Khamis, 14 Mei 2009

SURAT 26 : TERUSKAN MESKI TERPAKSA MERANGKAK!

Assalamualaikum,



Semalam, sepatutnya ada Kuliah Tafsir anjuran Persatuan Masyarakat Melayu Canberra di sini. Buah pemula! Jadualnya, 7:30 malam.

Saya terpaksa meredah malam, yang pada musim salju ini bermula jam 5:00 petang, dari selatan ke utara, ke rumah Presiden Persatuan, orang di sini panggilnya Pak Hashim; orang Kedah, kaya pengalaman, dan tak kurang jenakanya.

Suhu dingin sekitar 10 darjah, malam pekat di Canberra tanpa teman rembulan, meredah Tuggeranong Parkway yang juga gelap, dan bersendirian kerna isteri saya lelah 'berjuang' di makmalnya, hampir sahaja melumpuhkan niat saya untuk ikut serta dalam program Tafsir pertama itu. Tetapi, mengenangkan - kalau bukan aku yang pergi, mungkin tak ada orang yang pergi - saya memaksa diri. Lagipun pesanan slaid projektor yang dipinjam dari pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia seperti satu tali yang mengikat saya kepada program ilmu tersebut.

Saya sampai juga ke daerah Flynn, kurang 2 minit dari waktu dijadualkan. Sunyi!

"Eh, jadi kah program malam nih?" berbisik sendiri.

Bum! Saya hempuk, tutup pintu kereta. Kelihatan Pak Hashim yang mengemas muka pintu rumahnya, dan lekas-lekas mampir dekat ke kereta saya. Pepohon gumtree yang kulitnya banyak mengelupas berguguran dedaunnya. Petanda musim dingin hampir menakluki wilayah jauh ini.

"Apa nak buat? Kurang sambutan program-program agama ini. Kalau konserts ka ... penuh!"

Loghat Utaranya masih berlikat, meski 20 tahun menetap di sini, punya seorang isteri, 3 anak, dan 2 orang cucu. Ada nada kecewa pada bicaranya. Cita-citanya besar, niatnya tulus, jelas: mahu membawa kembali teman-teman yang sudah 'jauh' ini balik kepada asal, balik kepada agama!

Tetapi, yang datang ... 2 orang!

Saya faham kesalnya bersebab, tetapi kita tak boleh mengalah mudah-mudah.

"Kita cuba sekali lagi. Mungkin lain kali mereka akan datang, kot. Jangan mudah mengalah"

Saya, yang muda-lela ini memberi harapan. Eh, terbalik lah pulak! Ya, nasihat itu kadang-kadang, adakala juga datangnya dari orang muda, untuk orang yang tua-tua, bukan? Sempat saya pandang Abang Roslan, masih berblazer putih susu. Baru balik dari pejabat, langsung ke sini, katanya sebentar tadi.

Entahlah saya sedikit optimis dalam hal ini, maksud saya dakwah. Ya, saya faham maksud kecewa, luntur semangat, bahkan perkara ini senantiasa datang, hampir, dekat, dan cuba memamah semangat perjuangan ini, apatah lagi di atas jalan dakwah. Kalau boleh, semangat yang ada sedikit itu, mahu dihancur-leburkan. Nah, itulah permainan dan jarum-jarum halus syaitan yang kata Nabi, ia berlarian dalam pembuluh darah kita.

Dan pengalaman yang cetek yang diceduk semasa membawa seru da'ie beberapa ketika di Jepun, kemudian terhantar ke utara Malaysia, sebelum datang ke Australia ini, tak semena-mena melahirkan sikap optimis saya: jangan pandang kepada yang tak datang, tetapi pandanglah kepada yang datang, meskipun 2 orang cuma!

Ya, siapa sangka di balik 'kecewa'nya Nabi dilayan oleh batu-batu dari anak-anak Taif hingga berdarah luka, rupanya di dalam perjalanan pulang ada pemungut anggur yang menerima ajaran Islam, dan lagi ... ada sekumpulan jin yang diriwayatkan menerima Islam. Nah, lihatlah di balik kesedihan itu rupanya ada sinar gemilang, buah-buah daripada usaha dakwah yang tiada putus.

"Kita sudah mencuba, sebaiknya ..."

Sampuk Kak Tun, isterinya Pak Hashim yang menatang sepinggan roti jala dan semangkuk kari daging.

"Kita cuba cara lain. Pokoknya, jangan mudah mengalah!"

Saya tak mengalah. Bukankah saya katakan kita harus optimis. Di balik kesempItan, ada kesempAtan! Di balik kelabu awan-gemawan, pasti ada sinar menanti. Pokoknya, jangan yang berhenti dari berusaha. Masakan Tuhan tak melihat usaha hambaNya!

Pak Hashim masih terlihat sugul. Mencapai kepingan-kepingan kuning roti jala, dicalit dengan lelehan kuah kari, dan mengunyah gontai. Saya berjaya membaca hatinya - dura lara!

Secara kesimpulan, masyarakat Melayu di Canberra ini terpecah 2. Pertama, yang kedua-duanya; suami-isterinya orang Melayu, agama Islam dan datang merantau ke sini, menumpang rezeki Tuhan. Bilangan mereka tidak ramai, mungkin sekitar 4-5 keluarga sahaja. Dan yang kecil itu, terpecah lagi, ada yang masih kuat pegangan agamanya, seperti Pak Hashim sekeluarga, dan sedihnya ada juga yang terhanyut sedikit dalam arus Mat Salleh Australia, aduhai!

Kelompok kedua, yang pasangannya, samada suami, atau isteri yang berkahwin dengan orang tempatan Australia. Kelompok ini besar, mungkin 20, atau 30, atau lebih besar dari itu. Dan, kelompok ini menjadi majoriti, dan yang sedihnya, kalaupun tak 100% daripada mereka sudah tersasar, bolehlah dikatakan majoriti besar tersasar dari agama. Aduhai, aduhai, aduhai! Maka itu, tidaklah aneh, kalau acara-acara masyarakat Melayu ini, yang kelihatan hanyalah isteri misalnya, atau suami sahaja, bukan ibu tunggal, bukan juga bapa tunggal. Tetapi, itulah keluarga tunggal. Yang Islam di dalam keluarga itu ... tunggal, sedihnya!

Cerita Pak Hashim (dengan tidak disebutkan nama siapa!), ada perempuan Melayu di sini solatnya ikut musim. Aneh, bukan? Tetapi itulah realitinya. Kalau musim rajin, bersolatlah mereka. Kalau musim malas, tikar sejadah itu sejuk sendirian, apatah lagi kalau musim sejuk seperti sekarang. Kasihan tikar sejadah!

Tambah Pak Hashim, "bila ditanya kenapa tak datang majlis ilmu? Jawapannya: malu! Tak pandai membaca Al-Quran. Letakkan malu ketepi, jangan sampai mati pun begitu."

"Kali kedepan, mungkin kita ubah masa. Harapnya akan ada sambutan."

Pak Hashim bersuara. Nah, lelaki gempal yang naik haji musim lalu ini ternyata tak patah harap, tak putus usaha. Meski sesal terlukis di air wajahnya, mimpi-mimpi Islamnya tetap subur. Alhamdulillah!

Saya mencicipi kopi panas. Manis enak. Sesekali suara Ustaz Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis yang dengarnya sedang berguru di UK terhantar dari corong tivi Phillip bermuka tipis, kata Pak Hashim, dia muat-turun dari internet. Kuliahnya bagus! Tetapi, malam ini, mutiara-mutiara Ustaz Asri tak kami nikmati kerana ada masalah yang menjala punca akal.

"Kita cuba buat sebelah petang, hujung minggu. Kalau Sabtu, nanti dikatakan nak hantar anak latihan bolalah. Kata nak pergi berjalan Sydney lah. Kita cuba cari masa yang paling sesuai."

Abang Roslan mengusul. Pak Hashim mengangguk. Tampangnya serius, sungguhnya terlihat.

Saya menyembunyikan senyum, gembira. Bahawa, semangat mereka patah, cuma sedikit, dan lekas sembuh. Ah, kata orang itu, kalau patah sayapnya, bertongkatlah paruh. Kalau patah paruh, bertongkatlah akan kuku. Masakan, untuk dakwah ... kita akan terus berduka?

Teruskanlah, meskipun terpaksa merangkak!

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum.
    Jenguklah juga blog wwwfafiruilallah.blogspot.com.
    Kita nampaknya ada ciri yang sealiran...

    BalasPadam
  2. Allah~, dapat merasakan kekecewaan yang dirasai Pak Hashim kerana pernah mengalaminya di sydney satu ketika dahulu...takpe, pembakar semangat mungkin..=) teruskan berjuang dalam memberi & menyampaikan! InsyaAllah, pasti akan terbuka satu hari nanti benak2 insan yang dahagakan majlis2 ilmu..jngn mudah mengalah...menjadi 'perintis' memerlukan pengorbanan yang lebih berbanding menyambung yang telah tersedia..cabaranya besar, namun disitulah kepuasan..you'll never walk alone..=)

    BalasPadam
  3. betul tul Afiq, jangan mudah mengalah!
    Afiq di Sdyney pun jangan mudah mengalah ..

    BalasPadam