awal-awal saya tiba di Canberra, ketika saya bekerja di restoran makanan segera yang dimiliki oleh seorang 'taukeh' India dari Batu Pahat, Johor itu. Mujur juga Mr David itu bertimbang-rasa dan faham tentang agama lain, agama Islam agama saya. Tetapi, saya pula rasa bersalah sedikit-sebanyak. Iya, kerana agama saya orang lain terpaksa bersusah-payah mengatur semula jadual kerja. Sedangkan hakikat agama bukan begitu - Islam itu memudahkan, memberi rahmat, menyenangkan; yang senang itu tidak hanya untuk orang Islam, tetapi kesenangan itu untuk seluruh alam.


Tidak berapa lama saya bekerja di situ, saya mendapat tawaran bekerja dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia Australia, dan masalah bekerja hari Jumaat yang bertindan-tindih dengan solat Jumaat itu pun, Tuhan yang serba Agung dan Maha Faham apa yang hambaNya pinta atau hanya baru melintas-lintas di kalbu pun telah diselesaikan. Alhamdulillah!


"Lama tak nampak, apa cerita?"


"Biasalah. Sibuk sikit."



Bersalaman, dan mungkin juga berpelukan mesra.


Hari Jumaat adalah hari perkumpulan kami orang Melayu - lalu saya rasa gembira, sedikit-sebanyak. Di Canberra ini, komuniti Melayu terpecah kepada beberapa juzuk yang utama; orang Kedutaan, para pelajar samada ijazah pertama atau pasca ijazah, penduduk tetap Australia dan pegawai-pegawai tentera Malaysia yang datang berkursus setahun di sini. Lokaliti pun berpisah-pisah; para pelajar biasanya berkumpul di sekitar kampus Australian National University di City, pegawai tentera, samada rumah mereka di Queanbeyan atau Stirling, sedangkan penduduk tetap Australia dan pegawai Kedutaan berpecah-pecah. Nah, hari Jumaatlah hari pertemuan, hari kemesraan.

Ah, Jumaat ini datang lagi, lagi, dan lagi, sehinggalah Tuhan mendatangkan Kiamat, yang kebetulan juga pada hari Jumaat. Dan saya pun akan terus di sini, bersolat Jumaat di sini, dengan gembira, bahagia dan mesranya.

"Lekas, lekas, bilal sudah azan tu!"

Roze, teman sekerja saya mengingatkan kami yang lelaki, saya, Harin, Deni agar lekas-lekas sudahkan makan tengahari. Sebetulnya, azan pertama masih belumpun dilaungkan oleh Bilal Mahmud, masih belumpun jam 1 petang.

"Tak mengapa, Imam Deni ini masih di sini. Selagi Imam Deni tak sampai, mana orang boleh mulakan sembahyang, " saya berjenaka, sambil mencanda teman Indonesia saya, Deni yang sedang cemas-cemas menunggu kelahiran cahaya permata pertama. Kemudian lekas-lekas membasuh bekas makanan, dan kemudiannya berwuduk, dan tak sampai 100 meter adalah Masjid Canberra ...

Tuhan, Jumaat ini aku terus mengunjungi rumahMu!

3 ulasan:

  1. Aslmkum Tuan IlhamHamdani,

    Menarik catatan ini, menyentuh perkara-perkara kecil yang bawa kesan tersendiri. Perkara biasa yang sedikit 'luar biasa' bagi pembaca yang bukan anak rantau. Tentang hari Jumaat di Canberra, daerah bukan Islam.

    BalasPadam
  2. Salam kembali buat Tuan Zakaria,

    Pertama, sungguh, saya rasa sungguh terhormat menerima kedatangan Tuan, lantas meninggalkan pesan di laman saya. Betapalah seorang editor pengalaman melawati seorang penulis yang serba cetek seperti saya.

    Terima kasih!

    Ya, Tuan Zakaria. Kadang-kadang di Malaysia, kita tak menghargai sangat kedatangan hari raya Jumaat ini. Tetapi, bila duduk di luar, yang sekali itulah diperdengarkan "Ittaqullah", bertakwalah kepada Allah. Aduhai, terasa sungguhlah!

    Mudahan tulisan saya yang picis-picisan ini bisa meninggalkan kesan berbekas untuk para pembaca.

    BalasPadam
  3. Salam ziarah. Sekadar pemberitahuan demi kesejahteraan hidup.

    Rancangan "Who Wants To Be A MillionaireBlogger.Net" kini, ke udara di screen komputer anda. Sertai & daftar sekarang. Kemasukan adalah PERCUMA...

    BalasPadam