Khamis, 26 Mac 2009

SURAT 1 - YANG LAMA DIKENANG, YANG BARU DISAYANG

Assalamualaikum,

Setelah mengembara ke laman-laman teman, berfikir, "mampukah aku memberi komitmen yang berterusan kalau kembali menulis di blog?" Akhirnya, saya kembali menulis di blog!

Sejarah saya dalam dunia blog terlalu panjang. Daripada masih bergelar pelajar di bandar Mito, atau Hitachi di Ibaraki, Jepun, pulang bekerja di Malaysia, dan sekarang kembali merantau ke Canberra, Australia - saya senang meluahkan pengalaman demi pengalaman atas tinta percuma ini. Kalau masa ketagihannya, saya pernah menghantar sehingga 2, atau 3 entri dalam sehari. Sebaliknya, kalau datang jemu dan tiada idea, aduhai, 2, atau 3 bulan tanpa sepatah kata pun.



BandarSepi adalah blog saya yang pertama. Lahir ketika saya bergelut dengan hiragana, katagana, apatah lagi tulisan-tulisan kanji yang serba memeningkan itu. Bandarsepi yang merakam setiap derap tapak saya di tanah sakura yang permai.

Apabila balik ke Malaysia, terbeban dengan tugas di kilang (oh, letihnya bekerja di bahagian pengeluaran!) Bandarsepi itu menjadi sepi, tiada entri-entri yang terbaru. Berpindah bekerja ke Kuala Lumpur, justeru bakal isteri yang tak punya bidang yang bersesuaian di sebelah utara, tetapi Bandarsepi tetap sama - entri yang sangat-sangat jarang.

Jun 2007, setahun lebih sedikit setelah berkahwin, dan anak pertama masih berusia 4 bulan lebih sedikit, kami tiga beranak berangkat ke Canberra, Australia. Dan lahirlah
2Bandarsepi !



Konon-kononnya 2Bandarsepi adalah menyambung perjuangan dan aspirasi saya semasa di Jepun, ternyata meleset! Hanya sempat bertahan kurang setahun, dan blog itu kembali sepi.

Dan sekarang,
IlhamHamdani adalah blog ketiga saya. Saya berharap dengan berubah nama; daripada Bandarsepi kepada IlhamHamdani, semangat saya juga berubah sama - lebih produktif, berkualiti, dan lebih cergas, sepertinya anakanda saya - Muhammad Ilham - harapnya!

Doakan saya, doakan IlhamHamdani!

1 ulasan:

  1. Salam Hijrah.

    InsyaAllah.Moga banyak hadiah perkongsian pengalaman buat kami.

    BalasPadam