Jumaat, 27 Mac 2009

SURAT 2: DI BAWAH LANGIT SELATAN

Assalamualaikum,

Saya sedang meraih semangat, demi menyudahkan novel kedua saya - Di Bawah Langit Selatan!


Ya, kalau bercerita dengan dunia penulisan, saya masih mentah sebetulnya. Saya bermula pada lewat 2003, dengan cerpen, sekadar suka-suka, orang kata; syok sendiri.

Entah bagaimana, satu duanya 'tersangkut' di dalam majalah-majalah tempatan. Dewan Agama dan Falfasah, keluaran DBP tetapi dikeluarkan oleh Kumpulan Karangkraf mula-mula memberi ruang kepada cerpen saya, Wardah Ain Salsabilla. Saya harus memberi kredit kepada sifu saya, Puan SriDiah yang mencincang tulisan saya yang pertama ini.

Kemudian, majalah-I, juga oleh Karangkraf terus menerima tulisan saya, menerusi Cinta Maisarah Sufiah, Jalur-Jalur Pelangi, dan beberapa lain.

Wah, saya semakin ghairah! Saya kemudiannya mencuba pula dengan Berita Harian, Alhamdulillah, tersangkut juga menerusi karya pertamanya Pada Awan Langit Chiba. Menerusi karya Sakura, Antara Dua April yang tersiar di Berita Harian pada April 2006 (terima kasih bonda Salbiah Ani!) saya telah dilamar oleh PTS, menerusi Tuan Fauzul Naim.

"Beri semua cerpen-cerpen Encik Izuddin yang ada, kami akan cuba terbitkan sebagai kompilasi cerpen. Tetapi, jangan lupa, PTS mahu anda datang lagi dengan sebuah novel dengan latar belakang Jepun."


September 2006, sekira-kira dua bulan saya di Canberra, Mekar Sakura Di Mimbar Cinta pun menemui khalayak pembaca. Betapalah gembiranya saya.

Dan sebagai manusia yang berpegang kepada janji, saya juga telah mengirimkan novel pertama dengan latar belakang tanah sakura, dengan Umar Thilmisani dan Ayumi sebagai dua watak utama. Manuskripnya saya hantar dua bulan setelah saya berada di Canberra.

Susah-payah menulis novel pertama terlalulah susah mahu digambarkan. Apatah lagi, saya menulis dengan ditemani suara tangis dan rengek anak sulung saya. Semasa itu, umurnya empat bulan lebih sedikit. Apapun, tangisan itulah yang membakar semangat ayahandanya. Terima kasih!

Jun 2007, adalah kelahiran 'anak' kedua saya; Hidayah Cinta. Wajah ayu Ayumi adalah penghias kulit depannya yang dihasilkan oleh ilustrator WinduBudi. Saya senang 'banget' dengan kulit depan ini!



Nah, kini saya sedang mengulati novel kedua saya. Dan tentulah latar belakang Canberra yang saya pilih - Black Mountain yang hijau, Lake Burley Griffin yang membiru tenang, bunga-bunga tulip yang berkembang asyik, dedaun maple yang luruh menguningkan alam, sebelum salju putih yang mendamaikan adalah wajah-wajah daerah saya. Pelakon lelakinya? Amir Hamzah Muzaffar! Perempuannya? Oh, tunggulah. Tunggu watak perempuan itu sampai ke tangan anda!

Doakan saya, doakan saya dengan novel kedua, yang saya cadang tajuknya - Di Bawah Langit Selatan.

6 ulasan:

  1. Sdr Ilham
    semoga terus diberi ilham dan ketahanan untuk berkarya!

    BalasPadam
  2. Wah, di Canbera rupanya. Patut senyap je...

    BalasPadam
  3. salam,

    Terima kasih atas doa Dr Mawar, semoga saya bisa sukses menulis seperti Dr juga.

    Ustaz Zul, sudah lama di sini, nak masuk 2 tahun. Tetapi, hati saya masih di Kampung Perawah, hehehe

    BalasPadam
  4. saudara ilham,
    saya senang sekali memiliki dan membaca 'mekar sakura di mimbar cinta'. sayang sekali, buku itu telah dipinjamkan pada teman yang sekarang ini tidak dapat dikesan lagi.:( apa pun, saya senang sekali dengan cerita-cerita yang dimuatkan di dalam kompilasi cerpen tersebut.

    BalasPadam
  5. Salam,

    Tahniah bro, semoga istiqomah sehingga akhir! :)

    BalasPadam