Ahad, 29 Mac 2009

SURAT 3: 50 SEN ITU UNTUK SI PENGELAP CERMIN KERETA!

Assalamualaikum,

Pejabat saya, alias pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia Australia ialah di Yarralumla. Lebih tepatnya di 7, Perth Avenue, Yarralumla. Sedangkan anak lelaki saya dijaga oleh seorang Makcik Singaporean di satu kawasan di pinggir city; Turner.




Rutin kami sekeluarga begini - kerana universiti isteri lebih dekat dengan rumah pengasuh, maka isteri saya yang menghantarnya. Sebaliknya, di sebelah petang, kerana isteri selalunya habis lewat (susahnya saya tengok eksperimen-eksperimen kimianya, ganbare aichan!), dan walaupun si pengasuh yang baik selalu kata: tak pa, datang ambil lewat pun tak mengapa, tetapi kami tetap mengambil anak tepat waktu, sebelum jam 5:30 petang.

Jadi, route saya di sebelah petang adalah begini: Yarralumla -> Turner -> Phillip (rumah kami!)


Setiap petang semasa dalam perjalanan antara Yarralumla - Turner dan Turner - Phillip pasti saya akan berjumpa dengan dua orang si pengelap cermin kereta. Yang di persimpangan lampu isyarat Northbourne Avenue - London Circuit adalah seorang lelaki muda yang selalu memakai jersi sukan, dan di simpang lampu isyarat Northbourne Avenue - Barry Drive, seorang tua yang berambut kerinting. Saya percaya, siapa melihat akan lekas terasa belas kasihan, "tua-tua pun masih bekerja."

Setiap hari saya bertemu mereka berdua, dan sering terfikir,

"berapakah bayaran yang mereka dapat?"

Mereka berdua ini akan membawa sebatang kayu pengelap cermin kereta dan dengan bahasa badan akan ditanya kepada pemandu yang berhenti kerana lampu isyarat merah,

"mahu dicucikan cermin kereta?"

Upahnya, terpulang! Ada yang memberi mereka 50 sen, satu dollar, malah saya pernah lihat seorang makcik hanya menyuakan sebatang rokok sahaja sebagai upahnya.

Dan selalu yang saya tengok, lebih ramai yang menggeleng kepala (tak mahu perkhidmatan lap cermin keretanya!), saya bertambah kasihan. Jadi, saya berfikir begini,

"Sedekah sahaja dengan mereka, kerana saya kagum dan kasihan dengan mereka!"


(Nota: Maaf, kerana tangan kanan digunakan untuk menekan flash duit terpaksa diletakkan di tangan kiri. Harap maklum!)

Ya, mereka pejuang dalam bahasa yang tersendiri. Meski terpaksa bekerja di bawah panas terik, atau kalau musim sejuk, dingin mengigit, meski dengan bayaran upah yang tak setimpal, meski terpaksa menebalkan muka menawarkan perkhidmatan, mereka tetap redha mencari rezeki, rezeki yang halal!


Apa sangat nilainya 50 sen dan satu dolar? Saya boleh menggembirakan mereka, sambil jauh di sudut hati saya berharap mereka mendoakan saya, cukup!

Ya, saya akan memberi mereka 50 sen seorang, kalau boleh setiap minggu. Dan kalau boleh, di hari Jumaat yang berkat itu. Saya tak mahu mereka mencuci cermin depan kereta saya, saya cuma mahu angkat tangan seperti orang berdoa, dan dengan bahasa badan memberitahu mereka,

"tolong doakan saya!"

7 ulasan:

  1. Betul tu, perkara yang tak bermakna pada kita mungkin sangat bermakna / perlu bagi orang lain. Banyak yang kita selalu terlepas pandang.

    Entri ini memberi peringatan pada saya. Terima kasih :)

    BalasPadam
  2. Nissa' Yusof,

    Yang sedikit dan berkekalan itu, mudahannya ada keberkatannya di sana!

    Ya, kadang-kadang kecil untuk kita, tetapi ter-sangat-lah besarnya untuk orang lain.

    Ruang sedikit masa untuk memandang sekeliling dan kita tahu betapalah kita harus menjadi orang yang banyak bersyukur kerana nikmat yang terlalu banyak untuk kita

    BalasPadam
  3. Mengapa di negara saya dan tuan tidak ada manusia yang sanggup bekerja sebegini?

    Ya, negara kita kayakan dan rakyatnya pun kaya juga.

    Kaya malas.

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum..
    Salam singgah dari bumi sakura. Ana teringat 'bangumi' yang pernah ana saksikan di kaca televisyen semalam. Seorang peniaga makanan laut yang sudah lewat usia menjual makanan dengan harga yang sangat murah! Paling memeranjatkan ana, ada suatu hidangan bermodal 2man, dijual dengan harga 1000yen sahaja. Bila ditanyakan mengapa, dengan senyuman yang manis beliau menjawab, " Rasa puas bila melihat orang menikmati hidangan saya. Cukup"

    BalasPadam
  5. Salam Saudara Ilham,

    Selamat berkenalan. Entri-entri saudara menarik untuk dibaca.

    BalasPadam
  6. ya ya, pengalaman ini abg masih igt ketika berkelana ke sydney-canberra-melbourne. ada sahaja org2 spt mereka menawarkan khidmat mengelap cermin kereta ketika lampu isyarat merah. ekonomi dunia semakin teruk, makin ramai akan menjadi spt mereka demi kelangsungan hidup. benarlah dunia sudah benar2 tua.

    BalasPadam
  7. Ya, kadang-kadang ada manusia yang sanggup buat apa saja, asalkan manusia lain gembira.

    Namun begitu, pada sisi yang gelap: tidak kurang manusia yang sanggup buat apa saja, asal manusia lain menderita!

    Nah, betapalah manusia ini sama hitam rambutnya, hatinya ada yang putih jernih, hitam zulmat dan sedang-sedang berwarna kelabu!

    BalasPadam