Selasa, 21 April 2009

SURAT 13: BULAN TELAH KE RIBAAN CANBERRA!

Assalamualaikum,

Semalam, kerna Andrea Hirata; penulis fenomena Indonesia moden yang sebaris dengan Kang Abid, Ayat-Ayat Cinta itu telah mendatangi padang savana Canberra ini, saya serasa-rasa seperti bulan awalan musim dingin semalam itu mendarat atas ribaan saya. Oh, mimpi kayangan tiba-tiba menjadi nyata dalam sekejapan itu juga.



"Mahu menonton filem Laskar Pelangi?" soal Harin, teman sekerja, anak kelahiran kota macet, Jakarta awal pagi semalam, saat kami memulakan kerja-kerja pejabat yang bertimbun (hey, jangan disangka yang kerjanya 'ofis gomen' boleh goyang kaki!


"Biar betul?"

"Iya! Bukan tonton filem saja, penulisnya juga datang, sama pelakonnya yang genit, Cut Mini. Tiketnya cuma $12, ada ada sessi soal jawab, sama dengan foto juga!"

Ya, bulan jatuh keribaan!

Saya mengenali tulisan jejaka humor, tetapi kata-katanya penuh rasa hikmah, Andrea Hirata kira-kira dua tahun dulu. Karyanya Laskar Pelangi; seputar perjuangan anak-anak pelombong bijih timah di daerah Belitung pantas memaksa untuk terus-terus mengikuti tulisan lelaki ini. Lalu, Sang Pemimpi dan Edensor, kedua-duanya adalah sekuen kepada Laskar Pelangi, menjadi sebahagian harta khazanah saya. Cuma saya masih tercari-carikan karya tebarunya, Maryamah Karpov.


Dan semalam, hasil karya suteradara Indonesia, Riri Riza sungguh-sungguh memukau.


Di sebalik tawa lucu, berdekah-dekah dengan aksi kekampungan anak PT Timah dengan watak seperti Lintang, Mahar, Flo, dan Haikal (pelakon utama. Kata Andrea: itu dirinya semasa kecil!) yang belajar di sekolah yang hampir roboh, SD Muhamadiyah, ada emosi sedih yang memintal anak mata untuk menitiskan air mata: harga sebuah ilmu, dan pengorbanan anak kampung yang berjuang dengan takdir sebuah kemiskinan.


Jujurnya, filem Laskar Pelangi, pada saya, jauh lebih baik dari filem Ayat-Ayat Cinta!


Kata Andrea sebelum tayangan filem, "kamu harus menonton Laskar Pelangi berkali-kali kerana bahasa Melayunya yang enak dan lagunya yang memberi makna perjuangan!"


Kata Cut Mini yang berlakon sebagai guru wanita yang bersemangat waja, Muslimah, "kalian sudah lama meneguk ilmu di luar, tetapi jangan lupa para guru yang pernah menyuluh kalian dulu, di tanah Indonesia!"


Babak demi babak, saya cuba membandingkan Laskar Pelangi dengan filem tempatan, Tentang Bulan, justeru kedua-duanya ada persamaan, ya, kedua-duanya menjadikan kanak-kanak sebagai pelakon utamanya. Tetapi, di sebalik persamaan itu ternyata ada perbezaan yang menjurang, bukan sahaja di sebalik kualiti sutradaranya, tetapi di balik mesejnya. Tentang Bulan adalah tidak lebih sebuah karya cinta monyet anak-anak kampung, sebaliknya Laskar Pelangi adalah cerita-cerita tentang perjuangan, perjuangan mendapatkan ilmu, peluang memberi dan mencurahkan ilmu, seperti kata Pak Harfan, Guru Besar sekolah: jangan hanya menjadi orang yang menerima, tetapi jadilah orang yang memberi banyak-banyak! Ya, Laskar Pelangi filem anak-anak lucu yang sarat dengan falsafah orang dewasa.

Usai filem, hampir-hampir jam 8 malam, saya lantas mampir ke Andrea Hirata, justeru orang ramai yang beratur panjang, saya tak sempat bersembang lagi dengannya. Saya berikan buku Laskar Pelangi kepunyaan saya, buat ditandatanganinya, dan saya hadiahkan Andrea buku saya, Hidayah Cinta.

"Sudah ditandatangan?" tanya orang hebat itu.

"Sudah. Tetapi, saya penulis kecil, tidak seperti Andrea."

Kemudian dia tertawa.

Saya keluar dewan dengan kepuasan (tak puas sebetulnya, kerna tak sempat bersembang lama dengannya!). Tetapi, kata-katanya meninggalkan bekas kepada saya,

"Sekarang penulis sudah jadi seperti fenomena. Dulu, orang hanya tahu filem itu, filem ini. Dulu orang hanya kenal kumpulan muzik Ungu. Tetapi sekarang penulis sudah lebih dari seorang selebriti."

Dan saya lihat pun, semalam, khalayak lebih ingin dekat dengan Andrea, meski si comel Cut Mini itu tetap ada di sebelah. Nyata, penulis sudah lebih popular dari seorang pelakon utamanya, paling kurang dalam kes filem Laskar Pelangi.

Saya berangan-angan, seperti kata-kata Andrea: penulis sudah jadi fenomena, nah sebuah lagi mimpi kayangan saya. Akan tertukarkah menjadi nyata? Ada pada 'tangan' Tuhan!

6 ulasan:

  1. "Jujurnya, filem Laskar Pelangi, pada saya, jauh lebih baik dari filem Ayat-Ayat Cinta!"

    oh yer ke? ni yang nk kene tgk jugak nih..

    BalasPadam
  2. wow. bestnya! Sampai sekarang saya pun belum dapat tonton lagi. Sudah lama menunggu. Tentu sekali di Malaysia gak ada. haha.

    BalasPadam
  3. Salam istimewa buat Sdr Kyo9 di tanah sakura,

    Maksud 'jauh lebih baik' di sini bukan saya nilaikan dari sudut sasteranya, maksud saya dari sudut kemampuan pengarahannya.

    Saya telah menonton kedua-duanya, baik Ayat-ayat Cinta dan Laskar Pelangi. Dan saya rasa kecewa dengan pengarahan filem Ayat-ayat Cinta - watak Fahrinya tak sealim dalam novelnya.

    Sebaliknya dalam Laskar Pelangi, walaupun saya tahu pengarahnya harus perlu selektif dalam memilih babak mana yang mahu difilemkan, dan saya kira Rizi Riza cukup berjaya dalam hal ini. Watak Haikal sebagai watak utamanya bergaya digarap sempurna, dari segi lucunya, mahupun nilai perjuangannya dalam meneguk ilmu dari Ibu Mus dan Bapak Fan yang juga ternyata berjaya menjiwai jiwa seorang guru. Ditambah dengan teletah aneh Lintang, yang pintar walaupun akhirnya terpaksa berhenti sekolah setelah ayahnya mati di laut (di babak ini, saya hampir menitis air mata!), kalaulah ia sebuah hidangan menu, pada saya ia menu paling lengkap rencah bumbunya!

    BalasPadam
  4. Salam Cik Nissa'Yusof,

    Selepas menonton filem Laskar Pelangi, saya cuba mencari DVDnya,ternyata tak ada. Aduhai!

    Saya melihat begini, penerbitnya sudah awal-awal lagi berkira-kira untuk menawan pasaran Malaysia juga. Kenapa saya kata begitu? Menonton Laskar Pelangi, saya merasa seperti menonton filem Malaysia kerana bahasa Melayunya hampir 95% adalah bahasa orang Malaysia. Dan katanya, masyarakat di Belitung itu bukan dari bangsa Jawa atau Sunda, atau Acheh, atau lain-lainnya, melainkan mereka itu katanya dari bangsa Melayu. Jadi, tak hiaranlah bahasanya saling sama dengan bahasa kita.

    BalasPadam
  5. alamak, kanda di sini menjadi cemburulah pula...

    BalasPadam
  6. Kandaku Bluehikari,

    Aduh, Tuan juga sudah melangkah jauh di dunia pengacaraan, bikin adikmu cemburu!

    BalasPadam